Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, February 27, 2015

Catatan untuk kakak - 4

Kakak... ummi tak sihat la rasanya. Selesema yang ummi ingat alahan macam tiap-tiap pagi tu dah berlarut sampai ke petang ni. Kepala dan badan pun sakit.

Ummi tak sabar nak balik, nak baring. Tapi balik pun tak memungkinkan ummi baring sebab melayan anak-anak ummi adalah keutamaan. Abah pulak ada kerja sampai malam. 

Oh ya, Pak Yang kata nak datang umah malam ni. Ummi mintak tolong ambikkan Achik sekali. Meriah la sikit umah kita nanti sebab Sabtu dan Ahad ni abah pergi Melaka.

ok... nanti ummi sambung lagi. Rasa nak tidur je... 

Ya Allah berikanlah kesembuhan kepadaku, anakku Haseena dan semua hambaMu yang tidak sihat supaya kami dapat terus beramal sesempurna mungkin kepadaMu. Jauhkan kami daripada segala penyakit atau perkara-perkara yang memudaratkan. Aameen...

Labu dan daun bawang


Haa... tengok gambar kat atas ni. Tumbuh melata je anak pokok labu tu dalam pasu bunga. Ummi tak perasan pun kewujudannya sebelum ni, tengahari masa balik daripada kampung tu baru nampak. Banyak pulak anak pokok labu ni tumbuh tapi tak tahu hasilnya macammana nanti. Harap-harap membuahkan hsil yang banyak, boleh dikongsi dengan orang lain. 

Ada setengahnya ummi dah pindahkan kat belakang rumah tapi agak malang bilamana ianya hilang. Rasanya kena makan dek siput babi atau binatang lain kut. Memang kat tanah yang ummi cangkul tu tinggal bekas je, sepokok pun takde. Kalau layu mesti nampak rebah kat bumi kan. Nasib baik la ada yang ummi alaih ke dalam bekas lain masih ada, jadi takde la kecewa sangat. Anak pokok labu ni adalah kenangan pertama ummi bagi puri labu pada Husna, bijinya tu abah campakkan camtu je. Tak sangka pulak ia nak tumbuh.  


Gambar ni pulak adalah percubaan pertama abah menanam pokok bawang. Nampaknya bawang kecik lebih cepat tumbuh daripada bawang besar. Tengok la tu, daun bawang besar kan saiznya lebih kecil. Tak sabar nak tuai walaupun tak banyak tapi boleh la kut nak merasa sendiri. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah walaupun sikit.

Baby dah 7 bulan


Alhamdulillah, baby dah 7 bulan. 


Cumanya dia diserang demam sejak malam 21hb tu pada pukul 3 pagi. Kata orang-orang tua demam nak alih bulan atau nak meringankan badan. Mungkin betul juga. Nak kata demam sebab cucuk masa Rabu lepas tak mungkin. Takkan dah beberapa hari baru nak demam kan.

Alhamdulillah demamnya surut pada pagi 23hb, maknanya ummi pergi kerja dalam keadaan yang tenang. Lepas baik demam Baby kian kuat menggigit, kalau tengah menyusu tu memang tak tahan dibuatnya. Aduhai anak... gusi kamu memang dah kuat tapi tak nampak pun giginya. Kalau makan biskut tu memang cepat je patahnya, pastu macam pandai mengunyah tapi ummi masih takut nak bagi kamu mengunyah sendiri. Kut terlekat kat lelangit atau kerongkong. Tunggu besar sikit baru ummi izinkan ye...

Gambar ni ummi ambik masa malam 23hb tu, demam masih berbaki tapi nampak dah lena kamu tidur. Sekarang kamu suka tidur mengiring dan meniarap. Kerap juga kamu bertukar posisi dan berpusing 360 darjah, tu yang buat ummi takut nak tidur atas katil. Tilam tu pun agak selesa untuk kamu kongsi dengan kakak Baby (kakak Haseena) je sebab dua-dua lasak. Ummi terpaksa letak bantal kat tengah dan tepi sebagai sempadan supaya tak saling bertindih seperti sebelum ni. Hehehe...

Membesarlah kamu dengan baik Baby, ummi doakan yang baik-baik untukmu....

Catatan untuk kakak - 3

4.24pagi, 27 Februari 2015.

Kakak, pada jam ini Ummi masih belum tidur lagi. Hampir 48 jam...

Sejak Haseena demam petang 25 Februari tu, memang mata ni tak berapa nak nyenyak. Semalam Ummi berjaga sebab jaga Kakak Baby tapi sepanjang malam ni Ummi menyelesaikan  kerja-kerja rumah yang belum selesai sepenuhnya. Baju yang direndam sejak beberapa hari lalu telah selamat ummi beruskan. Malah baju-baju sekolah kakak dah siap ummi sidai.

Tadi sempat ummi pam susu, Alhamdulillah dapat 6oz. Rezeki untuk Husna. Harap-harap susu ummi meriah semula, gerun tengok stok dalam peti ais tu. Makin menyusut. Rasanya sebab ummi stress dan tak cukup tidur. Ye la, sejak akhir-akhir ni memang ummi agak 'serabut'.

Ok la kakak, ummi nak gosok baju pulak. Nanti pukul 5 jangan tak bangun ye, homework Matematik dan Bahasa Arab tak siap lagi tu...

Bye...

*kakak, bila ummi buka balik blog ni rupanya ada beberapa draft yang ummi save untuk catatan ini. Nampak sangat ummi mengantuk... Oh ye, terima kasih banyak-banyak untuk awal Subuh tadi, kakak bangun dengan baik sekali untuk siapkan homework :)

Wednesday, February 25, 2015

Catatan untuk kakak - 2

Assalamua'laikum Kakak...

Macammana hari ni, kakak happy tak? Penat ke pergi sekolah pagi dan petang?

Kakak... Ummi tak tahu kenapa hati ni rasa sangat-sangat nak menulis sesuatu buat tatapan kakak walhal Ummi sendiri tak tahu nak menterjemahkannya bagaimana. (Tengok tu... banyak betul kesalahan dalam ayat Ummi, kalau dibacca dek orang DBP memang kena tibai punya!) Tapi tak mengapalah, ni cuma catatan untuk kakak baca bila dah besar nanti...

Kakak tahu tak... semalam masa kakak buat homework Bahasa Arab tu kan, Ummi sedih sangat. Sedih bila pandang kakak, dengan kepenatan dan bahasa tubuh yang menunjukkan kakak tak faham apa yang terkandung dalam buku latihan tu buat Ummi rasa bersalah sangat. Ummi tak tahu Bahasa Arab, jadi macammana nak ajar kakak. Akhirnya bila kakak menangis, Ummi benar-benar kalah. Ummi nak dakap kakak erat-erat tapi kakak tolak dan nampak sangat kakak kecewa.

Biarpun kakak tak cakap tapi Ummi dapat rasa betapa susahnya kita nak belajar kalau kita tak faham. Mesti kita stress! Puas Ummi pujuk suruh mandi dan berehat dulu supaya bila kakak bertenang baru kita cuba buat semula. Dalam masa yang sama Ummi juga cuba mengawal emosi dan tingkahlaku supaya dalam keadaan baik-baik sahaja.

Ummi nampak kakak kurang keyakinan diri. Nak menyebut sesuatu pun kadang-kadang tak dengar langsung suara kakak tu. Mungkin kakak takut jawapan tu salah. Sebenarnya kakak, Ummi lebih suka kakak bercakap walaupun salah sebab itu tanda tetap mencuba walaupun salah. Bila salah, ianya akan dibetulkan kemudian.

Dah lama Ummi cari dan fikir macammana nak tingkatkan keyakinan kakak. Selain selalu berbual dan buat beberapa latihan, teringin sebenarnya nak pergi kursus atau program yang boleh membantu anak Ummi ni. 

Masa Darjah Satu dulu Cikgu Farah cakap kakak dah nampak confident sikit dan tidak terlalu pendiam seperti mula-mula masuk sekolah. Tapi bila tukar kelas di Darjah 2 ni, Ummi nampak kakak kurang confident semula. Tak tahulah sebabnya yang utama, mungkinkah bila bertukar kawan-kawan atau suasana kelas yang membuatkan kakak begitu. Mungkinkah juga kurang perhatian daripada abah dan ummi?

Allahhuakbar.... jenuh otak ummi berfikir.

