Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, April 17, 2015

Bila ku ingat tentang mati...

Sayu, sedih, risau....

Itulah yang Ummi rasa sejak akhir-akhir ini. Melihat orang keliling yang pergi seorang demi seorang benar-benar memagut rasa hiba. Waktu kian singkat dan umur pun makin meningkat. Ummi sendiri tak terjangka boleh bernafas dengan baik dan sihat sehingga 35 tahun. Sekejap lagi, malam ini, esok lusa dah tentu Ummi tak tahu masih ada hayat atau pun tidak.

Bila melihat anak-anak tentulah sesak dada dibuatnya. Kalau Ummi pergi dulu bagaimana agaknya 4 Nawal ini. Bagaimana juga Abah nanti? Mak, ayah, adik-adik, sahabat dan orang keliling juga bagaimana.... 

Hari pertama, kedua, ketiga hinggalah hari-hari yang masih di peringkat awal tentulah kita mengingati dan rajin bersedekah buat arwah yang dah pergi. Kebiasaannya ia akan beransur hilang sedikit demi sedikit. Malah realitinya, kita menziarahi pusara si arwah pada Hari Raya sahaja. Ada insan-insan yang kerap menziarah dan bersedekah buat orang tersayang yang dah pergi tetapi jumlahnya sedikit. Mungkin kekangan waktu dan keadaan. Kita tidak boleh menilai orang yang tidak menziarahi pusara orang tersayang itu bererti mereka tidak kasih dan tidak mengingati. Mungkin doa dan sedekah daripada jauh.

Tatkala menjemput 4 Nawal, sayu hati melihat seorang bapa yang juga merupakan jiran Ummi. Beliau baru sahaja kehilangan isteri tersayang beberapa bulan yang lalu. Anaknya 3 orang, yang sulung berumur 9 tahun dan si bongsu dalam 2 tahun. 2 minggu selepas pemergian isterinya memang Ummi tak nampak kelibat mereka di taska tetapi selepas itu si bapa menguruskan anak-anaknya sendirian. Fikir Ummi, mungkin anak-anak di hantar ke kampung. Ye la, mungkin agak sukar untuk menguruskan anak-anak yang masih kecil seorang diri. Tapi si bapa ini tabah orangnya, tak terbayang bagaimana dia melaluinya. Semoga Allah merahmati beliau dan anak-anaknya. 

Pemergian insan tersayang secara tiba-tiba tentulah menyentak hati kecil kita. Meredhai pemergian dalam masa yang singkat bukan semudah yang diucap. Hanya yang pernah melaluimya tahu akan rasa hati yang terpendam.

Ummi juga tidak bersedia untuk menerima kehilangan sesiapa pun walaupun tahu hakikat kematian boleh menjemput bila-bila masa. Soalnya persediaan bagaimana yang harus kita ada untuk menempuh dugaan seperti itu? Tiada siapa pun mahu kehilangan orang tersayang. Kalau boleh kita mahu hidup selama-lamanya dengan mereka sampai bila-bila.

Hakikat hidup, tentulah kita perlu redha menghadap ujian daripada Allah dan meneruskan kehidupan agar lebih baik serta mengambil pengajaran atas setiap perkara yang berlaku. Apa yang terfikir kini, kalaulah Ummi tiada nanti harapnya insan-insan tersayang akan tabah mengharunginya. Anak-anak akan lebih berdikari dan pandai menjaga diri sebaik mungkin. Kalaulah ada pengganti, biarlah dia seorang yang lebih baik dan dapat menerima seadanya 4 Nawal ini. Mungkin bukan mudah tetapi perancangan Allah itu lebih baik dan tidak siapa pun tahu akan hikmahnya. Luasnya rahmat Allah tak terjangkau dek akal kita.

Ummi pun selalu berdoa supaya sebelum pergi segala dosa dan kesalahan diampunkan. Baik yang tidak sengaja ataupun sengaja, yang nampak atau tidak nampak dan yang besar atau yang kecil. Pergi dalam keadaan yang suci dan bersih adalah impian tertinggi. Lunasnya segala hutang piutang, selesainya urusan di dunia malah tidak meninggalkan kesusahan kepada mereka yang ditinggalkan adalah satu usaha yang perlu dibuat setiap hari. Maksudnya kita harus berusaha membuat yang terbaik dan menyudahkan apa yang patut disudahkan pada hari itu juga supaya kita tenang bila menghadap Ilahi.

Semoga amalan mengingati mati itu membuatkan kita makin berusaha untuk membawa bekal yang baik dan tidak bermusim pula.

Wahai orang kelilingku... bila tiba giliranku nanti, redhailah perpisahan kita. Kasih sayang terhadap kalian akan kubawa hingga ke akhir hayat. Maaf dan ampunkanlah segala dosa-dosaku. Halalkan segala makan minumku. Ingatilah daku dalam setiap doa dan sedekahmu....

Wednesday, April 15, 2015

Catatan hari ini

Alhamdulillah.

