Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, November 21, 2013

Galau hatiku

Andai nanti daun hidup ini gugur bila tiba waktunya, bersediakah aku melalui waktu suntuk itu? Terkesankah aku dengan akhir waktu yang pasti memburu walau di mana aku berada.

Ohhh, galau hati dibuatnya bila memikirkan sepanjang hidup yang dilalui masih tidak cukup bekalan untuk dibawa. Sedih kerana selalu gagal melawan nafsu sendiri, akhirnya kata dunia yang dituruti. Walhal, peringatan demi peringatan kian jelas diperlihatkan supaya rasa insaf subur di hati. Allahhurobbi... fakirnya hambaMu ini.

Berlindung di balik rahmatMu, berpayungkan langit cerahMu dan tegak berdiri di atas tanahMu... begitu banyak yang telah Engkau berikan. Hakikatnya, bekalanku tetap sedikit berbanding limpahan kasih sayangMu. Lalainya aku.

Terdesakkah aku untuk menggapai kesempurnaan itu? 

YA, aku terdesak kerana belum tentu seminit yang akan datang berpihak kepadaku. Oh, sempurna itu pasti tidak dapat digapai kerana sifat manusia itu tidak sesempurna mana. Cuma, aku mengharapkan agar perkara-perkara terbaik dapat kulakukan sepenuh ikhlas sebagai bekalan nanti.

Bersihkan hati dan mindaku supaya menjadi insan yang bersih-sebersihnya. Moga hati ini sentiasa redha dan memaafkan. 

Allah Yang Maha Pengampun, sucikanlah wajahku ketika menghadapMu nanti dan senyumkanlah bibirku tatkala meninggalkan dunia yang sementara ini. 

Aaminn.....

Monday, November 18, 2013

Hal-hal kematian 2 (bagi umat Islam)

Apabila berakhirnya riwayat hidup seseorang Muslim, maka ada beberapa perkara yang perlu dilaksanakan oleh kaum keluarga, jiran atau sahabat handainya. Menguruskan jenazah orang Islam adalah Fardhu Kifayah.

Orang-orang yang berhak atau sangat afdhal untuk menguruskan jenazah ialah ahli keluarga atau waris terdekat. Tetapi ianya boleh juga diuruskan oleh kariah di kawasan terbabit sekiranya waris kepada jenazah tersebut tiada ilmu atau pengalaman atau kemampuan.

Antara perkara-perkara yang perlu dilakukan kepada jenazah ialah :
1. Menukar pakaian dan bersihkan kekotoran daripada dubur sekiranya ia keluar.
2. Rapatkan kedua belah mata.
3. Tangannya diqiamkan seperti di dalam solat.
4. Merapatkan mulutnya.
5. Ikat dagu dan simpul di ubun-ubunya.
6. Meluruskan kaki jenazah.
7. Ikat kedua ibu jari kaki 
8. Letakkan jenazah di tempat yang tinggi dan menghadap ke arah kiblat.

Sementara itu, dalam masa yang sama waris perlu menguruskan beberapa perkara apabila kematian telah disahkan :
1. Melaporkan kematian di Balai Polis.
2. Membeli barang-barang keperlun untuk urusan mandi dan mengkafankan jenazah.
3. Menggali kubur.
4. Menetapkan Imam dan bilal untuk urusan solat jenazah. 
5. Menguruskan kenderaan jenazah.
  
Selepas itu, perkara wajib yang perlu dilakukan kepada jenazah terbabit ialah :
1. Memandikannya.
2. Mengkafan.
3. Solat jenazah.
4. Mengebumikannya.

Adalah diingatkan kepada pengendali jenazah terbabit agar sentiasa amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya, jika ada keaiban yang berlaku janganlah dihebohkan atau diumpatkan. Jadikanlah ianya sebagai pengajaran kepada semua agar setiap yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah S. W. T. Bersabarlah dengan setiap ujian yang didatangkan.


Buat hari ini, cukup di sini dulu. Hal-hal kematian 3 akan menyusul nanti..

Friday, November 15, 2013

Siapa ayahku?

Semalam, 14 November 2013 Ummi sempat menonton Semanis Kurma dengan tajuk Siapa Ayahku?

Dengar tajuk je dah cukup memberikan pelbagai persepsi kan? Rancangan yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton ini telah menjemput Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek, Pendakwah/Penasihat Pertubuhan Iman dan Ihsan Malaysia.

Seperti yang kita ketahui Allah telah pun memerintahkan supaya umat Islam menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina kerana akibat daripadanya sangatlah dahsyat. Salah satu daripadanya ialah kelahiran anak yang tidak sah taraf kerana perlakuan itu adalah hasil daripada hubungan intim lelaki dan wanita yang belum bernikah. Di dalam Islam, hanya pasangan suami isteri yang telah sah bernikah sahaja dibenarkan untuk mengadakan hubungan intim.