Kakak... walau apa pun, abah dan ummi tetap sokong dan akan buat yang terbaik supaya kakak menjadi pelajar cemerlang dan baik budi serta akhlak. Ummi mohon supaya semangat kakak tetap kental menghadap apa-apa ujian pun. Malam ni kita cuba buat latihan Bahasa Arab lagi ye. Kalau boleh, ummi taknak mengharapkan abah semata-mata bila nak belajar Bahasa Arab ni, buatnya abah kena outstation kan susah...

Oh semangat, kentallah engkau untuk membesar dan mendidik anak-anak syurga ini!

Tuesday, February 24, 2015

Semangat baru!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah... biarpun cuaca panas telah melanda Malaysia tapi anak pokok labu ini benar-benar memberikan semangat baru untuk terus mencuba berbakti kepada tanah. Moga semangat ini tidak luntur.

Anak pokok labu yang terus membesar dalam cuaca panas terik.
Tengok tu, anak pokok labu yang dalam polibeg ni terus membesar dengan jayanya di celah-celah pohon bunga raya. Awal pagi sebelum balik kampung sempena cuti Tahun Baru Cina (19-22 Februari 2015), abah sempat mengubahnya. Secara jujur, balik kampung kali ni lain sedikit rasanya sebab asyik teringat hidup ke tidak anak pokok labu ni. 

Ini merupakan kali pertama Ummi cuba tanam pokok labu, itu pun abah campak-campak gitu je bijinya. Balik daripada kampung hari tu, bila belek-belek pokok yang ada rupanya kat dalam pasu bunga dan pasu pokok kesum pun ada tumbuh juga. Kemain lagi tumbuhnya cik labu ni, harap-harap hasilnya membanggakan. 

Semenjak anak labu ni tumbuh, habis Ummi geledah cik Google untuk mendapatkan info. Ada yang tanam dalam pasu dan ada pula yang siap buat batas. Pokok labu ni menjalar dan amat sesuai tumbuh di tanah tapi kekangan tanah, waktu dan ruang telah membuatkan penanamannya dipelbagaikan mengikut keadaan yang sesuai. Senang kata, pekebun sekarang lebih kreatif untuk berkebun. Jangan pelik kalau ada yang tanam pokok dengan kaedah terbalik. Haaa... yang ni memang menarik kaedahnya dan Ummi berazam untuk mencubanya suatu hari nanti. 

Selepas seminggu abah campak biji labu ke dalam polibeg, inilah hasilnya.
Masa mula-mula pokok labu ni bertunas, perasaan teruja tu tak dapat digambarkan. Setiap hari rasa tak sabar nak balik rumah secepatnya. Malah tiap hari juga berangan lepas Subuh nak terus siram pokok-pokok yang ada di rumah.

*Sekarang ni anak-anak labu tu dah dipindahkan ke tanah di belakang rumah malah ada juga di dalam bekas lain. Kita tengok nanti hasil yang mana lagi memberangsangkan ye...

Monday, February 16, 2015

Aduan kepada PLUS

Alhamdulillah. 

Rasanya itu perkataan paling tepat bila mengingati semula insiden pagi tadi. Allah itu Maha Berkuasa. Alhamdulillah kerana mungkin juga Allah ingin mengingatkan kami supaya lebih berhati-hati.

Alkisahnya tidaklah terlalu tragik tetapi memang mengejutkan ummi dan abah. Sepanjang hari bekerja, laluan masuk ke Tol Damansara menuju ke Highway Duta telah menjadi kebiasaan. Lebih kurang pukul 8 pagi sewaktu melalui SmartTag di Tol Kota Damansara, palang laluan tu seperti biasa akan terangkat bilamana ianya telah dapat mengesan smart tag yang abah pakai. Tanpa disangka ketika hampir melepasi palang tersebut, ianya tiba-tiba turun dan hampir terkena cermin kereta. Alhamdulillah abah sempat tekan brek dan mujur kereta BMW kat belakang tidaklah dekat sangat jaraknya. Dan palang tu pun tiba-tiba naik semula. Terpinga-pinga ummi dan abah kat situ sekejap. Nak panggil petugas tol, takde pulak kat situ. Sudahnya abah teruskan je perjalanan.

