Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts

Monday, September 21, 2015

2 jemaah hilang disahkan terkorban

Setelah beberapa hari menunggu, akhirnya disahkan bahawa 2 orang jemaah yang hilang setelah kejadian kren tumbang pada 11 September lalu disahkan terkorban.

Mereka ialah Allahyarham Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52 dari Kodiang, Kedah.

Berita ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan pihak berkuasa Arab Saudi telah memaklumkan Tabung Haji pada jam 3 pagi (waktu Arab Saudi) semalam.

TH telah membuat pengesahan awal di rumah mayat Muaissem sebelum membawa waris bagi tujuan pengesahan. Selain itu, jenazah ini turut dikenali melalui gelang, lencana dan barang peribadi yang dijumpai serta kedua-dua pihak waris Allahyarham telah membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di rumah mayat berkenaan Jumaat lalu. Ianya dilakukan bagi membuat padanan terhadap jenazah yang tidak sempurna di dalam tujuh beg plastik.

Allahyarham Abdul Habib diwakili oleh anaknya iaitu Mohamad Fazil, 39 manakala Sobri serta Zulhakimin pula mewakili Shahidan.

Semoga kedua-dua Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Monday, September 14, 2015

Kren tumbang di Masjidil Haram

Assalamua'laikum.

Al Fatihah. Buat semua jemaah haji yang meninggal dunia akibat kren tumbang di Mekah pada Jumaat, 11 September 2015 selepas solat Asar ketika hujan lebat dan ribut pasir.


Ianya dipercayai telah menghempap kawasan saie dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf. Kejadian tersebut telah berjaya dirakam oleh seorang jemaah haji dan video tersebut berdurasi 37 saat.



Dilaporkan beratus orang jemaah yang tercedera dan hilang akibat cuaca buruk itu. Walau apapun yang berlaku, semoga semuanya dalam kedaan baik sahaja. Sesungguhnya ketentuan Allah ini tidak siapa pun dapat menduga, malah hikmahnya pasti Dia Yang lebih Mengetahui.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Sayed Saleh Sayed Abdul Rahman, kawasan kejadian kini dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan mereka juga sedang berusaha untuk memulihkan keadaan.

Pihak TH juga telah memberikan nasihat agar semua jemaah Malaysia berada di hotel penginapan jika hujan dan ribu pasir berlaku. Hujan di Mekah dilaporkan telah berlaku 4 kali dalam tempoh sebulan.

Dicatatkan dalam laporan awal, seramai 10 orang jemaah yang tercedera iaitu :

1. ZAINUL ARIFFIN ZULKIFLI, 36, Batu Caves, Selangor
2. MAT DERIS MOHD NOOR, 62, Bachok, Kelantan
3. FARIDAH MAT YACOB, 46, Bachok, Kelantan
4. RUSIAH BABA, 50, Cheras, Kuala Lumpur
5. NOORDIN WAHAB, 59, Kuala Terengganu, Terengganu
6. AHMAD MUZAFAR MAMAT@ADAM, 39, Bangi, Selangor
7. MOHD. NOR AZMAN HASSAN, 44, Cheras, Kuala Lumpur
8. FARIDAH MANSOR, 63, Dungun, Terengganu
9. MOHD. SHARIF MEON, 64, Klang, Selangor
10. ABDUL RAZAK MAHMOOD, 61, Tanah Merah, Kelantan

Sehingga kini 14 September 2015, 11 pagi), 5 orang jemaah yang dirawat di Pusat Perubatan TH telah dibenarkan pulang. Manakala 5 orang jemaah lain dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Arab Saudi (3 orang) dan Pusat Rawatan TH (2 orang).
5 orang jemaah Malaysia pula telah dikenalpasti terkorban, iaitu :

1. RUSIAH SUHAR, 56, Sungkai, Perak
2. SITI NUROSHLIZAN ZULKIFLI, 37, Tanah Merah, Kelantan
3. ROHANA ISMAIL, 54, Kuala Krai, Kelantan
4.  MUNAH JUSOH, 73, Cherang Ruku, Kelantan
5.  ZAINUN TAHA, 69, Ampang, Selangor.

Jenazan pertama iaitu Allahyarhamah Rusiah Suhar telah dikenalpasti dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ma’ala.

Manakala 3 jenazah kemudiannya telah dikenalpasti dan diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom di TH Hotel, 11.50 malam tadi. Seorang lagi jemaah iaitu ABDUL MULUK ISMAIL, 71, yang berasal daripada Pantai remis, Perak telah ditemui dengan selamat.

Terkini, melalui laman Astro Awani (14 september 2015, 10.01 pagi) melaporkan, jenazah Allahyarhamah Zainun Taha telah dapat dikenalpasti melalui warisnya yang turut berada di Mekah.

Pihak Tabung Haji juga sehingga kini masih giat mencari 2 orang jemaah yang hilang, iaitu :

1. ABDUL HABIB LAHMAN, 68, Sik, Kedah
2. SHAHIDAN SAAD, 52, Kodiang, Kedah

Menurut Datuk Seri Jamil Khir,Lembaga Tabung Haji telah dibenarkan untuk membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 keping gambar yang dipaparkan oleh pihak Arab Saudi.

“Pasukan Perubatan TH telah dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk pengecaman pada jam 10.30 pagi (waktu Saudi) atau 3.30 petang waktu Malaysia.”

“Proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah  dan DNA, sekiranya perlu,” katanya lagi yang akan berangkat bersama Pengerusi TH iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi melihat sendiri keadaan dan membantu memastikan segala usaha berjalan lancar.

Pusat Panggilan Tabung Haji di Damansara, Kuala Lumpur boleh dihubungi melalui talian 03 62071919 sekiranya waris atau ahli keluarga jemaah di Malaysia ingin mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

#PrayForMakkah

Thursday, August 6, 2015

MH370... akhirnya terjawab sudah

Setelah 515 hari ianya disahkan hilang, jam 2 pagi tadi Perdana Menteri Malaysia mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion itu milik MH370.

Pulau Reunion yang sebelum ini tidak dikenali merupakan sebuah kepulauan terletak di Lautan Hindi, kira-kira 175km dari barat daya Mauritius atau 900km dari Madagascar.

Tiada kata-kata yang mampu membayangkan penerimaan ahli keluarga krew dan penumpang MH370 yang terlibat. Hanya mereka yang benar-benar merasai hakikat kehilangan itu. Bukanlah kita orang luar ini tidak sedih tetapi kesedihan mereka lebih lagi dalamnya. 

Jika kita turut menangis ketika menerima berita ini, tangisan ahli keluarga mereka lebih lagi sayunya, memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ummi yang tidak mampu menahan airmata di dalam kereta tadi pun rasa sakit untuk cuba menerima apatahlagi mereka. Pun begitu, sebagai orang Islam kita wajib mempercayai qada' dan qadar daripada Allah, hanya Dia lebih tahu segalanya. 

Mengimbau kembali kejadian yang telah berlalu lebih setahun ini, ianya berlepas daripada KLIA jam 12.41 pagi menuju Beijing, China dan sepatutnya mendarat pada 6.30 pagi hari yang sama, 8 Mac 2014. Namun ketika jam 1.21 pagi, pesawat tersebut tiba-tiba hilang dari memasuki kawalan trafik udara Vietnam.  Radar tentera pula mengesahkan pada 2.15 pagi bahawa MH370 berada pada kedudukan 322km ke Barat laut Pulau Pinang. Ketika itu satelit masih mengesan yang pesawat masih terbang.

24 Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan terakhir pesawat misteri ini berakhir di selatan Lautan Hindi. Pencarian juga telah ditumpukan ke kawasan tersebut yang mana ianya menimbulkan pelbagai persoalan kepada dunia bahawa apakah sebenarnya yang telah terjadi. Sehingga kini pun, ianya masih kekal misteri kerana kita memang tidak mengetahui apa yang telah dilalui oleh krew dan penumpang MH370.

Berita kehilangan pesawat ini merupakan tanda ingatan hari jadi Ummi yang pasti tidak dapat dilupakan sepanjang hayat biarpun ianya jatuh pada 9 Mac 2014. Sepanjang hari Sabtu dan Ahad itu, Ummi melekat di depan televisyen untuk mendapatkan berita terkini. 

Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Fariq Abdul Hamid
Sidang media yang diadakan di Pusat Daganagan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi telah menyaksikan Perdana Menteri mengesahkan bukti fizikal tersebut sepadan dengan MH370 setelah disiasat oleh psukan penyiasat penerbangan antarabangsa di Toulouse Perancis.

"Hari ini selepas 515 hari peswat tersebut hilang, dengan hati yang berat, saya ingin menyatakan bahawa pasukan penyiasat penerbangan antarabangsa telah mengesahkan bahawa serpihan sayap pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Bebanan yang dihadapi ahli kelaurga tidak dapat digambarkan, tapi menjadi harapan saya dengan pengesahan ini dapat memberi jawapan kepada mereka walaupun ianya menyakitkan," katanya. 

Turut hadir semasa sidang media itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Al Fatihah dan takziah buat 239 krew dan penumpang MH370. Damailah di sana dan moga Allah merahmati kalian.

Wednesday, November 5, 2014

Ketul ais tiada sijil halal?

Awal minggu ini kita dikejutkan dengan pendedahan Sinar Harian bahawa ketul ais yang berada di pasaran kini tiada sijil halal.

Teperanjat bukan? Ketul ais yang diletakkan dalam air minuman kita selama ni tidak mempunyai sijil halal. Mengikut hasil carian Ummi di laman web halal.gov.my, hanya satu syarikat kiub ais sahaja yang mempunyai sijil halal iaitu :

KIUB AIS
BRAND : M-ICE (Riseline Industries Sdn. Bhd.)
TARIKH TAMAT SIJIL : 15 JULAI 2016

Kalau di rumah memang Ummi tak guna pun ketul ais yang dijual kat kedai tu tapi tak dinafikan sekali sekala bila minum atau makan diluar Ummi memesan air sejuk. Haaa... tak terkata dah ni. Sijil halal ni bukan sekadar nak tentukan sesuatu produk tu halal tapi ianya bersih dan datang daripada sumber yang tidak menjejaskan kesihatan.

Jadi, mari kita ambil langkah lebih berhati-hati ye....

Berikut merupakan artikel penuh Sinar Harian, 3 November 2014, tulisan Haslina Kamarudin.


SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Khamis lalu, sebuah kilang ais di Pulau Pinang diarah tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak mematuhi standard kesihatan yang ditetapkan.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sama ada sedar atau tidak, kebanyakan syarikat pengeluar  ais batu kiub tidak mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sijil halal bukan hanya untuk menentukan sama ada makanan atau minuman mengandungi bahan yang dilarang dalam Islam tetapi ia juga untuk mengukur tahap kebersihan sesuatu makanan.

Ini termasuk status air yang digunakan, dari sumber mana ia diambil dan sama ada air tersebut diproses terlebih dahulu?

Sudah pasti, sijil halal adalah senjata utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti penggunaan air kotor yang boleh mengundang pelbagai penyakit.

Oleh itu, Perbadanan Bioteknologi Melaka (Melaka Biotech) menyarankan supaya semua syarikat pengeluar ais memohon sijil halal bagi melenyapkan keraguan pengguna mengenai isu ais kiub yang tidak bersih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Badrudin berkata, perniagaan pembuatan ais kiub perlu mendapatkan sijil halal dan tahap keselamatan serta kebersihan air yang digunakan bagi membuat ais perlu diuji.

"Menerusi seminar-seminar yang kita adakan sebelum ini, ramai yang mahu tahu apakah status ais  kiub ini? Ini kerana konsep makanan halal turut merangkumi kebersihan dan keselamatan sesuatu makanan dan tidak terhad kepada jenis bahan atau haiwan.

“Penguat kuasa daripada Kementerian Kesihatan seharusnya membuat pemantauan terhadap pengilang-pengilang ini dengan menjalankan ujian ke atas sumber air mahupun ais yang sudah siap,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, di Malaysia, hanya ada dua syarikat ais kiub yang memiliki sijil halal.

"Ini berdasarkan semakan yang kami buat di laman web Jakim, dan lebih mengejutkan, syarikat pengeluar ais kiub yang popular tidak ada dalam senarai tersebut.


"Syarikat ais turut bertanggungjawab memastikan proses pembuatan produk mereka bebas daripada unsur meragukan. Pengguna terutamanya yang beragama Islam sudah peka dengan barangan yang terdapat di pasaran dan mereka inginkan jawapan jika status produk itu meragukan,” katanya.