Mengapa Allah melarang kita menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina? Wahai Tuan/Puan, sahabat-sahabat dan adik-dik yang dimuliakan, sesungguhnya akibat daripada perbuatan zina itu akan dapat dirasai ketika di dunia dan akhirat juga. Antaranya di dunia ini nanti cahaya dimukanya akan lenyap dan hisab di akhirat nanti adalah buruk. Tetapi pada episod Semanis Kurma ini hanya akan membincangkan mengenai anak yang lahir tanpa bapa yang sah.

Menurut Ustaz Mohd Hanafiah, bayi yang lahir kurang daripada 6 bulan qamariah selepas pernikahan tidak boleh berbin atau berbintikan lelaki yang telah menikahi ibunya. Allahhuakbar. Tentu kita boleh bayangkan masa depan bayi tersebut, urusannya kelak pasti sedikit sukar kerana terdapat kelainan di dalam surat beranaknya. Tambahan pula masyarakat kita selalu menuduh atau mengata yang bukan-bukan mengenai anak seperti ini, walhal mereka perlu diberi kasih sayang agar kebajikanya terjaga.

Pada zaman Rasulullah dahulu, ada seorang wanita yang telah mengandung akibat daripada zina lalu dia menemui Rasulullah supaya dirinya dapat dihukum. Tetapi Rasulullah menyuruhnya balik dan menunggu anak tersebut lahir dahulu. Setelah anaknya lahir, wanita itu datang lagi menemui Rasulullah, sekali lagi dia disuruh balik dan menyusukan anaknya sehingga habis tempoh penyusuan. Apabila tempoh penyusuan berakhir, wanita itu datang semula untuk mendapatkan hukuman, tetapi Rasulullah mengatakan bahawa cukuplah taubatnya kepada Allah untuk memohon keampunan di atas dosa-dosanya.

Nampak tak kalian? Wanita yang mengandung tanpa bernikah ini diberikan kasih sayang supaya dia tidak mengulanginya lagi. Tetapi akhlak kita jauh berbeza daripada Baginda kerana kita sering mencerca mereka tanpa kita sedari sedikit sebanyak kita jugalah punca bayi yang tak berdosa di buang merata-rata tempat. Betul, mereka telah berdosa dan sedang menerima hukuman tetapi sebagai masyarakat yang prihatin seharusnya kita tidak buta-buta menyalahkan mereka.

Tentulah sesuatu itu terjadi ada puncanya, mana tahu ianya akibat masalah keluarga atau krisis identiti yang sedang dialami mereka. Mungkin juga pengaruh media turut menyumbang kerana hari ini kita disajikan dangan program hiburan yang melampau dan aksi-aksi didalam filem/drama pula mengghairahkan. Mana yang dapat menapis godaan-godaan ini mungkin terselamat tetapi kasihan pula pada yang lalai. Berbaliklah kepada jalan Allah, itulah jalannya.

Sebaiknya kita mencari punca dan membantu untuk menyelesaikannya bukan menambah beban yang ditanggung. Di sinilah peranan kita sebagai masyarakat yang perlu prihatin terhadap perkara sekeliling tetapi kadang-kadang sikap kita yang menganggap ‘prihatin’ itu sebagai ‘jaga tepi kain orang’ juga adalah penyebab kepada keruntuhan moral pada zaman ini.

Kalau dulu-dulu anak jiran adalah anak kita tetapi sekarang tidak lagi, silap haribulan kita disembur pula kerana dianggap mencampuri urusan orang lain. Zaman bertambah canggih teknologinya dan peranan masyarakat juga kian terhakis. Semua yang berlaku kini adalah akibat daripada perbuatan kita juga bukannya semata-mata takdir.

Berbalik kepada anak tidak sah taraf ini, lazimnya mereka mempunyai rasa rendah diri yang sangat kuat, memberontak, malu dan mengasingkan diri daripada masyarakat. Lalu akhirnya mereka akan terbiar dan kemungkinan besar akan bercampurgaul dengan golongan yang agak ‘nakal’.

Ummi tidak dapat membayangkan kepayahan yang akan ditempuh oleh anak-anak ini tetapi pesanan yang sempat dititipkan ialah agar mereka tetap tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Janganlah diulang kesilapan ibu ayah dulu, jadilah insan yang boleh memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Tidak ada bezanya anak tidak sah taraf dengan yang lain kerana mereka tidak berdosa. Kukuhkan hati dengan iman supaya dapat menepis onak dan duri, semoga Allah terus melimpahkan rahmatnya buat kita semua. Marilah kita sama-sama memainkan peranan supaya gejala ini dapat dibendung daripada terus berlarutan.


Mohon maaf andai buah fikiran Ummi menyinggung hati sesiapa….

Thursday, November 14, 2013

Setia City Mall

Pada 10hb November lepas kami sekeluarga berkunjung ke Setia City Mall, inilah kali pertama ke situ. Ianya adalah usahama antara S P Setia dan Asian Retail Investment Fund. Pandangan pertama.... pusat beli belah ini memang menarik dan banyak pilihan. Kami tak habis round pun, penat dan membawa 'powerpuff girl' ni bukannya mudah. 

Tapi, bagi Ummi ianya masih tidak sesuai dengan standard Ummi. Hehehe... jangan salah faham pula. Harga barang-barangnya agak mahal bagi Ummi. Tapi sempat juga kami belikan mainan Haseena di Mothercare, manakala mainan Kakak dan adik di sebuah kedai CD. Ada diskaun :) Ini laman webnya kalau ada sape-sape yang berminat nak ke sana http://www.setiacitymall.com/ atau FBnya setiacitymall.

Di dalamnya ada Parkson, Harvey Norman, Zara, GSC, UniQlo, Fitness First dan sangat banyak kedai di situ untuk Ummi sebutkan satu-persatu. Tempatnya selesa untuk semua orang, tempat letak kereta pun luas. Pilihan makanan pun pelbagai, pilih aje. Ummi tak sempat nak ambik gambar banyak-banyak, hanya sekadar yang dipaparkan saja. Hanya surau je kami tak singgah sebab solat di luar kawasan.




 Kat kedai CD ni kami beli Zikir Terapi 2, set Doraeman dan mainan Kakak dan Adik 

 Suka betul anak dara Ummi ni membelek beg kecil di Fossil

 Tandas di sini memang sangat bersih

Set Doraemon yang diminta oleh kakak tapi adik-adiknya yang main

Thursday, November 7, 2013

Kita makin hilang hidup bermasyarakat

"Ishh... aku tak nak komen. Aku ada anak pompuan jugak."
"Entah la, biar je la diorang tu. Lebih baik aku jaga anak aku sendiri."
"Kau tak payah nak tegur-tegur anak aku, pandai la aku nak jaga anak sendiri."
"Ingat, awak pun ada anak jugak..."

Dialog-dialog seperti di atas tentunya seringkali kita dengar di sekeliling kita. Kadang-kadang ianya membuatkan kita berada di persimpangan kan.

Hari ini suasana hidup tidak sama seperti dulu-dulu. Sekarang, masing-masing dengan hal sendiri. Makin canggih teknologi, makin meningkat pula rasa ke'aku'an di dalam diri. Ummi bukannya siapa pun untuk mengulas perkara ni tapi hanya nak berkongsi sedikit pandangan yang tentunya sangat fakir. Jika ianya baik maka amalkan tetapi jika tidak, jadikan sempadan.

Sebentar tadi, Ummi terbaca di dalam Facebook mengenai pasangan kekasih remaja yang telah memasukkan video mengenai kasih sayang mereka. Remaja lelaki ni sedang mengambil SPM, manakala yang perempuan pula tidak Ummi ketahui. Berdasarkan link Facebook terbabit Ummi menjejak mereka, nyata ada beberapa keping gambar yang diupload tu sungguh tidak sepadan dengan usia remajanya. Tatkala sedang membaca status usia hubungan mereka, seorang daripada rakan Ummi mengatakan sesuatu yang maksudnya seperti dialog di atas. Lantas Ummi tersenyum sendiri dan mengatakan lebih kurang begini...

"Ya, kita masing-masing ada anak. Kita bukannya nak masuk campur urusan orang lain apelagi nak mengata. Cuma, bila kita tengok benda-benda macamni kita peringatkan diri sendiri jugak."
"Kita pun takut sebab kita ada anak tapi sampai bila kita nak sellfish, makin lama kita makin hilang tanggungjawab pada masyarakat dek sebab takut nak tegur, nanti terkena pada anak sendiri."

Pada Ummi, kejatuhan akhlak orang-orang zaman sekarang adalah disebabkan sikap kita sendiri. Masing-masing takut nak bersuara sebab nanti berbalik pada ahli keluarga sendiri. Sudahnya, kita langsung tak mempedulikan hal keliling hanya kerana taknak ahli keluarga jadi seperti apa yang kita tengok. Apakah terjamin jika kita tak cuba membantu atau menegur, ahli keluarga kita terselamat? Hakikatnya tidak, kerana pada perkiraan Ummi kalau hari ini kita tidak mengambil berat entah-entah esok lusa diusiknya juga ahli keluarga yang kita sayang.