Masa dalam kereta tu sempat ummi cari nombor telefon PLUS sebab abah nak buat aduan. Bukanlah nak marah tapi nak minta supaya petugas di Tol Kota Damansara check palang tu supaya tak berlaku pada orang lain pulak. Beberapa minit selepas abah buat aduan, petugas Tol Kota Damansara telefon semula abah untuk mendapat beberapa maklumat lagi. Syabas PLUS atas kerjasama dan respons yang cepat. 

Ummi seram juga sebenarnya sebab baru je baca kat Facebook baru-baru ni seorang pengguna tol (lupa tol mana) yang cermin keretanya pecah akibat terkena palang tu. Tapi itu gara-gara seorang penunggang motor yang tak bertanggungjawab! Ada ke patut dia masuk kat laluan kereta dan 'tumpang lalu' sekali. Dah tentulah palang tu jatuh ke bawah bila kereta tu lalu sebab motor dah lalu dulu. Kesian pada pemandu kereta tu, terpaksa tanggung kerosakan sorang diri. Bila buat aduan pada tol, cctv tak dapat baca dengan jelas nombor plat sebab kecik. Alahai.... sabarlah buat pemandu tersebut. 

Kebiasaan yang kita lalui bukanlah semestinya seperti biasa pada hari esok... 

*ini merupakan aduan kedua kami kepada PLUS. Aduan pertama akan ummi ceritakan kemudian.

Tuesday, February 10, 2015

Avacado untuk Husna


Ha... ni la dia buah avacado yang Ummi beli di pasaraya Sogo. RM5 sebiji ok! Mahal tapi dek kerana khasiat dan nak kpelbagaian dalam menu Husna Ummi beli jugak.

Bagi Ummi, buahnya memang sedap. Berlemak gitu. Ianya tidak pahit, tidak manis dan tidak pula masam. Husna sukakannya, malah Ummi pun suka. Cuma, kakak-kakaknya saja yang langsung tak nak merasa melainkan Haseena. Jus avacado pun sedap tau, campur sikit dengan susu dan sejukkan. Ahhh, sedapnya...

Ummi beli 2 biji aritu, peram sekejap sampai masak dan lecekkan isinya. Tak perlu nak kukus atau campur dengan makanan lain. Bijinya Ummi semai tapi semalam sebiji dah hilang, tak tau ke mana. InsyaAllah Ummi akan tunjuk biji yang Ummi nak semai tu nanti. Sebenarnya tengah berkobar-kobar nak tanam pokok ni sebab baru dapat tau kat Malaysia pun ada orang tanam avacado cuma ianya tidak menggerutu seperti yang diimport. Juling sekejap tengok pokok avacado, macam jakun pun ada. Hahaha...

Sebenarnya pokok avacado berasal dari Amerika Tengah dan Mexico tapi sekarang dah merata orang tanam. Ianya ada pelbagai jenis iaitu bacon, fuerte, gwen, hass, penkerton, reed dan zutamo. Antara khasiat buah ini ialah : 

1. Melindungi diri daripada kanser.
2. Mengawal tekana darah.
3. menggalakkan kesihatan mata yang baik.
4. Merawat kulit.
5. Terdapat pelbagai vitamin iaitu vitamin E, A, B, C

Bahagianya kalau percubaan kali pertama untuk menanam pokok ni berjaya. Sebenarnya dah mula berangan bila pokoknya berbuah lebat..... 

Monday, February 9, 2015

Kebun kecil kami


Kebun ke? Tak macam kebun pun, heheh...

Tak mengapalah, Ummi memanggilnya kebun supaya bertambah semangat yang ada untuk berbudi pada tanah. pokok-pokok kat atas tu semua Ummi tanam dalam pasu dan bekas botol minyak masak. Oh ye, pokok bunga yang warna merah hati dan hijau tu mak Ummi yang bagi masa balik kampung hujung tahun lepas. Tu tanam dalam bekas botol minyak masak yang 5 kilo punya.