Badrul Hisham berkata, air juga antara faktor pelbagai penyakit boleh merebak.

"Walaupun isu ini dilihat remeh, tetapi ia melibatkan keseluruhan pengguna dan peniaga," katanya.

Menurutnya, harga jualan ais kiub  yang begitu murah menjadi faktor ramai peniaga tidak menghasilkan ais kiub  sendiri.

"Melaka Biotech sedia menjadi orang tengah bagi menguji sampel kiub ais jika diyakini tidak dibuat menggunakan air bersih.

"Kita tidak mahu masyarakat di negara ini menghidapi penyakit yang berpunca daripada penggunaan air kotor," katanya.

Friday, December 13, 2013

Muhammad Bin Ahmad Zahid

Assalamua'laikum....

Semalam (12 Disember 2013) tatkala Ummi menonton Buletin Utama, mata terpaku pada satu berita daripada luar negara di mana kerjasama antara kerajaan Negeri Perak dan Universiti Fatih sangat menarik minat Ummi, apatahlagi tiba-tiba adik Muhammad Ahmad Zahid mengalunkan ayat suci.

Universiti tersohor di dunia ini mempunyai 7 Fakulti, 140,000 orang pelajar di mana 8,500 orang terdiri daripada pelajar luar negara dari 110 negara. Universiti yang menginjak 17 tahun ini terdiri hasil daripada sebuah badan sukarela dimana sumber kewangannya 100% daripada hasil waqaf. MashaAllah, hebat bukan...

Apabila terpandangkan wajah adik Muhammad yang semakin menginjak dewasa, ternyata daripada dulu hingga sekarang anak muda ini boleh mencairkan mana-mana jiwa dengan kemerduan suaranya. Sungguh besar pengorbanan ibu bapanya untuk menghasilkan anak sehebat Muhammad. Semoga Muhammad terus menjadi yang terbaik dan dilimpahi rahmat Allah hingga ke akhir hayat. Teringat ketika Muhammad berada dalam AQ ke 4 dulu (kalau tak silap la), Ustaz Nazri pernah mengatakan yang Muhammad ini sungguh payah untuk melihat senyumannya tetapi bakal calon menantu yang dinanti. Oh, semoga anak-anak Ummi juga menjadi anak-anak yang solehah.

Waktu senggang tatkala ini mulalah Ummi berdamping pakcik Google untuk mencari info terbaru Muhammad dan mendengar dia mengaji. Rupa-rupanya Muhammad dibesarkan dengan suasana masjid semenjak umur 4 tahun hasil asuhan datuk, ibu dan ayahnya. Malah hafazan Muhammad bermula pada umur 7 hingga 10 tahun secara sepenuh masa dan tidak pernah didedahkan dengan kartun. Makanannya pula berasaskan sumber halal dan yang berkualiti. Cita-citanya pula ingin menjadi Ulama' professional.

Mengikut bapanya, sifat sabar dan ikhlas perlu ada dalam diri setiap ibu bapa agar anak-anak yang dilahirkan dapat dibentuk dengan cemerlang dunia akhiratnya. Selain berdamping dengan bahan bacaan untuk mendapat ilmu, ibu bapa juga hendaklah rajin bertanya dengan orang-orang terdahulu kerana pengalaman mereka tidak ternilai dan kesilapan orang tua kita juga janganlah kita ulangi lagi. Menurut ibunya pula, semasa mengandung beliau sangat menjaga pandangan dan mulut agar hanya meihat serta mendengar yang baik-baik sahaja.

Allahhuakbar.... mulia sungguh peribadi ibu bapa Muhammad. Mereka sangat sabar dan tidak berputus asa dalam mendidik anak-anak. Semoga Ummi dan abah dapat sama-sama menongkah arus membesarkan anak-anak agar menjadi insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.


Friday, November 15, 2013

Siapa ayahku?

Semalam, 14 November 2013 Ummi sempat menonton Semanis Kurma dengan tajuk Siapa Ayahku?

Dengar tajuk je dah cukup memberikan pelbagai persepsi kan? Rancangan yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton ini telah menjemput Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek, Pendakwah/Penasihat Pertubuhan Iman dan Ihsan Malaysia.

Seperti yang kita ketahui Allah telah pun memerintahkan supaya umat Islam menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina kerana akibat daripadanya sangatlah dahsyat. Salah satu daripadanya ialah kelahiran anak yang tidak sah taraf kerana perlakuan itu adalah hasil daripada hubungan intim lelaki dan wanita yang belum bernikah. Di dalam Islam, hanya pasangan suami isteri yang telah sah bernikah sahaja dibenarkan untuk mengadakan hubungan intim.

Mengapa Allah melarang kita menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina? Wahai Tuan/Puan, sahabat-sahabat dan adik-dik yang dimuliakan, sesungguhnya akibat daripada perbuatan zina itu akan dapat dirasai ketika di dunia dan akhirat juga. Antaranya di dunia ini nanti cahaya dimukanya akan lenyap dan hisab di akhirat nanti adalah buruk. Tetapi pada episod Semanis Kurma ini hanya akan membincangkan mengenai anak yang lahir tanpa bapa yang sah.

Menurut Ustaz Mohd Hanafiah, bayi yang lahir kurang daripada 6 bulan qamariah selepas pernikahan tidak boleh berbin atau berbintikan lelaki yang telah menikahi ibunya. Allahhuakbar. Tentu kita boleh bayangkan masa depan bayi tersebut, urusannya kelak pasti sedikit sukar kerana terdapat kelainan di dalam surat beranaknya. Tambahan pula masyarakat kita selalu menuduh atau mengata yang bukan-bukan mengenai anak seperti ini, walhal mereka perlu diberi kasih sayang agar kebajikanya terjaga.

Pada zaman Rasulullah dahulu, ada seorang wanita yang telah mengandung akibat daripada zina lalu dia menemui Rasulullah supaya dirinya dapat dihukum. Tetapi Rasulullah menyuruhnya balik dan menunggu anak tersebut lahir dahulu. Setelah anaknya lahir, wanita itu datang lagi menemui Rasulullah, sekali lagi dia disuruh balik dan menyusukan anaknya sehingga habis tempoh penyusuan. Apabila tempoh penyusuan berakhir, wanita itu datang semula untuk mendapatkan hukuman, tetapi Rasulullah mengatakan bahawa cukuplah taubatnya kepada Allah untuk memohon keampunan di atas dosa-dosanya.

Nampak tak kalian? Wanita yang mengandung tanpa bernikah ini diberikan kasih sayang supaya dia tidak mengulanginya lagi. Tetapi akhlak kita jauh berbeza daripada Baginda kerana kita sering mencerca mereka tanpa kita sedari sedikit sebanyak kita jugalah punca bayi yang tak berdosa di buang merata-rata tempat. Betul, mereka telah berdosa dan sedang menerima hukuman tetapi sebagai masyarakat yang prihatin seharusnya kita tidak buta-buta menyalahkan mereka.

Tentulah sesuatu itu terjadi ada puncanya, mana tahu ianya akibat masalah keluarga atau krisis identiti yang sedang dialami mereka. Mungkin juga pengaruh media turut menyumbang kerana hari ini kita disajikan dangan program hiburan yang melampau dan aksi-aksi didalam filem/drama pula mengghairahkan. Mana yang dapat menapis godaan-godaan ini mungkin terselamat tetapi kasihan pula pada yang lalai. Berbaliklah kepada jalan Allah, itulah jalannya.

Sebaiknya kita mencari punca dan membantu untuk menyelesaikannya bukan menambah beban yang ditanggung. Di sinilah peranan kita sebagai masyarakat yang perlu prihatin terhadap perkara sekeliling tetapi kadang-kadang sikap kita yang menganggap ‘prihatin’ itu sebagai ‘jaga tepi kain orang’ juga adalah penyebab kepada keruntuhan moral pada zaman ini.

Kalau dulu-dulu anak jiran adalah anak kita tetapi sekarang tidak lagi, silap haribulan kita disembur pula kerana dianggap mencampuri urusan orang lain. Zaman bertambah canggih teknologinya dan peranan masyarakat juga kian terhakis. Semua yang berlaku kini adalah akibat daripada perbuatan kita juga bukannya semata-mata takdir.

