Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, August 26, 2015

Cerita pokok lagi


Anak pokok kurma ini tidaklah bersungguh pun Ummi semai, cuma saja nak cuba sebab pernah terbaca bijinya boleh disemai. Rupanya tumbuh sungguh pohon berharga ni. Alhamdulillah.

Tidak ada perancangan pun terhadap anak pokok ni sebab ruang tanah yang ada di tepi rumah macam tak mencukupi untuk menampung bila ianya membesar nanti. Pernah juga terfikir nak bagi pada mak je. kalau bernasib baik mungkin ianya boleh berbuah tapi kalau jantan nak buat apa kan. Nak simpan bunganya pun mana ada pokok lain yang mungkin betina kan.

Ianya masih duduk di dalam polibeg, disiram setiap hari. Tak mengapa, membesarlah kamu wahai pohon kurma. Ummi akan tetap menjaga kamu sehingga perancangan tu ada.


Ummi masih belum tahu ID pokok ni, juga pemberian mak. Agak lambat membesar tapi suka tengok kerimbunannya tu yang ala-ala bonsai.


Bunga putih ni memang senang tumbuh pokoknya. Ummi lupa namanya walau mak dah bagitau dulu. Koleksi warna lain masih belum ada, InsyaAllah jika ada kelapangan akan ditambah sedikit demi sedikit.

Haa... ni pokok terung yang Ummi tunjuk semalam, gambar ni diambil masa ianya belum dipindahkan ke laman tepi rumah. Daunnya elok je kan, tu putik bunga yang pertama kali keluar. Tanam dalam plastik beras je, hehehe...

Ok, sekian dulu cerita pokok-pokok Ummi ye...

Kakak tak nak gemuk

Percaya atau tidak bilamana budak-budak sekarang dah pandai bercakap pasal gemuk atau kurus? Walhal umur belum cukup baligh pun lagi...

Alkisahnya semalam kakak meminta Ummi untuk masak macaroni, katanya nak bawa bekal. Maka, sebelum Subuh tadi gigihlah Ummi memasak macaroni untuk anak kesayangan. Menjadi kebiasaan bagi kakak untuk bersarapan di rumah terlebih dahulu sebelum pergi ke sekolah. Tetapi inilah pertama kali dia nak bawa bekal ke sekolah.

Ummi   : Kakak, nak bawa bekal tak? Ummi dah masak macaroni tu.
Kakak   : Tak nak la Ummi.
Ummi   : Kenapa? Semalam cakap nak bawak. Tak sedap ke?
Kakak   : Sedap la, kakak dah makan pun.
Ummi   : Abihtu kata nak bawa bekal semalam. 
Kakak   : Kakak takut gemuk la Ummi.
Ummi   : Ha...? (melopong mulut Ummi ok!)
Kakak   : Nanti kakak gemuk.
Ummi  : Kakak, kakak tau tak berat kakak baru 17kg. Doktor suruh kakak naikkan berat sampai 24kg tau. Kakak dengar kan doktor cakap aritu. Jangan fikir pasal gemuk, kakak ni kurus tau.
Kakak   : Ala, kakak tak nak gemuk.
Ummi   : Kakak ni kategori kurus tau. Kena banyak makan lagi. Tak de gemuk la.
Kakak   : Ok la, kakak bawak bekal.

Haa... ambik kau! Kecik-kecik dah pandai takut gemuk, belum akil baligh lagi. Ummi dulu masa baya-baya kakak tak pernah langsung fikir pasal gemuk. Aduhai...

Akhirnya memang kakak bawak juga bekal ke sekolah. Tak tau la terpaksa ke apa, tapi Ummi harap kakak akan makan waktu rehat nanti. Ke dia cakap pasal gemuk tu sebab macaroni tak sedap? Kira nak jaga hati Ummi kan...

Tuesday, August 25, 2015

Rindu pulak petang-petang ni...

Petang begini teringat pula pada pokok-pokok di rumah. Rindu pulak.

Ummi bukanlah pandai sangat bercucuk tanam ni tapi memang dilahirkan dalam keluarga petani dan penternak. Minat tu ada tapi masih belum punya waktu yang banyak untuk merealisasikan impian. Beberapa kekangan masih belum dapat diatasi dengan baik untuk memungkinkan ianya menjadi realiti. 


