Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Monday, September 21, 2015

2 jemaah hilang disahkan terkorban

Setelah beberapa hari menunggu, akhirnya disahkan bahawa 2 orang jemaah yang hilang setelah kejadian kren tumbang pada 11 September lalu disahkan terkorban.

Mereka ialah Allahyarham Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52 dari Kodiang, Kedah.

Berita ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan pihak berkuasa Arab Saudi telah memaklumkan Tabung Haji pada jam 3 pagi (waktu Arab Saudi) semalam.

TH telah membuat pengesahan awal di rumah mayat Muaissem sebelum membawa waris bagi tujuan pengesahan. Selain itu, jenazah ini turut dikenali melalui gelang, lencana dan barang peribadi yang dijumpai serta kedua-dua pihak waris Allahyarham telah membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di rumah mayat berkenaan Jumaat lalu. Ianya dilakukan bagi membuat padanan terhadap jenazah yang tidak sempurna di dalam tujuh beg plastik.

Allahyarham Abdul Habib diwakili oleh anaknya iaitu Mohamad Fazil, 39 manakala Sobri serta Zulhakimin pula mewakili Shahidan.

Semoga kedua-dua Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Monday, September 14, 2015

Kren tumbang di Masjidil Haram

Assalamua'laikum.

Al Fatihah. Buat semua jemaah haji yang meninggal dunia akibat kren tumbang di Mekah pada Jumaat, 11 September 2015 selepas solat Asar ketika hujan lebat dan ribut pasir.


Ianya dipercayai telah menghempap kawasan saie dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf. Kejadian tersebut telah berjaya dirakam oleh seorang jemaah haji dan video tersebut berdurasi 37 saat.



Dilaporkan beratus orang jemaah yang tercedera dan hilang akibat cuaca buruk itu. Walau apapun yang berlaku, semoga semuanya dalam kedaan baik sahaja. Sesungguhnya ketentuan Allah ini tidak siapa pun dapat menduga, malah hikmahnya pasti Dia Yang lebih Mengetahui.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Sayed Saleh Sayed Abdul Rahman, kawasan kejadian kini dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan mereka juga sedang berusaha untuk memulihkan keadaan.

Pihak TH juga telah memberikan nasihat agar semua jemaah Malaysia berada di hotel penginapan jika hujan dan ribu pasir berlaku. Hujan di Mekah dilaporkan telah berlaku 4 kali dalam tempoh sebulan.

Dicatatkan dalam laporan awal, seramai 10 orang jemaah yang tercedera iaitu :

1. ZAINUL ARIFFIN ZULKIFLI, 36, Batu Caves, Selangor
2. MAT DERIS MOHD NOOR, 62, Bachok, Kelantan
3. FARIDAH MAT YACOB, 46, Bachok, Kelantan
4. RUSIAH BABA, 50, Cheras, Kuala Lumpur
5. NOORDIN WAHAB, 59, Kuala Terengganu, Terengganu
6. AHMAD MUZAFAR MAMAT@ADAM, 39, Bangi, Selangor
7. MOHD. NOR AZMAN HASSAN, 44, Cheras, Kuala Lumpur
8. FARIDAH MANSOR, 63, Dungun, Terengganu
9. MOHD. SHARIF MEON, 64, Klang, Selangor
10. ABDUL RAZAK MAHMOOD, 61, Tanah Merah, Kelantan

Sehingga kini 14 September 2015, 11 pagi), 5 orang jemaah yang dirawat di Pusat Perubatan TH telah dibenarkan pulang. Manakala 5 orang jemaah lain dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Arab Saudi (3 orang) dan Pusat Rawatan TH (2 orang).
5 orang jemaah Malaysia pula telah dikenalpasti terkorban, iaitu :

1. RUSIAH SUHAR, 56, Sungkai, Perak
2. SITI NUROSHLIZAN ZULKIFLI, 37, Tanah Merah, Kelantan
3. ROHANA ISMAIL, 54, Kuala Krai, Kelantan
4.  MUNAH JUSOH, 73, Cherang Ruku, Kelantan
5.  ZAINUN TAHA, 69, Ampang, Selangor.

Jenazan pertama iaitu Allahyarhamah Rusiah Suhar telah dikenalpasti dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ma’ala.

Manakala 3 jenazah kemudiannya telah dikenalpasti dan diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom di TH Hotel, 11.50 malam tadi. Seorang lagi jemaah iaitu ABDUL MULUK ISMAIL, 71, yang berasal daripada Pantai remis, Perak telah ditemui dengan selamat.

Terkini, melalui laman Astro Awani (14 september 2015, 10.01 pagi) melaporkan, jenazah Allahyarhamah Zainun Taha telah dapat dikenalpasti melalui warisnya yang turut berada di Mekah.

Pihak Tabung Haji juga sehingga kini masih giat mencari 2 orang jemaah yang hilang, iaitu :

1. ABDUL HABIB LAHMAN, 68, Sik, Kedah
2. SHAHIDAN SAAD, 52, Kodiang, Kedah

Menurut Datuk Seri Jamil Khir,Lembaga Tabung Haji telah dibenarkan untuk membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 keping gambar yang dipaparkan oleh pihak Arab Saudi.