Berbalik kepada anak tidak sah taraf ini, lazimnya mereka mempunyai rasa rendah diri yang sangat kuat, memberontak, malu dan mengasingkan diri daripada masyarakat. Lalu akhirnya mereka akan terbiar dan kemungkinan besar akan bercampurgaul dengan golongan yang agak ‘nakal’.

Ummi tidak dapat membayangkan kepayahan yang akan ditempuh oleh anak-anak ini tetapi pesanan yang sempat dititipkan ialah agar mereka tetap tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Janganlah diulang kesilapan ibu ayah dulu, jadilah insan yang boleh memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Tidak ada bezanya anak tidak sah taraf dengan yang lain kerana mereka tidak berdosa. Kukuhkan hati dengan iman supaya dapat menepis onak dan duri, semoga Allah terus melimpahkan rahmatnya buat kita semua. Marilah kita sama-sama memainkan peranan supaya gejala ini dapat dibendung daripada terus berlarutan.


Mohon maaf andai buah fikiran Ummi menyinggung hati sesiapa….

Thursday, November 7, 2013

Kita makin hilang hidup bermasyarakat

"Ishh... aku tak nak komen. Aku ada anak pompuan jugak."
"Entah la, biar je la diorang tu. Lebih baik aku jaga anak aku sendiri."
"Kau tak payah nak tegur-tegur anak aku, pandai la aku nak jaga anak sendiri."
"Ingat, awak pun ada anak jugak..."

Dialog-dialog seperti di atas tentunya seringkali kita dengar di sekeliling kita. Kadang-kadang ianya membuatkan kita berada di persimpangan kan.

Hari ini suasana hidup tidak sama seperti dulu-dulu. Sekarang, masing-masing dengan hal sendiri. Makin canggih teknologi, makin meningkat pula rasa ke'aku'an di dalam diri. Ummi bukannya siapa pun untuk mengulas perkara ni tapi hanya nak berkongsi sedikit pandangan yang tentunya sangat fakir. Jika ianya baik maka amalkan tetapi jika tidak, jadikan sempadan.

Sebentar tadi, Ummi terbaca di dalam Facebook mengenai pasangan kekasih remaja yang telah memasukkan video mengenai kasih sayang mereka. Remaja lelaki ni sedang mengambil SPM, manakala yang perempuan pula tidak Ummi ketahui. Berdasarkan link Facebook terbabit Ummi menjejak mereka, nyata ada beberapa keping gambar yang diupload tu sungguh tidak sepadan dengan usia remajanya. Tatkala sedang membaca status usia hubungan mereka, seorang daripada rakan Ummi mengatakan sesuatu yang maksudnya seperti dialog di atas. Lantas Ummi tersenyum sendiri dan mengatakan lebih kurang begini...

"Ya, kita masing-masing ada anak. Kita bukannya nak masuk campur urusan orang lain apelagi nak mengata. Cuma, bila kita tengok benda-benda macamni kita peringatkan diri sendiri jugak."
"Kita pun takut sebab kita ada anak tapi sampai bila kita nak sellfish, makin lama kita makin hilang tanggungjawab pada masyarakat dek sebab takut nak tegur, nanti terkena pada anak sendiri."

Pada Ummi, kejatuhan akhlak orang-orang zaman sekarang adalah disebabkan sikap kita sendiri. Masing-masing takut nak bersuara sebab nanti berbalik pada ahli keluarga sendiri. Sudahnya, kita langsung tak mempedulikan hal keliling hanya kerana taknak ahli keluarga jadi seperti apa yang kita tengok. Apakah terjamin jika kita tak cuba membantu atau menegur, ahli keluarga kita terselamat? Hakikatnya tidak, kerana pada perkiraan Ummi kalau hari ini kita tidak mengambil berat entah-entah esok lusa diusiknya juga ahli keluarga yang kita sayang.

Mengambil berat, mengambil peduli, menegur, membantu atau apa saja perbuatan yang seumpamanya bukanlah bermaksud untuk mencampuri urusan orang lain. Kita sayangkan mayarakat, jadi kitalah yang menjaganya daripada tercemar. Kalau masing-masing membisu, siapakah yang akan mengambil tanggungjawab menjaga keharmonian yang kita nikmati ini.