Pokok terung ni pemberian mak sewaktu kami balik ke kampung beberapa bulan sebelum Ramadhan 1436H. Alhamdulillah, ini buah yang ketiga, masih bersaiz kecil tapi lebih besar daripada yang pertama dan kedua. Ianya dah selamat pun ditumis bersama kangkung semasa makan malam semalam. Entah bila Encik suami memetiknya pun Ummi tak tau.

Tengok la tu, daunnya habis berlubang-lubang dimakan dek ulat. Masa dalam bekas di depan rumah dulu daunnya cantik je, bila dipindahkan ke tepi rumah jadi macam ni pulak. Ummi ada simpan resepi 'racun' untuk mencegah perosak tapi masih belum sempat nak di cuba.


Pokok bunga ni Ummi tak tau namanya tapi memang sangat senang dibiakkan, hanya tabur biji benihnya dan tunas akan mula keluar beberapa hari selepas tu. Warna bunganya merah jambu dan sangat galak berbunga, ianya juga diambil di rumah mak. Tak sabar nak tunggu besar.


Warna ungu pada daunnya tidaklah menarik minat sangat untuk dibuat koleksi hiasan di laman tapi Ummi cuba juga untuk membelanya. Sebenarnya tak sangka pokok ni ada bunga, kiranya ini pertama kali Ummi tengok. Jakun juga dibuatnya, hihihi. ID pokok ni pun sampai sekarang Ummi tak tahu, balik kampung nanti nak tanya mak. Tempatnya masih di dalam plastik kuning bekas tanah tu, tak tau nak selit di mana. Bekas kosong banyak di rumah tapi tanah takde, itulah penghalang besar Ummi untuk menyusun pokok-pokok yang ada. 

Kalau diikutkan Ummi nak tanam cantik-cantik dalam bekas dan atur dengan kemas. Tapi entah bila nak ke nursery untuk beli tanah, pasu dah intai kat Daiso beberapa minggu lepas. Hurrmmmm... banyak nak digodek dengan laman di rumah tapi masih tak terlaksana sepenuhnya.

Oh, rindunya pada kamu semua! Ianya bagai satu terapi bilamana Ummi dapat menyentuh dan menyiram walau untuk seketika. Psssttt... sekarang Ummi tengah gila bayang dengan Adenium!

Friday, August 21, 2015

Ulang Tahun Perkahwinan ke 8

Alhamdulillah.

Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan hati, betapa bersyukurnya saya dengan pemberian yang dikurniakan oleh Allah. Ikatan sah yang terjalin sejak 18 Ogos 2006 ini benar-benar berharga. 

Mengenali insan istimewa ini sekitar 2005 sebagai rakan pejabat pada mulanya telah membuka ruang hati yang selama ini sangat takut untuk menerima mana-mana lelaki. Ketegasan dan kegarangan ayah telah membuat saya menyimpul mati untuk bercinta dengan mana-mana lelaki. Pernah mencuba tapi ketakutan itu lebih kuat menguasai.

Terima kasih kerana menerima saya seadanya. Sangkaan saya, siapalah nanti yang mahu menikahi gadis juling ini dan datang daripada keluarga yang miskin pula. Oh, saya punya keyakinan diri yang sangat rendah suatu ketika dulu dan tidak berani melakar impian untuk hidup dengan suami idaman. 

Nyata, Allah mengatur perjalanan kita dengan penuh hikmah tanpa disangka. Perkenalan singkat yang kemudiannya terus menikah telah memberikan rahmat tidak terhingga. Bercinta selepas menikah itu sangat istimewa buat saya.

Kenangan pada 2009 
Sayang, terima kasih banyak-banyak ye kerana sabar dengan karenah isteri dan anak-anakmu ini. Tenang sungguh menghadap cabaran dan ujian yang datang walau adakalanya isterimu bagai hangus terbakar. Hahaha.... dah lambat masuk pejabat pun masih mampu berjalan satu demi satu sedangkan orang sebelah kirimu macam nak berlari dah gayanya!

Mohon ampun dan maaf atas segala salah silap samaada sengaja atau tak sengaja. Opppsss... ada yang sengaja ye? Hehehe, ye la, kalau tak buat camtu awak tak perasan pulak. Dah bagi hint pun buat dek je, mau tak hangin. Hihihi...

Sayang adalah suami idaman saya dan abah yang terhebat buat anak-anak kita. Semoga Allah mengurniakan hidayahNya buat kita sekeluarga, diberikan umur yang panjang serta bermanfaat, sihat tubuh badan, memiliki akhlak yang mulia, dikekalkan perkahwinan ini hingga ke akhir hayat dan dimurahkan rezeki selalu.

