Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, August 6, 2015

MH370... akhirnya terjawab sudah

Setelah 515 hari ianya disahkan hilang, jam 2 pagi tadi Perdana Menteri Malaysia mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion itu milik MH370.

Pulau Reunion yang sebelum ini tidak dikenali merupakan sebuah kepulauan terletak di Lautan Hindi, kira-kira 175km dari barat daya Mauritius atau 900km dari Madagascar.

Tiada kata-kata yang mampu membayangkan penerimaan ahli keluarga krew dan penumpang MH370 yang terlibat. Hanya mereka yang benar-benar merasai hakikat kehilangan itu. Bukanlah kita orang luar ini tidak sedih tetapi kesedihan mereka lebih lagi dalamnya. 

Jika kita turut menangis ketika menerima berita ini, tangisan ahli keluarga mereka lebih lagi sayunya, memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ummi yang tidak mampu menahan airmata di dalam kereta tadi pun rasa sakit untuk cuba menerima apatahlagi mereka. Pun begitu, sebagai orang Islam kita wajib mempercayai qada' dan qadar daripada Allah, hanya Dia lebih tahu segalanya. 

Mengimbau kembali kejadian yang telah berlalu lebih setahun ini, ianya berlepas daripada KLIA jam 12.41 pagi menuju Beijing, China dan sepatutnya mendarat pada 6.30 pagi hari yang sama, 8 Mac 2014. Namun ketika jam 1.21 pagi, pesawat tersebut tiba-tiba hilang dari memasuki kawalan trafik udara Vietnam.  Radar tentera pula mengesahkan pada 2.15 pagi bahawa MH370 berada pada kedudukan 322km ke Barat laut Pulau Pinang. Ketika itu satelit masih mengesan yang pesawat masih terbang.

24 Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan terakhir pesawat misteri ini berakhir di selatan Lautan Hindi. Pencarian juga telah ditumpukan ke kawasan tersebut yang mana ianya menimbulkan pelbagai persoalan kepada dunia bahawa apakah sebenarnya yang telah terjadi. Sehingga kini pun, ianya masih kekal misteri kerana kita memang tidak mengetahui apa yang telah dilalui oleh krew dan penumpang MH370.

Berita kehilangan pesawat ini merupakan tanda ingatan hari jadi Ummi yang pasti tidak dapat dilupakan sepanjang hayat biarpun ianya jatuh pada 9 Mac 2014. Sepanjang hari Sabtu dan Ahad itu, Ummi melekat di depan televisyen untuk mendapatkan berita terkini. 

Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Fariq Abdul Hamid
Sidang media yang diadakan di Pusat Daganagan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi telah menyaksikan Perdana Menteri mengesahkan bukti fizikal tersebut sepadan dengan MH370 setelah disiasat oleh psukan penyiasat penerbangan antarabangsa di Toulouse Perancis.

"Hari ini selepas 515 hari peswat tersebut hilang, dengan hati yang berat, saya ingin menyatakan bahawa pasukan penyiasat penerbangan antarabangsa telah mengesahkan bahawa serpihan sayap pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Bebanan yang dihadapi ahli kelaurga tidak dapat digambarkan, tapi menjadi harapan saya dengan pengesahan ini dapat memberi jawapan kepada mereka walaupun ianya menyakitkan," katanya. 

Turut hadir semasa sidang media itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Al Fatihah dan takziah buat 239 krew dan penumpang MH370. Damailah di sana dan moga Allah merahmati kalian.

No comments: