Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Monday, May 19, 2014

Kami


Kami sama-sama dah kembang setaman sekarang ni, hehehe... Moga jodoh dan cinta kami hingga ke akhir hayat.

Buat dia yang terpahat di hati... sungguh saya bukan seorang wanita yang tiap harinya melafazkan kata sayang dan cinta tetapi itu tidak beerti hati saya kosong tidak berbunga. Saya juga tidaklah secantik dan sesempurna mana kalau nak dibandingkan dengan orang lain tapi saya berazam setiap hari untuk terus melakukan yang terbaik untuk keluarga kita. 

Masakan saya tidak sesedap mana, malah mungkin tidak menepati citarasa awak pun. Ada masanya saya tidak mampu pun menguruskan anak-anak dan rumah dengan baik. Buat yang ini, tertinggal yang lain pula. Adakalanya juga emosi saya turun dan naik. Dalam erti kata mudah, serba serbi saya tidak sempurna dan mungkin tidak menepati piawaian awak pun. 

Sungguh... kalaulah saya ada kuasa magis, saya mahu memberikan yang sempurna dan terbaik saja untuk awak dan anak-anak. Biar tidak ada cacat celanya.

Saya mohon ampun maaf atas segala salah silap samaada yang sengaja atau tidak. Saya cintakan awak sehingga ke Jannah, InsyaAllah. 

Solat Berjemaah

Solat merupakan Rukun Islam yang kedua selepas daripada mengucap kalimah syahadah. Nyata ianya kewajipan yang sangat dituntut untuk dipenuhi walau apa jua keadaannya melainkan terdapat beberapa sebab yang mengecualikan seseorang itu daripada mengerjakannya, antaranya ialahperempuan yang didatangi haidh atau nifas dan gila.

Ketika seseorang itu berada dalam perang pun kewajipan untuk mendirikan solat tidak dikecualikan. Malah Allah SWT telah berfirman dengan maksud :

Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

Namun solat berjemaah ini sering dipandang remah atau ringan malah ada yang berpendapat solat Jumaat dan solat sunat Hari raya sudah mencukupi asalkan ianya tetap dilaksana 5 kali sehari. Ramai juga yang tahu akan kelebihan berjemaah tetapi ianya tetap tidak mendapat sambutan dan galakkan. Sabda Baginda SAW di dalam riwayat al Bukhari menyebut :

Solat berjemaah itu lebih afdal daripada solat berseorangan dengan kelebihan 27 darjat.

Jika kita benar-benar menyoroti hidup Baginda yang sangat mementingkan solah jemaah, adalah didapati bahawa beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sejak Baginda berhijrah ke Madinah sehinggalah baginda wafat. Semasa Baginda dan sahabat berada di Mekah, kaum Quraisy sentiasa memberi tekanan sehingga mereka terpaksa solat secara bersendirian.

Malah, kelebihan solat berjemaah ini turut dibuktikan dengan kaedah saintifik di mana apabila bahu antara jemaah mampu menyeimbangkan cas elektrik (positif dan negatif) tubuh seseorang yang akhirnya akan memberikan kesegaran dan tenaga. Hasil kajian John Herbert, seorang pakar sains fizik di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat ini mendapati bahawa tenaga yang telah manusia gunakan dalam aktiviti seharian boleh diseimbangkan semula ketika mendirikan solat secara berjemaah.

Setelah kita mengetahui begitu banyak dan hebatnya solat berjemaah ini, mengapa kita masih leka untuk merebut peluangnya? Apakah keselesaan hidup di dunia telah menyebabkan kita lalai daripada mengejarnya?

Jika kita individu yang masih belum berkahwin, apalah sangat alasannya untuk berjemaah tak kira di rumah atau di masjid. Manakala bagi yang telah berumahtangga, cubalah mengatur masa yang terbaik untuk berjemaah bersama keluarga. Sebenarnya tiada alasan melainkan hanya kita yang kerap memberikan alasan! Ketua keluarga mestilah memainkan peranan yang penting untuk mengajak ahli keluarga menjadikan solat berjemaah ini sebagai amalan tetap dalam hidup seharian. Sesekali tak salah juga rasanya kita saling 'memeriksa' bacaan dalam solat supaya kualiti bacaan dapat dipertingkatkan. Wallahhua'lam.

Rujukan :

1. Utusan Malaysia, 23 November 2011
2. iluvislam.com, 2 Februari 2014

Thursday, May 15, 2014

Sudah 30 minggu

Alhamdulillah. 

Sekarang Ummi dah 30 minggu mengandungkan si kecil ni. Lagi beberapa minggu je kan dia akan lahir ke dunia... macam tak sangka pula... InsyaAllah esok pagi ada pemeriksaan bulanan di Pusrawi Kota Damansara seperti bulan-bulan sebelum ini.

Ehsan daripada babycenter.com
Kalau mengikut perkembangan yang tertulis dalam babycenter.com, paru-paru dan salur penghadaman bayi sudah hampir matang sepenuhnya. Beratnya juga kian bertambah, manakala ukuran panjang bayi juga adalah kira-kira 40cm. Bayi juga dah pandai membezakan suasana cerah atau gelap malah sudah boleh mencari punca arah cahaya. Saat ni, bolehlah kalau nak cuba bermain lampu suluh dengannya.

Semenjak 3 minggu lepas Ummi juga dah susah nak tidur malam. Kalau tidur, tengah malam nanti berjaga sampai ke Subuh hari. Mula-mula dulu Ummi tetap baring sambil terkedip-kedip mengharap agar dapat tidur semula. Tapi bila mata langsung tak mengantuk sudahnya Ummi bangun juga buat apa yang perlu. Haa... lepas tu dalam kereta tidur tak ingat la. Sampai pejabat baru tersedar, kesian En. Suami takde kawan sembang dalam kereta.