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan sayang...

Monday, August 17, 2015

Aidilfitri 1436H


Cerita raya sebetulnya dah basi kalau nak ditempek di celah mana sekalipun tapi siapa pula yang dapat menghalang kita daripada merasai keseronokkannya. Bermula bebeberapa hari sebelum hari raya, tentulah pelbagai persiapan telah dilakukan. Salah satunya yang menjadi kelaziman Ummi ialah berinai. Hmmmm, wangi baunya. Manis je jari tu merah kan, heheh.


Tahun ni kami beraya di Pahang bagi menggantikan tahun lepas yang mana Ummi dalam pantang masa tu. Husna kan lahir seminggu sebelum raya. Kami telah pun memilih warna peach sebagai tema.



Menjadi satu acara tetap bergambar ni, lepas je habis bersalam kecoh nak ambik gambar. Kalau lambat-lambat alamaknya tak sempat la kan sebab rumah dah kena serbu.


Walaupun Ummi tak dapat nak jamah lemang mak yang tersayang, tapi kemeriahan di sini tidak dapat Ummi nafikan. Hubungan erat sesama saudara dan jiran tetangga membuatkan rumah mak abah tidak putus dengan kunjungan. Abah adalah generasi pertama di sini, jadi rumahnya memang menjadi tumpuan.

Makanan juga agak berbeza dengan makanan tradisi keluarga Ummi sebab mak mertua akan memasak ayam kicap yang akan dimakan dengan ketupat. Pecal pun ada. Tahun ni banyak juga kami masak... ketupat, ayam kicap, sambal limpa, sambal suun dan tempe, sup tulang dan beberapa menu lain yang tak sempat pun Ummi nak rasa semuanya. Mula-mula kahwin dulu rasa pelik juga sebab banyak sangat menunya tapi dah jadi kebiasaan orang Jawa begitu.

Alhamdulillah, kami seronok beraya di sini dan anak-anak pun senyum tak lekang sebab sentiasa dimurahkan rezeki. Hehehe.... Yang paling penting bagi kami ialah mak abah bahagia!

Thursday, August 6, 2015

MH370... akhirnya terjawab sudah

Setelah 515 hari ianya disahkan hilang, jam 2 pagi tadi Perdana Menteri Malaysia mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion itu milik MH370.

Pulau Reunion yang sebelum ini tidak dikenali merupakan sebuah kepulauan terletak di Lautan Hindi, kira-kira 175km dari barat daya Mauritius atau 900km dari Madagascar.

Tiada kata-kata yang mampu membayangkan penerimaan ahli keluarga krew dan penumpang MH370 yang terlibat. Hanya mereka yang benar-benar merasai hakikat kehilangan itu. Bukanlah kita orang luar ini tidak sedih tetapi kesedihan mereka lebih lagi dalamnya. 

Jika kita turut menangis ketika menerima berita ini, tangisan ahli keluarga mereka lebih lagi sayunya, memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ummi yang tidak mampu menahan airmata di dalam kereta tadi pun rasa sakit untuk cuba menerima apatahlagi mereka. Pun begitu, sebagai orang Islam kita wajib mempercayai qada' dan qadar daripada Allah, hanya Dia lebih tahu segalanya. 

Mengimbau kembali kejadian yang telah berlalu lebih setahun ini, ianya berlepas daripada KLIA jam 12.41 pagi menuju Beijing, China dan sepatutnya mendarat pada 6.30 pagi hari yang sama, 8 Mac 2014. Namun ketika jam 1.21 pagi, pesawat tersebut tiba-tiba hilang dari memasuki kawalan trafik udara Vietnam.  Radar tentera pula mengesahkan pada 2.15 pagi bahawa MH370 berada pada kedudukan 322km ke Barat laut Pulau Pinang. Ketika itu satelit masih mengesan yang pesawat masih terbang.

24 Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan terakhir pesawat misteri ini berakhir di selatan Lautan Hindi. Pencarian juga telah ditumpukan ke kawasan tersebut yang mana ianya menimbulkan pelbagai persoalan kepada dunia bahawa apakah sebenarnya yang telah terjadi. Sehingga kini pun, ianya masih kekal misteri kerana kita memang tidak mengetahui apa yang telah dilalui oleh krew dan penumpang MH370.