4 puteri Ummi itu benar-benar kurniaan terindah yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata pun. Walau tiada putera, hidup kami tetap indah kerana kata Abah kami ini pasangan terpilih. Ya, terpilih untuk memiliki anak-anak perempuan. Tentulah ada hikmah dan perancangan Allah itu lebih baik kan.

Menguruskan mereka bukanlah satu perkara yang mudah. Ada masa rasa macam terpacak je rambut Ummi ni. Tapi ada masa tenang je.... Tingkahlaku anak-anak memang berbeza, tidak sama walau mereka satu jantina.

Kakak Ashiqin lebih pemalu dan takut, kakak Inshirah seorang yang happy dan berani manakala kakak Haseena pula manja tapi lasak. Baby Husna baru 8 bulan lebih, masih tak nampak lakunya. Setakat ni mulutnya senyap sikit, nak dengar suara tunggulah dia menangis. Baru tahu langit tu tinggi ke rendah. Hehehe...

Benarlah kata orang, sabar seseorang itu benar-benar teruji bila ada anak-anak. Menjaga bunga-bunga syurga bukanlah manis sahaja jalannya, ada pelbagai rintangan yang perlu dilalui. Tabahlah hati dan bertahanlah fizikal dalam membesarkan anak-anak.

Panjangkah umur Ummi untuk membesar dan mendidik mereka? Hanya Allah lebih tahu, namun setiap hari Ummi berdoa agar umur ini panjang, sihat serta diberikan keberkatan hidup dalam membesarkan mereka. Dah tua nanti rupa Ummi dan Abah macammana la agaknya ye? Oh, semoga ikatan ini kekal ke akhir hayat, berbahagia dengan anak-anak gadis yang makin membesar.

Ya Allah, berkatilah hidup kami dan jauhkan kami daripada segala fitnah yang menyakitkan...

Friday, April 10, 2015

Teknologi kini....

Teknologi kini
adakalanya membuatkan kita bodoh
adakalanya membuatkan kita gila
adakalanya membuatkan kita cuai
adakalanya membuatkan kita lupa
adakalanya membuatkan kita malas
adakalanya menyempitkan akal juga...

Percayakah?
Teknologi itu juga membuat kita makin sibuk
yang kadang-kadang entah apa-apa...

Lalu... sedarkan kita atas kelekaan ini?

Thursday, April 9, 2015

Kakak makin sihat

Alhamdulillah... kakak makin sihat walaupun tidak sepenuhnya. 

Selesemanya masih ada, malah kesan lebam di sekitar bawah hidung dan mulutnya juga jelas kelihatan. Hanya Cetaphil yang Ummi sapu supaya ianya cepat hilang. Kulitnya memang sensitif dan parut pula jenuh nak hilang. Kulit di sekitar lehernya yang agak kehitaman sampai sekarang masih ada, hampir 2 tahun.

Cepat sembuh sayang....

Tuesday, April 7, 2015

Kakak tak sihat

Pagi ni Ummi masuk lambat ke pejabat, bawa kakak ke klinik. Dia demam, batuk, selesema dan lelah. Awal Mac lepas pun kakak tak sihat juga....

Ohh... kesian sungguh anak Ummi ni. Memang sejak kecil penjagaannya memerlukan perhatian yang tinggi. Setakat ni hanya dia dan Haseena begitu, maintanance tinggi sikit. Hehehe.... dugaan membesarkan anak-anak. Pelbagai ragam. Oh ye... terima kasih sangat-sangat pada abah yang sanggup bercuti demi menjaga kakak. Ummi tak boleh nak ambik cuti lagi sebab dalam tempoh tak sampai 3 bulan penuh (Januari-Mac 2015) dah 9 hari 'cuti kecemasan'.

Sewaktu Ummi berjaga sepanjang malam tadi, demam kakak tidak tinggi malah pagi tadi suhunya normal. Alhamdulillah. Cuma sekitar 4 pagi tu, Ummi dengar nafasnya agak kuat. Ye la, Ummi duk luar bilik tapi boleh dengar 'whizzing' tu... Masa tu macam nak melompat je turun ke bawah ambilkan ubat untuk dia. Lepas bagi ubat, Ummi ubahkan bantalnya dan urut dada sampailah hilang bunyi tu.. Alhamdulillah. Syukur masa tu Ummi berjaga, kalau tengah tidur entah dengar entahkan tidak.

Tiap-tiap malam sebelum tidur, doa yang tak pernah Ummi lupa ialah mohon supaya apa jua yang berlaku di sekeliling, Ummi akan cepat sedar supaya boleh bertindak dengan sewajarnya. Malah Ummi juga ajar budak-budak tu kalaulah kebakaran berlaku atau apa-apa yang memudaratkan, gunalah tingkap yang ada kunci tu untuk menyelamatkan diri. Langsir rumah pun boleh guna sebagai salah satu penyelamat keadaan. 

Kakak... Ummi doakan kakak cepat sembuh ye. Ingat tau pesan Dr. Syikin tadi, kakak kena tambahkan berat badan lagi 4 kg supaya jadi normal. Kuatkan semangat, makan ubat ikut arahan, banyakkan berehat,..................... (banyak nak pesan sebenarnya tapi tak larat nak tulis). Inilah sikap seorang emak kan, banyak sangat pesannya walaupun anak dah besar panjang. Hehehe....

