Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, August 29, 2012

Fasa hidup saya


Mengenang kembali fasa2 hidup yang telah saya lalui, ada suka dukanya yang tak mungkin boleh berputar kembali. Yang lalu tetap berlalu, yang akan datang perlu saya fikirkan dan rencanakan.

Saya bukanlah seorang yang hebat pun tapi saya ingin menjadi seorang yang tidak mensia-siakan hidup begitu saja. Ingin menjadi hamba yang baik dan patuh kepada Allah dan Islam. Ingin menjadi anak yang baik kepada orang tua. Ingin menjadi isteri yang solehah dan semuanya yang terbaik..... tidak tertulis keinginan saya kerana banyak sungguh keinginan itu wujud dalam diri saya. Justeru sejak saya tahu membahagikan fasa hidup, saya merangka matlamat/cita2 yang ingin dicapai. Fasa hidup saya terbahagi kepada dua iaitu matlamat setiap tahun dan setiap lima tahun... hari ini saya hanya ingin menyenaraikan matlamat setiap lima tahun saya.... ada yang berjaya dan tidak berjaya, malah ada yang tertangguh pula.

1993 hingga 1997
1. PMR : 3A 5C
Hahah... lari daripada apa yang saya inginkan. Salah sendiri kerana tidak berusaha keras, Saya berusaha sekadar 'melepaskan batuk di tangga'... Sangat rugi!
2. SPM : pangkat 1
Alhamdulillah, saya mendapat pangkat 1 dengan 14 agregat. Secara jujurnya, saya membuat persiapan di saat akhir. Terima kasih Cikgu Saimie, guru Sastera yang telah menyedarkan saya. Cadangannya yang sangat berisiko itu saya terima dan pulun habis. Tapi, saya tetap menyesal kerana tidak bersedia lagi awal.

1998-2002
UiTM Shah Alam
Alhamdulillah, impian saya untuk ke menara gading tercapai. Tamat pengajian pada pertengahan 2002 dengan CGPA 3.++ . Juga sedikit lari daripada target yang dinginkan. Ketika itu saya menetapkan pada diri untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran. Oleh sebab itulah saya tidak mempunyai kekasih hati pun, hahah… Lagipun, saya sedar yang diri ini hanyalah budak kampung, tidak cantik apalagi menarik untuk mendapat perhatian mana2 lelaki. Dan saya juga menanamkan dalam diri untuk mencintai lelaki yang bergelar suami sahaja nanti.

2003-2005
Fasa kali ini saya pendekkan kepada 2 tahun sahaja. Impian saya untuk mengubah nasib keluarga dengan mengorbankan banyak perkara nampaknya berjaya sedikit demi sedikit. Mendapat kerja tetap pada 2004 telah meyakinkan saya sepenuhnya bahawa kejayaan tidak datang bergolek. Sebelum itu saya pernah menaiki bas biru dan kemudiannya beralih arah menjadi promoter di sebuah farmasi di Selayang. Dengan gaji yang kecil saya terima seadanya kerana bagi saya untuk berjaya janganlah terlalu memilih untuk mendapat kerja. Saya berjaya membelikan keluarga saya sebuah mesin basuh kain automatik dan menyumbang RM200 setiap bulan. Hujung 2004 saya membeli telefon bimbit Nokia untuk kegunaan sendiri.

Dalam soal hidup, saya mensasarkan untuk berkahwin paling lewat pada 2005 sungguhpun ketika itu saya tidak mempunyai calon pun. Saya tidak berhenti berdoa supaya Allah menemukan jodoh saya secepat mungkin kerana pahala dan kebaikan dalam perkahwinan itu ingin saya rebut sebanyak mungkin.

2006-2010
Sasaran untuk berkahwin pada 2005 nampaknya tidak tercapai. Tetapi saya bertemu dengan suami pada hujung 2005. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk berkahwin kerana pada Ogos 2006 kami telah selamat dinikahkan. Alhamdulillah, saya belajar mengenali dirinya setelah bergelar isteri. Betullah seperti dikatakan orang, bercinta selepas kahwin sangatlah indah dan manis. Keinginan saya untuk memiliki cahayamata sekurang2nya seorang sebelum berusia 30 tahun tercapai. Malahan Allah mengurniakan 2 orang puteri ketika itu.