“Pasukan Perubatan TH telah dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk pengecaman pada jam 10.30 pagi (waktu Saudi) atau 3.30 petang waktu Malaysia.”

“Proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah  dan DNA, sekiranya perlu,” katanya lagi yang akan berangkat bersama Pengerusi TH iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi melihat sendiri keadaan dan membantu memastikan segala usaha berjalan lancar.

Pusat Panggilan Tabung Haji di Damansara, Kuala Lumpur boleh dihubungi melalui talian 03 62071919 sekiranya waris atau ahli keluarga jemaah di Malaysia ingin mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

#PrayForMakkah

Thursday, September 10, 2015

Adenium, kunyit, kentang, kangkung, kesum dan bunga

Assalamua'laikum.

Pagi yang tenang, Alhamdulillah jerebu telah mula surut sejak hujan turun beberapa hari.

Nampaknya tumbuhan pun menumpang berkat hujan yang melimpah ke bumi. Bila jenguk pokok-pokok di laman pun hati rasa senang. Daun dah segar semula, warna pun cantik je hijaunya. Tengok pokok adenium tu, putik bunganya dah mula muncul. Ini kali kedua ianya berbunga, kembang hati ummi tau. Hihihi...


Adenium
Sekarang tengah seronok berangan tentang Adenium, hajat hati nak tambah pelbagai koleksi bunganya. Semenjak dah join kumpulan pencinta Adenium di laman FB, memang hari-hari jenguk menjamu mata.

Adenium yang tinggi tu tak berani ummi nak pangkas lagi, takut salah teknik mati pulak nanti. Dah berapa kali baca pasal grafting dan seumpamanya tapi niat tu masih tertangguh. Pasunya pun dah tak sesuai tu, perlu diubah ke 'kediaman' yang lebih besar.

Kunyit dan kentang
Satu pasu tapi berkongsi dua jenis pokok iaitu kunyit dan kentang. Ini kali pertama ummi berjaya tanam pokok kentang sehingga besar begitu. Daun yang agak curly tu menarik perhatian anak-anak juga bilamana diorang pun tak pernah tengok pokok kentang. Si kecil Husna apalagi tangannya, kemain laju je petik daun kentang.

Pokok kunyit tu baru dipangkas daunnya, masa hari panas dan berjerebu habis kuning dan saiznya pun kecik je. Itu bersiram tapi sekali sehari je sebab kebiasaan sebelah pagi kami tak sempat nak meluangkan masa membelek pokok-pokok walaupun cuma di tepi pagar rumah. Seharusnya ummi kena ubah pokok kunyit tu supaya ia bebas membesar tapi kekuarangan pasu dan tanah membuatkan niat tu terbantut. Sabar ye kunyit, nanti ummi ubah ke tempat yang lebih selesa.

Kangkung, selom dan bunga tak tau nama.
Kangkung tu ummi tanam dengan keratan batang je, bubuh tanah sikit dalam bekas yang tidak berlubang dan cucuk aje batangnya ke situ. Seawal 2 hari dah nampak tunasnya tumbuh. Kangkung ni pun dah berapa kali Husna main, dicabutnya batang tu dan bekas tu ditonggengnya ke tanah. Hihihi... semoga dapatlah kami sekeluarga memakan hasilnya nanti.

Pokok kesum tu ummi tanam dalam pasu panjang (tapak semain) tapi diubah beberapa minggu lepas ke dalam balang kuih yang juga tidak ditebuk lubang. Masih menggunakan kaedah sama iaitu bubuh tanah sedikit dan cucuk batangnya. Air ditakungkan sebab pokok kesom memang memerlukan air yang banyak untuk hidup. Memang nampak beza bila diubah ke tempat yang lebih berair sebab daunnya lebih segar dan besar. Walaupun semasa dalam pasu semaian tu ummi siram hari-hari tapi ianya sedikit kurus. Dah banyak kali juga ummi makan hasil kesum ni, Alhamdulillah.

Anak pokok bunga yang putih tu memang ummi tak tau namanya tapi 'ibunya' telah dipindahkan ke tepi laman rumah. Agak payah juga 'ibunya' nak meneruskan hidup di situ sebab kebetulan selepas dipindahkan hari panas melanda. Banyak juga daunnya kuning dan gugur tapi bahagian pucuknya masih hijau dan bunga tetap keluar setiap hari. Anak-anaknya yang sengaja ummi tinggalkan di dalam pasu ini cuba dijaga sebaik mungkin supaya hasil bunganya nanti lebih baik daripada 'ibunya'.   

Alhamdulillah... pokok-pokok ini sebahagian daripada terapi buat ummi. Semoga semangat dan kecintaan ini terus berkembang baik...

Sekian.

Tuesday, September 8, 2015

Terlalu melindungi

Assalamua'laikum....

Pagi yang penuh hikmah buat warga Kuala Lumpur, hujan turun penuh berkat. Semoga jerebu kian pulih hendaknya.

Cuaca yang meruncing sejak beberapa minggu ini seperti menggambarkan rasa hati. Ya, hati yang sarat dengan kerisauan terutamanya tentang anak-anak. Lindungilah anak-anakku Ya Allah walau di mana saja mereka berada.

Sebentar tadi seorang sahabat menghantar video pendek, aduh luluh hati ini walau tidak tahu kejadian sebenar. Seorang lelaki yang mencium seorang budak kecil dengan paksa! Itu tekaan Ummi sahaja kerana secara kasarnya tak nampak langsung budak itu didera.

Marah sungguh rasanya hinggalah ketika menaip ni! Dan, orang yang merakam video ini (secara tersembunyi mungkin) lebih rela memegang telefon daripada cuba menghalang!

Ya Allah.... tak terbayang risau dan takut dengan keadaan keliling. Rasa yang boleh membuatkan kita menjadi ibu bapa yang terlalu melindungi. Mana taknya, nak biar anak sendirian walau sekelip mata pun tak berani. Adakalanya mungkin anak-anak rimas tapi keadaan sekarang benar-benar buat ibu bapa terpaksa berbuat begitu.

Ummi sendiri pun nak melepaskan anak-anak bermain sendiri di playground sebelah rumah pun tak berani. Secara jujurnya mereka lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah. Kalau ummi atau abah keluar, baru diizinkan keluar. Kesian sebab masa kanak-kanak mereka tidak seperti kami yang sentiasa meneroka alam kanak-kanak sepuas hati, tapi apa daya sayang.... risiko yang bakal diambil sebolehnya diminimakan. Rasa bersalah itu tetap ada tapi sebolehnya ummi dan abah cuba bawa mereka bercuti atau berekreasi bersama-sama ketika ada masa terluang.

Dulu, masa ummi dan adik-beradik membesar, kami bebas pergi ke rumah kawan-kawan, bermain, mandi sungai, tangkap ikan malah ke sekolah yang jauhnya hampir 5km itu pun menaiki basikal. Masa tu telefon bimbit langsung tiada untuk berhubung, cuma masing-masing tahu bila tiba waktu petang kami mesti sampai ke rumah. Mak atau ayah akan risau kalau kami lewat balik, haaa... rotan menanti kalau tanpa sebab munasabah langgar waktu. Mungkin juga waktu itu, semangat kejiranan masih kuat di mana anak-anak orang lain dianggap seperti anak-anak sendiri. Saling mengenali dan melindungi, jadi kerisauan tu tak seperti yang dirasai oleh ibu bapa sekarang.

Zaman canggih sekarang ni, semangat kejiranan tu dah makin hilang walau masih tetap ada. Rasa selamat untuk berada di mana-mana pun dah takde. Rumah sendiri pun terpaksa dipasang gril apalagi nak duduk di luar rumah kan. Jadi, nampak tak bezanya mak ayah dulu-dulu dengan zaman sekarang ni?

Kalau ada majlis kenduri terutamanya di kampung memang ummi akan risau sebab masa ni anak-anak biasanya teruja untuk bermain dengan sepupu atau saudara mara. Masa ni tentulah ummi dan abah sibuk dengan hal-hal kenduri, jadi mata kami tidak dapat melihat mereka sepanjang masa. Hanya bersandarkan kepercayaan kepada ahli keluarga, itu yang mampu dilakukan. Tapi awal-awal dah pesan mereka tak boleh ke sana ke mari sesuka hati. Selalunya kes culik jadi topik hangat sebab kita tak tau dalam orang yang ramai tu belum tentu semua baik walau yang dijemput adalah orang-orang yang dikenali. Mana la tau kan, dalam ramai tetamu ada pulak penyangak yang menyamar. Mohon dijauhkan Ya Allah daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Sekarang memang Ummi akan berpesan kepada anak-anak setiap hari tentang soal keselamatan. Pernah juga menyampaikan beberapa tips sekiranya berlaku kecemasan yang mungkin tiba-tiba datang dengan harapan mereka bersiap sedia setiap masa. Kalau ada cerita atau gambar-gambar yang boleh membawa pengajaran memang akan ummi tunjuk dan suruh baca sendiri supaya mereka tahu kita tidak mereka-reka cerita.

* Ibu bapa kena pastikan setiap maklumat yang ada tu adalah benar.

Walau apapun, semuanya dalam ketentuan Allah yang tentunya kita tak tahu hikmahnya. Apa yang penting, sebagai ibu bapa kita perlulah mengambil langkah-langkah keselamatan dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Semoga Allah melindungi kita semua walau di mana jua berada dan dijauhkan daripada manusia atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat....

Sekian.

Friday, September 4, 2015

Jumaat, 7/8/2015


Gambar ini diambil pada Jumaat, 7/8/2015 selepas selesai solat Maghrib. Ummi suka gambar ini tapi tak tau kenapa.

Ya Allah, berikan kami CahayaMu...