Berita kehilangan pesawat ini merupakan tanda ingatan hari jadi Ummi yang pasti tidak dapat dilupakan sepanjang hayat biarpun ianya jatuh pada 9 Mac 2014. Sepanjang hari Sabtu dan Ahad itu, Ummi melekat di depan televisyen untuk mendapatkan berita terkini. 

Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Fariq Abdul Hamid
Sidang media yang diadakan di Pusat Daganagan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi telah menyaksikan Perdana Menteri mengesahkan bukti fizikal tersebut sepadan dengan MH370 setelah disiasat oleh psukan penyiasat penerbangan antarabangsa di Toulouse Perancis.

"Hari ini selepas 515 hari peswat tersebut hilang, dengan hati yang berat, saya ingin menyatakan bahawa pasukan penyiasat penerbangan antarabangsa telah mengesahkan bahawa serpihan sayap pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Bebanan yang dihadapi ahli kelaurga tidak dapat digambarkan, tapi menjadi harapan saya dengan pengesahan ini dapat memberi jawapan kepada mereka walaupun ianya menyakitkan," katanya. 

Turut hadir semasa sidang media itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Al Fatihah dan takziah buat 239 krew dan penumpang MH370. Damailah di sana dan moga Allah merahmati kalian.

Tuesday, August 4, 2015

Beraya ke Sentul


Alhamdulillah, tengahari Sabtu lepas kami sempat beraya di rumah pengasuh kakak dan adik masa diorang kecik. 

Mereka dikenali sebagai Nenek Ina dan Tokki, tinggal di Sentul. Setakat ni, hanya raya tahun lepas je kami tak ziarah mereka sebab Ummi dalam pantangkan Husna. 

Masa kami sampai hanya ada Azam dan Azad, selepas itu baru Anis tiba. Kebetulan Fatihah dan adiknya ada sama, tapi masing-masing tak bertegur sapa sebab dah lama tak jumpa. Budak-budak ni jadi pendiam pulak. Makan taknak, duduk tegak tengok mee sup dan sate yang terhidang. Biasa la diorang ni, lambat nak panas. Nanti nak balik baru ramah tamah. 

Sudahnya Ummi suapkan diorang makan mee sup sebab kesian kat nenek, beria dia masak sup sebab kakak dan adik suka masa dia jaga. Bertambah-tambah pulak lepas tu, konon malu la sangat. Masa Ummi solat Zuhur dah hilang malu dah, abih baring-baring kat katil dalam bilik. Mulut pun dah start potpet.

Semoga silturrahim ni akan terjalin baik sampai bila-bila. Jasa mereka jaga kakak dan adik tak terbalas rasanya. Susah nak dapat pengasuh yang baik dan anggap seperti cucu sendiri. Terima Nenek Ina dan keluarga... kami akan datang lagi ye, InsyaAllah.

Hari Raya di taska



Jumaat lepas 31/7/2015, taska Nawals buat sambutan hari raya. Alhamdulillah, meriah sungguh seperti tahun sebelum ni. Cuma kali ni siap pasang khemah kat luar, dulu makan kat dalam je.

Tak sempat nak snap pic banyak-banyak, tu je yang sempat. Nak jaga budak-budak ni lagi bukannya senang, ada kawan lagi sakan diorang main. Banyak juga menu aritu, antaranya laksa utara, mee goreng, mee/mihun sup, nasi ayam serta kek dan kuih muih.

Teacher yang pakai tudung hijau tu la yang jaga Husna sampai sekarang, dengan orang lain taknak. Pantang mummy dia lalu, mesti melalak kalau tak ambik. Waktu pagi pun kalau teacher lain yang ambik memang Husna akan liat dan adakalanya menangis jugak.

Alhamdulillah, teacher kat taska ni baik-baik. Semoga mereka semua diberikan ganjaran pahala yang banyak dan dikurniakan hati yang baik serta sentiasa mengasihi anak-anak asuhan di sini. Jauhkanlah mereka daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

Tahun depan kita beraya lagi ye...

Monday, August 3, 2015

Malaikat

Hari ini Ummi rajin sikit menulis, jadi petang-petang begini jom kita mengaji semula fardhu Ain, bab Malaikat.