Matlmat untuk lulus lesen kereta juga termakbul. Selepas melahirkan anak pertama pada 2007, suami membeli kereta Proton yang automatik. Katanya lebih praktikal untuk kami yang tinggal di bandar dan ianya memudahkan saya untuk menggunakannya nanti. Tak lama selepas itu, dengan izin Allah kami membeli sebuah rumah pula. Sebenarnya rumah bukanlah termasuk dalam senarai matlamat saya ketika berada dalam fasa ini. Tapi nampaknya Allah menambahkan rezeki kami ketika itu. Alhamdulillah.  

Selain itu, saya ingin menghabiskan bayaran pinjaman kepada JPA pada 2010. Namun, ianya tidak tercapai dek kerana ada ketikanya saya menangguhkan bayaran apabila berada dalam keadaan yang tidak mengizinkan. Lalu saya menganjakkan azam itu setahun lagi. Semoga saya dipermudahkan untuk membayar hutang ini.

Saya juga telah memiliki sebuah mesin jahit elektrik Singer yang sudah lama diidamkan. Dapatlah menjahit sikit2 keperluan rumah seperti langsir, sarung bantal dan tilam, selimut anak2 dan lain2 lagi. Hujung 2007 juga saya berjaya memiliki kamera digital Nikon.  

2011-2015
Saya mempunyai keinginan yang kuat untuk memiliki anak sekurang2nya empat orang sehingga berumur 35 tahun. Saya tidak mahu menangguhkan niat untuk mengandung melebihi usia 35 tahun dengan beberapa sebab yang tidak dapat saya nyatakan di sini. Kini, saya sudah mempunyai 3 orang puteri.

Kini saya dalam proses melunaskan bayaran pinjaman pelajaran selewat2nya hujung 2012, doakan saya berjaya ya kerana ianya telah lewat 2 tahun daripada sasaran.

Dan, dengan jujurnya saya sangat bercita-cita untuk menjadi surirumah yang berjaya dalam masa setahun lebih lagi. Iaitu ketika anak perempuan sulung saya memasuki darjah 1 pada 2014 nanti. Hasrat ini telah dinyatakan kepada suami beberapa tahun dahulu tetapi dia meminta saya untuk menangguhkannya sedikit masa lagi. Ohhhh, saya tak sabar sebenarnya menunggu saat itu!

Saya dan suami juga sudah mendaftar haji pada pertengahan tahun baru2 ini. Giliran kami jatuh pada 2045, sangat lama kan untuk tiba ke tahun itu. Entah kan sempat atau tidak. Tetapi saya meletakkan harapan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebelum menutup mata.

2016-2020
Sasaran pertama adalah untuk mengerjakan haji selewat2nya ketika usia menginjak 40 tahun. Semoga hasrat ini tercapai Ya Allah, permudahkanlah segala urusan berkaitan dengannya. Maka, saya harus berusaha keras menyimpan duit dan berjimat cermat dalam banyak perkara. Semoga saya juga berjaya membawa orang tua saya ke sana.

Kalau boleh saya mahukan rumah kami berjaya diubahsuai mengikut idaman hati. Sehingga kini (Ogos 2012), rumah kami biasa2 sahaja. Kan best kalau ada gazebo, kolam ikan dan kebun kecil di belakang rumah…. Malah, saya ingin mempunyai perniagaan sendiri. Perniagaan apa ye? Hehehe... sedang dalam penilaian saya.

Dan, kalau diizinkan Allah… nak jugak merasa kereta yang besar sket… hikhikhik…

Matlamat selepas 2020 akan dikongsikan kemudian. Ada juga matlamat2 lain yang tidak dapat saya paparkan atas sebab tertentu. Biarlah ianya menjadi pengetahuan kami sekeluarga sahaja. Hanya Allah yang lebih layak mengetahui segalanya.

Semoga kami sekeluarga dikurniakan kesihatan yang baik, murah rezeki, panjang umur, dan dilimpahkan rahmat serta perlindungan daripadaMu Ya Allah. Matlamat2 ini juga mohon dimakbulkan. Sesungguhnya Engkau lebih tahu apa yang terbaik buat kami sekeluarga….