Sahabat-sahabat sekalian... bukanlah tujuan Ummi untuk mencari aib, mencampuri urusan atau memandai tetapi sedikit daripada pandangan ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan bersama. Janganlah difikirkan dosa tanggung sendiri dan kubur masing-masing. Terfikirkah kita bahawa kalau kita tiada nanti kubur yang akan kita duduki itu memerlukan orang lain untuk menggalinya, malah kain kafan juga akan dibalut oleh orang lain. Jadi, janganlah kita hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri.

Janganlah kita mengundang masalah kepada orang lain. Ingatlah, apa jua yang kita lakukan haruslah memberi manfaat kepada orang keliling, bukannya mendatangkan mudarat.

Ummi berdoa agar hidup kita lebih tenteram, terlindung daripada fitnah malah dijauhkan daripada segala perbuatan mungkar. Marilah kita menjaga keharmonian masyarakat ini tetapi tidaklah sehingga mencampuri urusan orang lain. Kita saling mengingati supaya dapat menjaga kebaikan sehingga bila-bila.

Maaf kalau pandangan yang fakir ini menyakiti hati mana-mana pihak.... 

Deraan kanak-kanak di pusat asuhan Taman Melati, KL

Minggu lepas kita dikejutkan dengan pendedahan seorang bapa mengenai penderaan pengasuh terhadap kanak-kanak dalam jagaannya di Taman Melati, KL. Sampai hari ni, Ummi langsung tak sanggup nak tengok video tu. 

Sungguh hati tak keruan bila dengar budak-budak nangis, macam mana la pengasuh tu sampai hati buat macamtu ye? Bila dibaca pelbagai sumber, rupanya aduan terhadap taska ni telah dibuat sejak 2 tahun lalu oleh ibu bapa kepada salah seorang kanak-kanak di situ. Doktor terbabit telah mendapati kesan yang terdapat pada kaki kanak-kanak tersebut bukanlah akibat demam campak tetapi deraan. Malangnya perbuatan pengasuh tersebut berlarutan sehinggalah ianya terbongkar pada 18 Oktober 2013 setelah seorang bapa nekad meletakkan kamera tersembunyi pada beg pakaian anaknya. Menurut pengadu yang hanya dikenali sebagai Mohamad itu, idea tersebut timbul apabila tingkahlaku anaknya berubah sejak 4 bulan lalu. Malah beliau turut dibohongi apabila ditanya mengenai kanak-kanak disitu yang seringkali dilihat menangis, pengasuh mengatakan ianya adalah perkara biasa setelah mereka mandi. Rakaman tersebut telah dikongsi beliau dengan salah seorang ibu yang turut menghantar anaknya di taska tersebut.

Kini, rakaman dan laporan mengenai kes deraan itu telah dibuat kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Berikutan daripada siasatan kes ini, taska terbabit telah didapati tidak berdaftar walaupun didalam akaun Facebook tercatat berdaftar dengan JKM. Pengasuh terbabit turut diarah menyerah diri.

Kita tunggu dan lihat apakah perkembangan selanjutnya mengenai kes ini nanti. 

Ummi sangat menyesal dengan apa yang telah berlaku, adalah sangat diharapkan agar kita mengambil pengajaran daripada kisah ini. Sebagai ibu, Ummi bukannya tak pernah memarahi anak-anak, malah apabila kita berada dalam keadaan yang sangat marah kita kekadang terlebih emosi. Secara jujunya, Ummi pernah marahkan Kakak sebab dia tak nak dengar cakap. Masa tu memang amarah tahap yang tertinggi, emosi tak dapat dikawal. Tapi bila reda, Ummi menyesal amat sangat. Cepat-cepat minta maaf pada dia, sampai hari ni peristiwa tu memang melekat kat kepala. Tapi itulah pengalaman yang mengajar Ummi tentang kesabaran, malah teknik mengasuh anak-anak juga Ummi pertingkatkan melalui bacaan dan sumber-sumber lain. Bukan mudah nak menjaga ahli-ahli syurga ni, kesabaran memang akan sentiasa teruji.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Allah melindungi kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat. 

Thursday, August 15, 2013

Suami pukul isteri di dalam lif

Assalamu'laikum...