Malaikat-malaikat yang wajib kita ketahui ialah :

1. Jibril : Membawa wahyu
2. A'zazil : Mengambil nyawa
3. mikail : Membawa rezeki
4. Israfil : Meniup sangkakala
5. Munkar dan Nakir : Menyoal mayat dalam kubur
6. Ridhuan : Menjaga syurga
7. Malik : Menjaga neraka
8. Raqib dan A'tid : Menulis amalan kebaikan dan kejahatan

Sekarang, kita tengok pulak apa yang akan disoal oleh Munkar dan Nakir di dalam kubur.

1. Soalan : Siapakah Tuhan kamu?
    Jawapan : Allah Tuhanku.

2. Soalan : Siapakan Nabi kamu?
    Jawapan : Muhammad s.a.w. Nabiku

3. Soalan : Apakah agama kamu?
    Jawapan : Islam agamaku

4. Soalan : Apakah kitab pegangan kamu?
    Jawapan : Al Quran kitabku

5. Soalan : Siapakan saudara kamu?
    Jawapan : Orang-orang Islam saudaraku.

Cerita tepi laman




Bulan berapa Ummi bersihkan laman tepi dapur ni pun tak ingat dah. Lama sangat perap gambar kan.

Ada beberapa pokok yang ditanam kat sini, antaranya ialah limau purut, lengkuas, belimbing buluh, kari, pandan, serai makan dan serai wangi, ubi kayu, inai, ulam raja, betik dan durian belanda. Pernah juga menanam limau nipis, mengkudu dan manggis tapi akhirnya layu terkulai. Tanah tak berapa cantik dan subur sebab dah bercampur dengan batu. Silapnya kami juga sebab tak buang batu tu dulu. 

Sebelum ni masalah paling besar yang Ummi hadapi ialah siput babi yang sangat banyak. Boleh kata satu keturunan ada. Pagi-pagi kalau pergi laman tepi dapur ni memang akan jumpa binatang ni bersepah-sepah. Ubat siput dah ditabur tapi saki baki keturunannya masih ada. Yang paling sedih bilamana pokok bunga raya pun dipanjatnya juga. Akhirnya Ummi tebang juga pokok bunga raya tu sebab daunnya pun dah bermasalah. Tengok la dalam gambar tu, entah macammna siput tu boleh bergayut kat batang lalang walhal kalau ikut logik tentulah lalang tu tumbang sebab badannya lagi berat. Kat hujung daun pandan pun boleh dipanjatnya. 

Kalau tepi ruang tengah tu ada la pokok mangga, jambu, kelapa pandan, delima dan pokok-pokok bunga. Alhamdulillah pokok-pokok ni hidup tapi yang sangat bermasalah ialah pokok jambu. Ulat tak berhenti makan daunnya. Lambat je sembur racun, berlubanglah daun-daun tu. Berapa tahun dah tanam tapi pokoknya tetap rendah sebab asyik kena pangkas bilamana Ummi runsing tengok daunnya yang tak cantik tu. Ini dah kali kedua kami cuba tanam pokok jambu air. Sesekali rasa nak korek dan buang je, tanam pokok lain yang senang bela.

Kalau dalam pasu Ummi tanam pokok asam batu merah, kunyit, kaktus, kesum, adenium dan beberapa pokok bunga yang Ummi tak tahu namanya. Semalam (Ahad, 2 Ogos 2015) Ummi agak terkejut juga sebab dalam polibeg hitam ada tumbuh sepokok lagi. Rasanya pokok kurma sebab 2, 3 bulan sebelum ni memang Ummi ada tanam beberapa biji kurma kat situ dengan harapan kalau ada rezeki ianya akan tumbuh. Lepas ni kena rajin cari maklumat tentang pokok kurma pula. Gambar akan di upload kemudian ye. 

Nampak cam banyak je ditanam kan, tapi bila tengok masih banyak ruang tanah yang boleh digunakan. 2 bulan lepas Ummi cuba tanam sayur kailan tapi tak menjadi. Kena cuba lagi nampaknya. Pokok labu yang subur dulu pun dah mati. Memang tak sempat nak merasa pucuknya apatah lagi buah labu. Hihihi..

Ok, nanti Ummi sambung lagi pasal tanaman ye. #tamanlaman #hiasanlaman

Adenium saya


Taraaa.... inilah Adenium Obesum yang dibela sejak setahun lalu. Jenuh menunggu bunga cantik ni keluar tau!

Terima kasih mak sebab bagi Yong pokok bunga yang sangat senang nak jaga. Ada masa hari-hari siram, ada masa sesekali siram. Ekekeke... Asalnya pokok ni mak ambik kat rumah anak saudaranya yang bertugas sebagai tukang kebun sekolah. Geram dengan bunganya yang berwarna terang tu kan. 

Tinggal sepokok lagi tak berbunga. Kesian dengan kawannya, batang pokoknya makin mengecil. Sebelum ni pindahkan ke tanah dengan harapan pokoknya akan membesar tapi ianya tetap sama. Minggu lepas Ummi korek dan pindahkan semula ke dalam bekas yang berisi tanah hitam campuran. Bila tengok kat Cik Google, Adenium ni memang tanam dalam pasu. Tak jumpa yang ditanam atas tanah. 

Sedikit info tentang Adenium :

1. Lebih senang hidup di atas tanah yang airnya senang mengalir (mungkin campuran tanah dan pasir sungai boleh dicuba, Ummi tak cuba lagi ye). Jangan biarkan air bertkung tau, nanti rosak akarnya.
2. Memerlukan cahaya matahari yang banyak tetapi terlindung sikit supaya bunga yang cantik tu dapat dihasilkan.
3. Siram sekali sehari bila cuaca panas.
4. Baja tahi ayam lebih baik tetapi boleh juga gunakan baja yang biji tu.
5. Boleh dikacuk dengan spesis adenium lain, hasilnya akan lebih menarik.
6. Ulat beluncas adalah musuh paling utama.

Semoga kamu berdua sihat dan mengeluarkan bunga yang cantik ye. Ummi dan kakak Nawals sayang kamu!

Catatan Hari Raya

Assalamua'laikum

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1436H, hari ini dah 18 hari pun. Maaflah sebab baru nak post pasal hari raya.

Sebenarnya nak luah pandangan daripada kacamata sendiri. Adakalanya kita tak perasan atau memang perasan cuma buat-buat tak tahu. Kalau baik ambillah sebagai panduan tapi kalau sebaliknya jadikan sempadan.

1. Tukang rajin, tukang komplen, tukang arah, tukang makan.....
Bila ramai ahli keluarga tentulah banyak ragam yang kita boleh nampak masa hari raya kan. Ada yang rajin, ada pula yang malas malah tukang mengarah pun ada. Tak kisah la muda atau tua, masing-masing punya karektar sendiri. Yang rajin tu baguslah, semoga kerajinannya mendapat pahala daripada Allah S.W.T., bertungkus lumus membuat persiapan untuk menyambut Syawal. Tapi, yang sedihnya kalau dapat ahli keluarga yang malas atau tukang mengarah saja. Sakit hati ok! Sudahlah tak menolong, suka-suka je suruh orang buat itu dan ini. Paling tak boleh terima kalau ada pulak kaki komplen. Orang lain buat ada je tak betul tapi kalau sendiri buat macam perfect sangat!

Adik, kakak, abang, makcik, pakcik yang tergolong dalam golongan macamni, tolonglah sedar kelemahan diri tu. Orang lain pun ada perasaan jugak. Takut nanti hilang pahala puasa sebab dalam hati marah atau sumpah seranah korang yang banyak sangat ragamnya. Kita nak raya dengan gembira bukan sakit hati ok! Tak guna minta maaf bagai kalau tahun depan ragamnya tetap sama. Alangkah baiknya kalau sama-sama buat persiapan supaya Syawal yang disambut penuh dengan kemaafan dan kegembiraan.

2. Awak raya dengan mak awak, saya raya dengan mak saya!
Haaa... contoh ayat ni memang tak mustahil keluar masa nak buat keputusan balik beraya kat mana kan. Paling teruk piring UFO terbang sana sini dalam rumah, hihihi...

Cadangan Ummi la kan, seeloknya masa awal perkahwinan bincang siap-siap. InsyaAllah bila sepakat takde la nak gaduh-gaduh, tapi kalau dapat pasangan yang langgar janji memang boleh bikin panas ye. Tahun lepas rumah dia, tahun ni rumah dia, tahun depan rumah dia! Haa... yang ni memang boleh perang besar. 

Sendiri boleh fikir kan, kalau kita seronok nak raya dengan mak ayah kita, pasangan kita pun nak juga rasa seronok dengan keluarganya. Jangan berat sebelah atau pentingkan diri sendiri.