Thursday, August 16, 2012

Selamat Hari Raya semua

Selamat Hari Raya semua. Ampun maaf ummi pohon atas segala dosa dan kesalahan. Berhati2 di jalan raya, ingat yang tersayang. Jangan main mercun apalagi meriam buluh, ehehe...

Jaga kesihatan, jaga peribadi dan paling penting jaga ibadah.... :)

.......Ummi Lin + Abah Lan + Kakak Ashiqin + Adik Inshirah + Baby Haseena....

EL lagi..

Semalam 16 Ogos ummi EL lagi, Haseena masih tak sihat. Aduhai anak, 2 bulan ummi masuk kerja ni kita asyik berulang alik jumpa Dr. Yeu. Risaunya hati...

Belum sampai seminggu sihat, Haseena tak sihat semula. Dr. Yeu sendiri cakap, adalah sangat tidak baik apabila bayi sekecil ini kerap sakit kerana sistem tubuh badannya tidak matang sepenuhnya lagi. Jadi, nak tak nak ummi kena observe Haseena dekat rumah. Ni beberapa hari je lagi nak raya, lagi la risau. Suasana hari raya tau je la camne kan... Hanya Allah pelindung kita sayang...

Hari ni ummi terpaksa tinggalkan Haseena di nursery. Semoga baik2 saja anak ummi di sana. Tugasan yang masih berbaki di pejabat membuatkan ummi terpaksa melangkah ke pejabat hari ni. Lagipun, hari ni hari terakhir pejabat ummi beroperasi sebelum ditutup sehingga 26 Ogos sempena cuti Hari Raya Aidilfitri...

Tabahlah hati kerana kekadang ummi benar2 tersepit antara kerjaya dan keluarga. Namun percayalah keluarga adalah keutamaan yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Friday, August 10, 2012

Zon Tidak Sihat


Sejak 3 minggu ni kita sekeluarga berada dlam zon tidak sihat. Allahhuakbar. Kita diuji dengan nikmat kesihatan yang ditarik sedikit bermula dengan Inshirah yang selesema. Kemudiannya diikuti Ashiqin, Haseena dan ummi. Setakat hari ini abah masih bertahan. Alhamdulillah.

Sebelum membawa Inshirah ke klinik pada 23 Julai lepas, dia telahpun selesema beberapa hari dan ummi hanya memberi ubat selesema yang masih berbaki di rumah. Hari keempat atau kelima ummi dan abah membawanya ke klinik. Ubat dibekalkan oleh doktor tanpa antibiotik. Tak lama selepas itu, kakak pula berjangkit. Ummi tumpangkan ubat adik untuk diberi kepada kakak. Selang beberapa ketika, Haseena kembali batuk berkahak dan selesema walaupun baru sembuh awal Julai tesebut.

Kalau tak salah ummi, temujanji terakhir baby Haseena dengan Dr. Yeu (Consultant Paediatrician & Paediatrician Cardiologist, Tropicana Medical Centre) adalah pada 2 Julai. Ini bermakna tak sampai sebulan Haseena tidak sihat semula. Cuma untuk kali ini agak lebih serius berbanding dulu. Dia disahkan terkena Acute Bronchiolitis, sama seperti kakaknya Ashiqin. Kali ini juga dia diserang eczema. Aduhai anak2 ummi…. Hatiku gundah gulana sungguhpun kalian tidak sakit seperti kanak2 lain yang lebih lagi azabnya. Hati seorang ibu, anak selesema dan batuk pun susah hati… Ummi benar2 berada di tengah2 simpang sayang, antara kerjaya dan keluarga. Dan hati yang jitu, ummi memilih keluarga lagi walaupun malunya untuk menghadap majikan nanti.

30 Julai, bersamaan 10 Ramadhan ummi dan abah membawa Haseena bertemu Dr. Mohd Noh, seorang Pakar Kulit yang juga telah merawat kakak dulu. Ubat Haseena sahaja ketika itu mencecah RM185 untuk syampu, pelembab, krim badan siang dan malam serta krim untuk celah paha. Bukanlah ummi berkira dengan kamu Haseena, tapi kos perubatanmu sangat tinggi bagi ummi dan abah yang berpendapatan sederhana dan tinggal di Bandar Kuala Lumpur ini. Oleh kerana kasihkanmu, ummi dan abah sanggup berkorban apa sahaja. Nampak gaya, kos perubatanmu akan sama seperti kakak. Dalam masa yang sama ummi masih meneruskan ubat selesema dan batuk yang masih ada sebagai ikhtiar untuk mengubati sakitmu.

