Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, August 30, 2016

Silenced 2011


Filem terbitan  CJ Entertainment ini sempat saya tonton semasa rehat semalam. Walaupun ianya telah lama disiarkan sejak 22 September 2011, baru 2 minggu inilah saya mengetahuinya melalui Facebook.

Jujurnya, filem ini telah menyentap rasa jiwa dan tubuh badan saya. Sarat dengan pengajaran kepada kita sebagai ibu bapa, rakan, anggota masyarakat, pihak berkuasa dan walau siapa pun kita kini. Cuma, nak pesan, elakkan menonton filem dengan kanak-kanak di bawah umur.

Kisah benar  daripada novel Dokani, penulis Kong Ji-Young pada 2009 ini telah diarah oleh Hwang Dong-Hyuk dengan berjayanya di samping lakonan mantap oleh Gong Yoo (cikgu Kang In-Hoo), Jung Yu-Mi (Yoo-Jin) dan barisan pelakon yang lain. Menurut bacaan saya, Gong Yoo telah membaca novel ini ketika mendapat latihan ketenteraan dan mengusulkan kepada Hwang Dong-Hyuk untuk difilemkan yang mana kemudiannya pengambaran dimulakan pada Februari 2011.

Sinopsisnya lebih kurang begini...

Seorang guru yang telah kematian isteri iaitu, Kang In-Hoo menjadi guru di sebuah sekolah kanak-kanak pekak dan bisu di daerah Mujin. Ketika dalam perjalanannya ke sana, keretanya telah mengalami kerosakan dan diperbaiki di sebuah bengkel. Di sinilah dia bertemu Yoo-Jin seorang pekerja Mujin Human Rights Center.

Semasa melapor diri dengan Pengetua di sekolah tersebut, dia juga bertemu dengan adik kembar Pengetua yang bertugas di bahagian Pentadbiran. 

Kisah sedih sekolah ini mula dibongkar apabila In-Hoo mendapati sesuatu yang agak pelik ketika mengajar seni di dalam kelasnya. Dia juga melihat seorang pelajar lelaki (Min-Soo) telah dibelasah oleh seorang guru lain hanya dengan alasan cuba melarikan diri daripada sekolah. Sewaktu pulang, dia terserempak dengan Yoo-Ri yang duduk di atas tingkap. Bimbangkan keselamatan kanak-kanak tersebut, In-Hoo berlari ke tingkat atas dan menyelamatkan Yoo-Ri. Namun, lebam dan ketakutan kanak-kanak tersebut meningalkan tanda tanya. Mungkin melihat akan keprihatinan guru baru ini, Yoo-Ri telah menunjukkan gurunya sebuah pintu sebelum melarikan diri.

Tatkala In-Hoo membuka pintu tersebut, dia mendapati seorang kanak-kanak perempuan iaitu Yeon-Doo sedang dibenamkan mukanya ke dalam mesin basuh oleh seorang guru wanita. Lalu, Yeon Doo diberikan rawatan di sebuah hospital setelah In-Hoo mendapati pelajar ini juga mengalami kecederaan. Sebelum itu, guru muda ini menghubungi Yoo-Jin untuk mendapatkan bantuan.

Di sinilah titik permulaan pelajar-pelajar ini mendedahkan rahsia mereka didera dan dijadikan mangsa nafsu Pengetua, adik kembar Pengetua dan beberapa guru lain. Pada masa yang sama In-Hoo juga mengalami dilema antara kerjayanya sebagai guru yang baru bermula atau rasa tanggungjawab terhadap pelajar-pelajar yang telah dianiaya. Kewangan In-Hoo yang tidak stabil juga agak menekan beliau di tambah dengan anak perempuan tunggalnya yang sakit.

Walaupun dia cuba dipengaruhi oleh Professor Kim dan beberapa orang berpengaruh, namun In-Hoo tetap mempertahankan pelajar-pelajarnya. Ada suatu ketika, ibunya sendiri datang ke mahkamah memarahi In-Hoo kerana lebih mementingkan pelajarnya daripada kehidupannya sendiri.

Realiti hidup, tidak semua pesalah akan menerima hukuman setimpal. Begitulah pesalah-pesalah di dalam filem ini. Betul, kita tidak berpuashati dengan akhir cerita yang agak berpihak kepada pesalah yang hanya menerima 6 bulan penjara, namun memang tidak mustahilkan ramai pesalah masih bebas begitu sahaja. Min-Soo juga akhirnya mati ketika membalas dendam tanpa mendapat apa-apa pembelaan yang lebih wajar. 

Hmmmm... rasa sentap itu masih membekas di jiwa ini...