Monday, April 6, 2015

Tak tahu nak bagi tajuk ape ni...

Sekian lama Ummi cuba mengelak rasa 'Monday Blues', semangat kena kuat ok!

Huhhh... tapi memang tak dapat dielak rasa mengantuk. Tidur tak sampai 2 jam memang la mengantuk walaupun hampir setiap hari menjadi rutin. Subuh tadi Ummi tidur lebih kurang jam 4 pagi, sudahnya terbangun 6.20 pagi. Abah pun terlewat.

Bercuti 2 hari bukanlah seindah yang dibayangkan. Kononnya nak menjahit dress, tudung dan nama kakak pada tudung sekolahnya. Nak baring dan tidur sekejap pun tak dapat ni pulak nak pegang mesin jahit... hhhmmmmm....

Kalau diikutkan, banyak je benda nak dibuat tapi bila ikut list tentulah yang penting itu perlu diutamakan. Sejak beranak pinak ni banyak betul perkara yang harus ditimbangtara dan didahului sebelum memenuhi kehendak sendiri. Suami dan anak-anak tempatnya teratas, keperluan mereka perlu dilunaskan sebelum yang lain. Akibat kesibukan itulah adakalanya keperluan diri sendiri terabai, adakalanya sedikit tetapi ada masa-masanya banyak sungguh yang terabai. Ada pulak anak kecik yang pantang nampak ibunya, itu yang mandi pun ala kadar je! Ummi tak malu mengakui itu sebab memang terjadi kat diri sendiri pun. 

Sedar-sedar je kuku dah panjang, pandang-pandang luar hari dah petang... Kalau kira jumlah menapak dalam rumah sendiri mau Ummi sampai ke Perak dah. Hahaha... realiti kepenatan mengejar itu dan ini buat seorang ibu tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Kalau dapat suami yang culas membantu, sakit hati dapat, penat pun dapat!

Jadi, para suami yang dikasihi... ringankanlah beban isteri. Kalau dah bantu ringankan beban dia jangan pula diungkit. Apa yang dibantu oleh kamu tak boleh menggantikan keletihannya setelah bergelar isteri dan ibu kepada anak-anak kamu. Penat dia tak sepenat kamu....

Eh... kalau isteri yang pemalas macam mana? Haaa.... terbalikkan la perkataan suami tu kepada isteri bermula pada perenggan 5. Penat!

Kejap, kejap..... macam dah jauh je menyimpang ni. Hehehe... pusing balik!

Lunch hour ni Ummi nak tidur. Kalau tak dapat cover banyak, dapat hilangkan sikit mengantuk kat hujung mata ni pun jadilah. Dulu masa Ummi kecik, rasa hairan sangat bila tengok mak dapat melelapkan mata di mana-mana aje. Selalu jugak tanpa bantal, baring kejap kat lantai terus tertidur. Rupanya setelah diri sendiri jadi ibu, baru kutahu langit tu tinggi ke rendah. Macam pagi tadi, masa kejutkan kakak dan adik untuk mandi. Sambil duduk dan tepuk-tepuk belakang kakak tanpa sedar terlelap juga akhirnya.

Aduhai.... anak-anak Ummi sayang, penatnya tak terkata bila jadi mak ni. Itu pun abah rajin bantu, kalau jenis duduk lenggang kangkung mau berapi rumah. Dinosaur menyerang, hahaha!

Ok, ok... Ummi sambung kemudian ye. Bye...

Friday, April 3, 2015

Hari Raya Puasa 2015

Hari ni Ummi buat 5s dalam komputer kerja di pejabat. Waaa.... dah macam buat 5s barang-barang pulak kan, hehehe...

Dalam duk buat 5s tu terjumpalah gambar-gambar yang tidak pernah lagi Ummi print. Semua dalam bentuk digital lagi. Entah bila nak diprintkan tak tahulah.

Layan dulu gambar Raya Puasa tahun lepas, 28 Julai 2015. Masa ni baru seminggu Ummi lahirkan baby Husna.


Terima kasih banyak-banyak buat Chik sebab sanggup tak balik kampung hanya semata-mata tolong uruskan Yong sekeluarga. Jasamu hingga ke mati ku bawa dik...

Tengok la tu, tema baju pun warna-warni. Ummi tak larat dah nak mencari baju dan barang-barang keperluan lain, pakai mana yang ada je. Tapi abah sempat belikan sepasang baju kurung buat anak-anak dara ni.


Sibuk kakak-kakak baby nak bergambar sambil pegang sendiri baby. Baru seminggu adik tu kakak oiii....


Ni masa kakak-kakak baby sibuk bubuh kuih dalam balang. Seronok diorang sebab dapat buat sendiri. Gambar budak yang pakai baju kuning tu anak buah Ummi, Najwa namanya. Keluarga sebelah Ummi datang pada petang raya dengan lemang dan rendang kesukaan kakak-kakak baby. Ummi telan air liur je la nak...

Beberapa bulan lagi dah nak raya semula. Betapa cepatnya masa berlalu....