Sesuatu yang Ummi perasan (daripada anak pertama hingga yang keempat ni), bila masuk trimester ketiga semangat dan kerajinan mencanak-canak naik. Agaknya badan dah sihat, alahan pun dah kurang, maka segala yang tertangguh selama berbulan-bulan lamanya menuntut untuk diselesaikan. Ada je yang nak dibuat... berkebun, mencuba resepi baru dalam masakan, menjahit, mengemas rumah dan sebagainya.

Bila leka buat kerja tak ingat sakit dan letih, tapi bila sekali duduk atau baring.... haaa, sakit kat pinggang sampai ke punggung ni sangat la azab rasanya. Sekarang pun bila ada daya je Ummi solat macam biasa, kalau sakit tu terasa terpaksa la solat duduk. Tapak kaki pun dah terasa sakitnya, mungkin badan dah terlebih berat kan. Duduk dalam kereta lama-lama pun payahnya nak bangun keluar. Eh, jauh ke daripada Subang ke KL? Sebelum ni rasa biasa je tapi sejak mengandung terasa jauh pulak. Masa dalam kereta pun tak boleh duduk statik macam dulu, nak kena ubah posisi selalu sebab dah terasa tak selesa.

Bila makin dekat hari nak melahirkan, makin berdebar pulak rasanya. Harap-harap sakit tak lama macam kakak-kakaknya dulu. 

Oh, nak ucap terima kasih tak terhingga kepada En. Suami yang sekarang makin bertambah sibuknya di rumah. Awak memang suami dan abah yang terbaik. Love u sayang...

Friday, May 9, 2014

Kerja Kahwin Yang (Part 1)


Tengahari tadi sempat juga Ummi mencuri masa ke Kedai Reben di Jalan TAR. Tidaklah banyak Ummi beli barang tapi cukup untuk membuat sedikit persiapan kenduri kahwin Yang nanti.

Oh ya, Yang tu sebenarnya adik lelaki Ummi yang ketiga. InsyaAllah jika tiada halangan, 31 Ogos nanti dia akan bernikah dengan gadis pilihannya yang juga orang Perak. Semoga hajat mereka kesampaian dan kekal ke akhir hayat hendaknya.

Angan-angan tu tinggi melangit nak buat itu dan ini tapi tengoklah keadaannya nanti. Kandungan yang semakin membesar ni sesekali membuatkan Ummi lelah menghadapi rutin harian tapi rasanya lebih segar sikit berbanding 6 bulan dulu. Sekarang dah takde alahan macam dulu kecuali lidah ni memang masih kalah dengan makanan manis.

Sesekali buat kerja kahwin ni best jugak kan... teringat masa zaman nak bernikah dulu, hehehe...

Thursday, May 8, 2014

Motosikal dan anak kecil

Pagi tadi masa lalu kat highway Duta, Ummi dikejutkan dek abah.. (oh, lately ni Ummi memang tidur aje dalam kereta sebab setiap hari akan berjaga tengah malam sampai ke Subuh).

"Tengok tu, sian orang bawak motor. Anak duduk kat depan," kejut abah sambil menepuk paha Ummi.

Sepantas kilat Ummi terjaga dan menoleh ke kiri. Ya, Ummi nampak sepasang suami isteri yang membonceng motosikal sambil kedua-dua anaknya duduk di hadapan. Si isteri memangku beg pakaian yang mungkin kepunyaan anak-anak kecil itu.

Ketika berada betul-betul di sebelah mereka, Ummi langsung tak sanggup nak toleh untuk melihat wajah anak kecil mereka. Sebak. Sejujurnya, hati ni tiba-tiba sangat sayu. Walhal sebelum ni Ummi sangat pantang kalau nampak orang naik motosikal sambil bawa anak tanpa dipakaikan topi keledar. Bahaya kan. Kalau apa-apa berlaku, memang tak boleh nak kata apa dah. Allahhuakbar, mohon dijauhkan kami sekeluarga serta orang lain juga daripada sebarang bahaya yang tak terduga.

Fikir Ummi, mereka bukanlah sengaja berbuat demikian. Mungkin tengak sesak, mana tau ada kecemasan kan. Rasanya sepanjang 4 tahun melalui jalan ni tak pernah pulak kami perasan pasangan suami isteri ni. Semoga mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Rasa bersyukur sangat bila dibandingkan dengan mereka walaupun kami cuma pengguna kereta biasa-biasa saja. Pastilah kami terlindung daripada hujan dan panas serta lebih selesa duduk dengan aircond berbanding motosikal yang jauh lebih berisiko terlibat dengan kemalangan. Kalau hujan dah tentunya basah dan terpaksa berlindung di bawah jambatan atau bus stop. 

Memang sering kami mengingatkan anak-anak tentang bertuah dan beruntungnya kami ini berbanding orang lain yang tidak mempunyai kereta. Ayat yang selalu digunakan ialah :

Ummi/abah : Tengok tu, kesian dia naik motor je. Kita naik kereta.
Nawals        : Nape pulak?
Ummi/abah : Ye la, kalau naik motor kan kena panas. Bila hujan, mesti basah. Sejuk tau.
Nawals        : Oh, kita tak kena panas kan. Kalau hujan turun kita pun tak basah kan?
Ummi/abah : Ya. Sebab tu kita kena bersyukur. Ucap Alhamdulillah. Orang lain lagi susah.

Secara peribadinya, bila melihat orang lain menaiki motosikal dengan anak yang masih kecil, kenangan lampau Ummi akan segera menerjah ingatan. Sayunya kenangan lama....