Hari ini kita digemparkan dengan berita seorang suami memukul isterinya dengan teruk di dalam lif di salah sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam. Tatkala Ummi menonton rakaman itu rasa sebak amat sangat di dada, tak terkata dek perbuatan seperti itu.

Ummi tak mahu mengulas masalah yang dihadapi oleh pasangan ini, namun rasa simpati amat sangat kepada wanita tersebut yang tentunya menanggung sakit tak terhingga. Melihat cara pukulan itu nampak sangat ianya dilepaskan tanpa belas kasihan. Allahhuakbar. Kasihan juga pada anak-anak mereka yang terpaksa melihat ibu dipukul teruk, tentulah trauma seumur hidup. Kalaupun nanti dapat memaafkan perbuatan bapa mereka, kejadian itu pasti terpahat di ingatan selamanya.

Bukanlah cuba menjadi hakim kepada kes seperti ini, namun Ummi berpendapat kalaulah isteri itu tergolong dalam golongan yang tidak baik sekalipun, adalah sangat tidak wajar diperlakukan begini. Tegur, nasihat dengan cara paling berhikmah. Memang isteri itu hak suami tetapi janganlah sampai diperlakukan sebegitu rupa. Isteri masih ada maruah yang perlu dipelihara, bukan jatuh pun maruah suami kalau bersabar dan menangani masalah dengan cara berhemah.

Rasulullah S.A.W bersabda :

"Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang paling baik kepada isteriku." (Rujukan : H/R At Thahawi)

Suami itu acuan buat seorang isteri. Baik suami, baik jugalah isterinya, InshaAllah. Andai mahu berpisah dengan isteri, pulangkanlah kepada keluarganya dengan cara terhormat. Kalau dulu boleh dirisik, dipinang, dinikahi dengan cara paling mulia, mengapa tidak berbuat begitu juga tatkala ingin menceraikannya. 

Ummi berharap anak-anak suami isteri ini terlindung daripada menyimpan dendam akibat perilaku bapanya. Semoga isteri ini mendapat pembelaan yang sewajarnya serta suami tersebut juga mendapat hidayah Allah.  

Monday, February 18, 2013

Amah dera anak majikan

Kejadian di Bukit Setongkol, Kuantan tersebar sejak 16 Februari lalu benar-benar menggemparkan. Amah melambung anak majikannya yang baru berusia 4 bulan. Maaf, video tersebut tidak akan ummi upload di sini. Sangat mengerikan.

Saat mata menyaksikan rakaman yang ditunjukkan oleh suami, ummi benar-benar terkejut. Tak sangka, ada juga orang yang sanggup buat macam tu kat bayi yang belum tahu apa-apa. Allahhuakbar. Tak terjangkau dek fikiran ni.

Trauma pada bayi dan ibu bapanya bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Ketakutan, kerisauan yang hanya dapat dirasai oleh mereka. Kita mungkin berkongsi rasa dan perasaan, tapi mungkin tidak sedalam mereka. Semoga keluarga ini tabah mengharunginya.

Mujurlah si bapa, 42 tahun melihat rakaman cctv pada jam 7.45 pagi ketika sedang minum di sebuah restoran. Kalau tidak, tak tahulah apa yang terjadi. Dah macam roti canai pulak dibuat dek amah kat bayi tu. Aduhai, runtun hati umi melihatnya. Bayi tersebut yang mengalami lebam di tangan dan cedera di kaki kiri dah pun menerima rawatan di Hospital Tuanku Afzan.

Semoga anak-anak ummi dan orang lain juga selamat ketika berada dalam jagaan pusat asuhan ataupun orang persendirian. Tatkala bersama kita juga biarlah keselamatan ditempat yang paling atas.

Sesungguhnya Allah juga tempat mengadu.


*******************************************************************


UPDATE : 19 FEBRUARI 2013

Hareez dimsukkan semula ke HTAA malam semalam berikutan tidak menunjukkan reaksi ketika dikejutkan oleh ibunya. Sangkaan Nina Suraya, 24 tahun nyata meleset apabila mengingatkan anaknya sedang tidur setelah tetamu beransur pulang.

Marilah kita semua berdoa supaya Hareez dalam keadaan selamat dan akan membesar seperti bayi-bayi lain....

Luv u Hareez...