Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, August 15, 2013

Suami pukul isteri di dalam lif

Assalamu'laikum...

Hari ini kita digemparkan dengan berita seorang suami memukul isterinya dengan teruk di dalam lif di salah sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam. Tatkala Ummi menonton rakaman itu rasa sebak amat sangat di dada, tak terkata dek perbuatan seperti itu.

Ummi tak mahu mengulas masalah yang dihadapi oleh pasangan ini, namun rasa simpati amat sangat kepada wanita tersebut yang tentunya menanggung sakit tak terhingga. Melihat cara pukulan itu nampak sangat ianya dilepaskan tanpa belas kasihan. Allahhuakbar. Kasihan juga pada anak-anak mereka yang terpaksa melihat ibu dipukul teruk, tentulah trauma seumur hidup. Kalaupun nanti dapat memaafkan perbuatan bapa mereka, kejadian itu pasti terpahat di ingatan selamanya.

Bukanlah cuba menjadi hakim kepada kes seperti ini, namun Ummi berpendapat kalaulah isteri itu tergolong dalam golongan yang tidak baik sekalipun, adalah sangat tidak wajar diperlakukan begini. Tegur, nasihat dengan cara paling berhikmah. Memang isteri itu hak suami tetapi janganlah sampai diperlakukan sebegitu rupa. Isteri masih ada maruah yang perlu dipelihara, bukan jatuh pun maruah suami kalau bersabar dan menangani masalah dengan cara berhemah.

Rasulullah S.A.W bersabda :

"Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang paling baik kepada isteriku." (Rujukan : H/R At Thahawi)

Suami itu acuan buat seorang isteri. Baik suami, baik jugalah isterinya, InshaAllah. Andai mahu berpisah dengan isteri, pulangkanlah kepada keluarganya dengan cara terhormat. Kalau dulu boleh dirisik, dipinang, dinikahi dengan cara paling mulia, mengapa tidak berbuat begitu juga tatkala ingin menceraikannya. 

Ummi berharap anak-anak suami isteri ini terlindung daripada menyimpan dendam akibat perilaku bapanya. Semoga isteri ini mendapat pembelaan yang sewajarnya serta suami tersebut juga mendapat hidayah Allah.