Sehingga 1 Ogos lalu, ummi dan abah membawa Haseena berjumpa Dr. Yeu keadaannya yang tidak berubah. Sementelah Haseena sudah mula demam, muntah2, cirit birit dan sangat kurang menyusu. Selasa, 31 Julai semasa di taska hanya 2 botol susu yang dihabiskan. Dr. Yeu meminta agar Haseena menjalani rawatan fisioterapi untuk kali kedua di tingkat bawah hospital. Dan pemantauan yang rapi di rumah perlulah dilakukan dengan membuat sendiri fisio tersebut 3 atau 4 kali sehari. Ummi dan abah juga dibekalkan surat keterangan tentang masalah kesihatan yang dihidapi Haseena. Sehingga jam 2 petang barulah urusan di TMC selesai. Akhirnya abah mengambil cuti kecemasan dan tidak juga menghadiri kursus seperti yang dijadualkan.

Sepanjang minggu lepas, ummi hanya bekerja 2 hari sahaja. 1 hingga 2 Ogos cuti kecemasan dan 3 Ogos ummi pula mendapat cuti sakit. Boleh dikatakan orang sakit menjaga orang yang juga sakit. Abah kembali bekerja dan menghadiri kursus pada Khamis tersebut. Di rumah selesema dan batuk ummi kian kuat. Malah paginya ummi sakit2 badan, ingatkan hanya letih2 badan kerana sudah beberapa hari keadaan tidak menentu yang menuntut ‘kerja lebih masa’. Tapi, ummi demam akhirnya dan bisa urat2 badan kian melemahkan badan. Ikutkan sakit, memang nak baring je. Maklumlah sakit seluruh badan ni tapi bila mengingatkan anak dan suami, gagah jugak ummi bangun. Sesekali hampir jugak ummi nak rebah tapi ummi perlu lawan semua itu. Langkah terbaik, ummi berbuka puasa dan memakan ubat dengan harapan cepat sembuh. Malamnya sekali lagi kita berkunjung ke klinik untuk rawatan ummi, Inshirah dan Ashiqin. Kakak dah mula mendapat infection, telinganya sakit sampai nangis2.

7hb tu sekali lagi temujanji di TMC, maka petang tu ummi dan abah balik awal. Sekitar jam 2 petang untuk menemui Dr. Yeu. Alhamdulillah keadaan Haseena bertambah baik, jadi pengambilan ubat pun dihentikan. Cuma, fisio perlu diteruskan bagi memastikan tahap kesihatan Haseena benar2 pulih. Tapi, sebelah malamnya Inshirah kembali demam. Aduhai anak…

Semalam, 9hb ummi dan abah nekad ke klinik untuk melakukan ujian darah pada Inshirah. Tak boleh jadi ni, demam on off dan adik dah mula asyik buang air besar. Dan hasil ujian tersebut memang terdapat kuman dalam darah cuma ianya tidak terlalu serius. Alhamdulillah, lega mendengarnya.  Doktor memberikan antibiotik dan ubat demam. Tengah malam tadi, Inshirah muntah pulak. Allahhuakbar…..

Menjelang nak raya ni, hati ummi sangat la risau. Harap2 kesihatan kami sekeluarga berada di tahap yang maksimum, kerana pada hari raya nanti pastilah kita akan berjumpa dengan ramai orang. Tak mustahil kesihatan boleh terjejas. Ditambah dengan keadaan cuaca yang bagi ummi sangatlah tidak menentu. Jerebu, panas dan adakalanya hujan.

Ya Allah, ampunilah dosa hamba2Mu ni. Sesungguhnya kami ini golongan yang sangat lemah. Maka berikanlah cahaya hidayah yang berterusan agar kami tergolong dalam golongan orang2 yang beriman. Murahkanlah rezeki kami, permudahkanlah urusan kami, sihatkanlah tubuh badan kami…. Sesungguhnya Ya Allah kepadaMu kami sandarkan segala harapan….

Friday, August 3, 2012

posting from hp

Alhamdulillah.. ini posting pertama saya daripada telefon bimbit... semoga lg senang dan mudah untuk saya update nanti.. :)