Mengambil berat, mengambil peduli, menegur, membantu atau apa saja perbuatan yang seumpamanya bukanlah bermaksud untuk mencampuri urusan orang lain. Kita sayangkan mayarakat, jadi kitalah yang menjaganya daripada tercemar. Kalau masing-masing membisu, siapakah yang akan mengambil tanggungjawab menjaga keharmonian yang kita nikmati ini.

Sahabat-sahabat sekalian... bukanlah tujuan Ummi untuk mencari aib, mencampuri urusan atau memandai tetapi sedikit daripada pandangan ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan bersama. Janganlah difikirkan dosa tanggung sendiri dan kubur masing-masing. Terfikirkah kita bahawa kalau kita tiada nanti kubur yang akan kita duduki itu memerlukan orang lain untuk menggalinya, malah kain kafan juga akan dibalut oleh orang lain. Jadi, janganlah kita hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri.

Janganlah kita mengundang masalah kepada orang lain. Ingatlah, apa jua yang kita lakukan haruslah memberi manfaat kepada orang keliling, bukannya mendatangkan mudarat.

Ummi berdoa agar hidup kita lebih tenteram, terlindung daripada fitnah malah dijauhkan daripada segala perbuatan mungkar. Marilah kita menjaga keharmonian masyarakat ini tetapi tidaklah sehingga mencampuri urusan orang lain. Kita saling mengingati supaya dapat menjaga kebaikan sehingga bila-bila.

Maaf kalau pandangan yang fakir ini menyakiti hati mana-mana pihak.... 

Deraan kanak-kanak di pusat asuhan Taman Melati, KL

Minggu lepas kita dikejutkan dengan pendedahan seorang bapa mengenai penderaan pengasuh terhadap kanak-kanak dalam jagaannya di Taman Melati, KL. Sampai hari ni, Ummi langsung tak sanggup nak tengok video tu. 

Sungguh hati tak keruan bila dengar budak-budak nangis, macam mana la pengasuh tu sampai hati buat macamtu ye? Bila dibaca pelbagai sumber, rupanya aduan terhadap taska ni telah dibuat sejak 2 tahun lalu oleh ibu bapa kepada salah seorang kanak-kanak di situ. Doktor terbabit telah mendapati kesan yang terdapat pada kaki kanak-kanak tersebut bukanlah akibat demam campak tetapi deraan. Malangnya perbuatan pengasuh tersebut berlarutan sehinggalah ianya terbongkar pada 18 Oktober 2013 setelah seorang bapa nekad meletakkan kamera tersembunyi pada beg pakaian anaknya. Menurut pengadu yang hanya dikenali sebagai Mohamad itu, idea tersebut timbul apabila tingkahlaku anaknya berubah sejak 4 bulan lalu. Malah beliau turut dibohongi apabila ditanya mengenai kanak-kanak disitu yang seringkali dilihat menangis, pengasuh mengatakan ianya adalah perkara biasa setelah mereka mandi. Rakaman tersebut telah dikongsi beliau dengan salah seorang ibu yang turut menghantar anaknya di taska tersebut.

Kini, rakaman dan laporan mengenai kes deraan itu telah dibuat kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Berikutan daripada siasatan kes ini, taska terbabit telah didapati tidak berdaftar walaupun didalam akaun Facebook tercatat berdaftar dengan JKM. Pengasuh terbabit turut diarah menyerah diri.

Kita tunggu dan lihat apakah perkembangan selanjutnya mengenai kes ini nanti. 

Ummi sangat menyesal dengan apa yang telah berlaku, adalah sangat diharapkan agar kita mengambil pengajaran daripada kisah ini. Sebagai ibu, Ummi bukannya tak pernah memarahi anak-anak, malah apabila kita berada dalam keadaan yang sangat marah kita kekadang terlebih emosi. Secara jujunya, Ummi pernah marahkan Kakak sebab dia tak nak dengar cakap. Masa tu memang amarah tahap yang tertinggi, emosi tak dapat dikawal. Tapi bila reda, Ummi menyesal amat sangat. Cepat-cepat minta maaf pada dia, sampai hari ni peristiwa tu memang melekat kat kepala. Tapi itulah pengalaman yang mengajar Ummi tentang kesabaran, malah teknik mengasuh anak-anak juga Ummi pertingkatkan melalui bacaan dan sumber-sumber lain. Bukan mudah nak menjaga ahli-ahli syurga ni, kesabaran memang akan sentiasa teruji.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Allah melindungi kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat.