Al Fatihah.
Ini arwah opah ummi (sebelah ayah), namanya Ngah Selamah. Tarikh sebenar arwah meninggal memang ummi tak ingat tapi masa tu ummi masih di sekolah menengah rasanya, dalam tahun 90-an camtu.
Arwah opah meninggal di rumah We, kakak ayah yang sulung disebabkan sakit tua. Sebelum arwah We jaga, opah memang keluarga ummi yang jaga. Lagipun rumahnya sebelah rumah kami je. Masa kami kecik, arwah opah yang tolong jagakan kalau mak ikut ayah pergi menoreh getah di Langkor. Orangnya agak tegas, bertubuh kecil, pembersih dan pandai memancing. Selain tu, nasi goreng dan bedak sejuknya adalah antara memori yang paling ummi ingat masa kami kecik-kecik dulu.
Kalau arwah memancing, dia tak guna pun batang pancing yang besi tu. Selamba je guna buluh dan umpan pancing. Tiapkali memancing, tak pernah opah balik dengan tangan kosong. Paling sikit pun ikan seluang. Sekarang ni, kemahiran opah tu menurun ke adik-adik ummi. Semua minat memancing.
Ummi suka tolong opah buat bedak sejuk walaupun bau busuknya boleh buat orang muntah. Berbulan-bulan opah rendam beras dalam balang sampai la beras tu lembut ya amat. Nanti beras tu opah akan hancurkan sehancurnya dan masukkan dalam kain putih, kemudian titikkan atas talam. Pastu biar kering dan gaul sket dengan daun pandan yang dihiris halus-halus. Tadaaa... dah kering maknanya dah boleh tepek kat muka, hehe..
Sekeliling rumah opah penuh dengan pokok buah-buahan. Memang kenyang makan buah la kalau tiba musim buah. Haaa.. masa ni selalunya abang kepada arwah atuk iaitu Tok Ein, akan datang halau monyet-monyet yang selalu makan buah-buah sekeliling tu. Pokok buah arwah Tok Ein pun banyak tapi dia tinggal di Pulau Mentimun, kampung sebelah.
Rumah opah tak besar, kecil je yang mana cukup untuk dia duduk sorang. Sangat kemas dan bersih. Kat bahagian tangga pintu depan, opah suka tanam pokok bunga yang akan layu pukul 5 petang tu. Radio birunya yang pakai bateri tu sentiasa bersiaran daripada pagi sampai ke petang. Air paip pulak memang berkongsi dengan kami yang mana kami akan angkut dengan baldi setiap pagi dan petang.
Walaupun dah hampir 20 tahun, kenangan dengan arwah opah tetap kemas dalam ingatan ummi. Semoga arwah opah, atuk dan ahli kelurga lain yang dah meninggal ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.