Pokok kari tu inilah pertama kalinya berjaya tanam, yang terdahulu semua tak menjadi. Mungkin faktor tanah di belakang rumah yang tak berapa subur dan elok agaknya. Pokok kesum tu idea daripada mak, dulu dia cucuk je dalam pasu panjang tu. Tapi pokok kesum yang mak Ummi tanam tu dah mati dan ini adalah kali kedua Ummi cuba tanam. Alhamdulillah dah beberapa kali dipetik bila masak asam pedas dan laksa. Pokok aloe vera tu dari kampung juga, dah banyak anak dia naik tapi takde bekas lagi nak alihkan. Daun kunyit tu nampaknya setakat ni masih belum diserang ulat seperti sebelumnya. Jarang Ummi guna daun kunyit ni tapi memang uka tanam sebab ianya senang tumbuh. Tapi pokok bunga yang satu lagi tu kan, warna hijau yang paling tepi dan atas tu sekarang ni dah terbantut. Mesti sebab tak berbaja :(

Sekarang Ummi dengan Abah tengah cuba buat baja kompos daripada bahan buangan dapur. Harap-harap berjaya. Ni tengah galak membelek FB Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri. Rasa nak menjerit je bila tengok kawan-kawan kat group tu post macam-macam pokok yang diorang dah tanam.

Balik ni Ummi nak try semai biji avacado. Hari beli kat pasaraya 2 biji untuk bagi Husna makan, bijinya Ummi campak kat pasu panjang tepi pokok bunga raya tu. Balik ni nak tengok dan semai semula elok-elok. Satu kaedah lagi, rendam dalam air. Oh semangat, janganlah luntur ye. Nak berbudi pada tanah ni....

Moga Allah permudahkan segala urusan hendaknya. Misi seterusnya nak cari pokok delima dan pokok durian belanda pulak.....

Thursday, February 5, 2015

Catatan untuk kakak

Kakak yang dikasihi....

Ummi nak minta maaf lagi pada kakak sebab kegagalan Ummi menahan marah. Walaupun dah minta maaf tapi Ummi terkilan dengan sikap sendiri.

Bukan Ummi tak sedar, masa kita bersama adalah sangat terhad dan tidak wajar langsung emosi negatif menguasai diri tetapi itulah yang terjadi. Ummi tak tahu sebab apa tapi yang pasti sejak kebelakangan ini memang perasaan Ummi kian bercelaru walaupun usaha menepis aura negatif itu giat dilakukan. Sukar untuk ditafsirkan tapi Ummi tahu penyebabnya. Sedikit ujian yang Allah bagi dah buat Ummi huru hara. 

Kakak tahu tak? Ummi rindu kemanisan yang pernah Ummi rasa dulu-dulu... sekarang Ummi bertatih semula, harap-harap ianya akan menenangkan dan memberikan aura-aura positif. Fuhhhh... kentallah semangat!

Kakak, Subuh tadi masa kakak bangun buat kerja sekolah tu kan, Ummi rasa sebak sangat. Betapa singkatnya waktu, kamu dah besar dan punya 3 orang adik. Ummi letakkan diri kamu di dalam diri Ummi berpuluh tahun dahulu biarpun jauh bezanya kehidupan antara kita berdua. Bila ada adik, tanggungjawab pun bertambah. Ummi ada 8 orang adik tapi emak Ummi (opah) tidak bekerja seperti Ummi sekarang ni. Sepenuh masa Opah berada dirumah manakala Ummi hanya ada di rumah selama 12 jam. Masa Ummi sekolah kan, satu perkara yang jadi kemestian ialah tiapkali melangkah masuk ke rumah lepas balik ke sekolah, Opah mesti kena ada dalam rumah. Kalau takde, Ummi rasa sedih dan adakalanya marah sebab bagi Ummi pada waktu itu ialah seorang ibu haruslah menyambut kepulangan anaknya di rumah. Tetapi setelah berpuluh tahun, Ummi tidak berbuat demikian untuk anak-anak Ummi!

Bagaimana perasaanmu nak............................ :(

Sukar untuk digambarkan sayang! 

Sejak kecil kakak dan adik-adik sebenarnya dah banyak berkorban. Mengorbankan masa-masa membesar di depan mata Ummi sepenuhnya. Terima kasih banyak-banyak anak-anak Ummi.

Hmmm... kalau diteruskan catatan ni mau berbaldi airmata pulak nanti. Cukuplah. Nanti Ummi sambung lagi.

Ummi sayang kakak dunia dan akhirat.


Wednesday, February 4, 2015

Catatan untuk anak-anak perempuan Ummi

Anak-anak Ummi...

Pagi tadi Ummi dikejutkan dengan berita perginya seorang gadis cantik yang dikelar oleh seorang lelaki di tepi Lebuhraya plus, R&R Bukit Gantang. Itu pun abah yang bagitau, agak ketinggalan Ummi ni dengan berita semasa kerana 4 hari cuti yang lalu amatlah sibuknya.

Tak sempat pun nak tengok Facebook, WhatssApp apatahlagi baca suratkhabar... Oh ya, kita bacakan dulu Al Fatihah dan doakan supaya arwah kakak Nur Syuhada tenang dalam rahmat Allah. Tabahlah keluarganya.

Anak-anak Ummi... berita tu sangat terkesan kepada Ummi. Kamu 4 beradik semuanya perempuan, susah payah membesarkan kamu hanya Ummi dan Abah yang tahu. Ramai yang cakap senang je jaga anak perempuan, tak macam lelaki... Allahhuakbar, mudahnya kata-kata mereka... Ya, walaupun adakalanya payah nak bercerita tapi Ummi cuba anggap kata-kata mereka sebagai doa.

Ummi pernah terbaca tapi tak tahu kesahihannya... Anak perempuan payah untuk dijaga tapi senang dididik manakala anak lelaki senang dijaga tapi susah dididik. Wallahhua'lam... Malah sudah beberapa kejadian pernah berlaku, ianya hampir sama. Orang yang tak dikenali selalu tegur Ummi bilamana diorang nampak anak-anak Ummi semuanya perempuan. Kata mereka, besar pahalanya menjaga anak-anak perempuan. InsyaAllah syurga buat Ummi dan Abah. (Buat mereka yang ada anak lelaki jangan terasa ye sebab catatan Ummi kali ni hanya menjurus kepada pengalaman sendiri). Semua anak yang kita ada adalah penghubung kita dengan Allah dan jambatan untuk ke syurga, InsyaAllah...

Berbalik kepada kejadian tersebut... Ummi hanya mampu tersenyum bila mendengar doa-doa mereka. Anak-anak Ummi tahu tak, kejadian semalam ketika di Petronas masa kita berhenti untuk tukar pakaian dan solat benar-benar buat Ummi terkesan. Dah beberapa kali orang cakap benda yang sama pada Ummi. Tentu ada sebabnya kan. Maka, terbang jauhlah fikiran Ummi. 

Dalam keadaan Husna sekarang, kesabaran Ummi benar-benar diuji. Sungguh, banyak kali airmata Ummi tumpah. Allahhuakbar. Cuma sekarang Ummi sedikit tenang bilamana tiba-tiba Ummi terfikir, anak-anak Ummi ni jambatan untuk Ummi dan Abah kejar syurga Allah. Ujian ni sangat sikit tapi kenapa Ummi dan Abah tak setabah orang lain. Sebenarnya Ummi yang lemah. Ummi yang jahil. Ummi yang tak sabar. Ummi tak sepenuhnya redha. Ummi redha dapat anak semuanya perempuan tapi Ummi tak sepenuhnya redha menerima kepayahan membesarkan kalian. Lagipun, tentu Allah nak dengar Ummi dan Abah merintih pada Allah kan....

Anak-anak yang dikasihi... membesarlah kalian dalam rahmat Allah hendaknya. Jagalah diri dan maruah sebaik mungkin. Masa kecik bolehlah Ummi dan Abah monitor depan mata tapi bila dah besar hanya Allah tempat sandaran. Malah, sekarang pun Ummi terpaksa berusaha meyakinkan diri sendiri bahawa kalian baik-baik sahaja semasa di sekolah dan taska. Biarlah Allah yang menjaga kamu kerana kalian hanya pinjaman buat Ummi dan Abah. Kalau memikirkan keselamatan kalian yang jauh di mata kami, tak terjangkau risaunya. Macammana kamu naik van sekolah, macammana kamu berada di dalam kelas.. hanya Allah yang tahu sayang...

Ummi doakan yang baik-baik buat kalian dunia dan akhirat. Belajar pandai-pandai, jadi anggota masyarakat yang baik, teguh iman kepada Allah serta ditemukan jodoh yang baik bila dah besar nanti. Ingat tau, nak cari lelaki yang baik bukan senang tapi Ummi berdoa daripada sekarang supaya kalian dapat jodoh yang mencintai Allah supaya dia dapat menjaga kamu nanti.

Jagalah adab terutamanya dengan lelaki... bila kita jaga adab insyaAllah kita akan dihormati...