Satu lagi situasi yang tak sedap bila kampung berdekatan. Suami isteri terpisah, suami kat rumah keluarga dia, isteri kat rumah mak ayahnya. Maklumlah dekat, kononnya boleh lari-lari kejap. Aduhai... tak mustahil ada rasa kecil hati tau. Bagi Ummi, elok ikut turn yang ditetapkan. Kalau tahun ni turn sebelah suami, isteri kena la ada kat rumah mertua. Bantu persiapan nak menyambut raya bersama ipar duai yang lain. Nanti tahun depan, suami ikut la pulak balik ke rumah keluarga isteri. Bila saudara mara tengok pun macam tak manis kan sorang sana sorang sini. 

Tapi kalau memang dah diputuskan masa awal-awal kahwin memang nak begitu caranya terpulang la. Atau ada berlaku situasi yang memerlukan masing-masing balik ke rumah ibu bapa sendiri tu kira lain la pulak. Mungkin tiada adik beradik yang balik beraya dengan mak ayah, boleh la difikirkan untuk bantu buat persiapan. Kesian juga kalau takde sape nak tolong masak lemang, rendang ayam bagai kan...

Mungkin juga elok dibincangkan dengan adik beradik tentang turn balik raya ni supaya mak ayah kita tak sunyi sepi. Eh, anak tunggal macammana ye? Yang ni memang perlu diperhalusi supaya kedua-dua buah keluarga gembira dan menerima seadanya.

3. Berkira, kedaung, kedekut
Bila dah berkumpul beramai-ramai janganlah kita kedekut, kedaung atau berkira nak keluar duit belanja. Ingat balik kampung boleh makan free ke? Minta maaf ye tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita ringankan beban mak ayah atau tuan rumah yang kita duduk masa raya tu.

Sekarang ni sekilo getah pun tak cukup nak beli sekilo gula tau. Lain la kalau mak ayah tergolong dalam golongan kaya raya, tapi kalau kaya raya pun tak salah kita guna duit sendiri untuk beli barang keperluan. Mesti mak ayah tersenyum. Lagi bagus kalau adik-beradik boleh kongsi sikit sorang duit dan belanja mak ayah. Selain barang keperluan, kalau ada duit lebih tu boleh juga beli karpet baru untuk mak atau cat baru rumah tu ke. Haa… kan Nampak meriah je rumah mak ayah kita.

4. Sedapnya makan!
Bab makan semua orang suka kan, hihihi. Ummi pun suka walau telah diikat janji nak diet bagai. Hahaha… semua ke laut! Siapa dapat tahan kalau tengok menu kegemaran depan mata.

Bila makan ni kan, kita jangan la tak ingat orang belakang. Sampai habis licin kena bedal, tu pun rasa macam tak cukup. Memang la tuan rumah akan cakap makan sampai habis tapi beradab la ye kawan-kawan. Baju dah lawa tapi bila tengok bab makan, aduhai… macam tak percaya pulak, hilang keayuan atau ke’macho’an.

Satu lagi yang mungkin kita tak perasan bilamana kita menjamah makanan ialah tak menjemput orang keliling makan. Sila berbudi bahasa selain beradab sopan ye. Tak salah pelawa tuan rumah atau pasangan kita bilamana kita nak makan dulu. Selalunya kita lihat kaum lelaki akan diberi keutamaan untuk makan dulu tapi sesekali tak salah kut kalau suami suruh isteri makan dulu. Itu tanda hormat bukan dayus pun.

Kesian tengok isteri-isteri ni, dah le kena jaga anak, makan cepat-cepat sebab nak jaga si kecik yang tengah lasak tu. Mana nak puasnya bila makan dalam keadaan begitu. Adakalanya tak kesampaian pun nak makan pedas-pedas sikit sebab nak kena suap anak-anak. Suami yang baik tidak akan lupa pada pasangannya, dia juga akan suap anak-anak makan. Haaaa… masa tu rasa la sendiri macammana makan tanpa rasa pedas-pedas atau lemak-lemak. Asyik makan yang ala-ala sup je…

Bila isteri tengah makan, janganlah suami jeling-jeling. Asyik tengok jam aje, nak balik cepat la, anak-anak taknak dekat papalah. Alasan je tu. Toksah berkira ye cik abang…

5. Sape lagi lawa?
Haaa…. Biasanya bila raya ramai yang dalam tak sedar nak jadi lagi lawa daripada orang lain. Baju nak liplap, jubah nak ala-ala Elsa, tudung nak juntai-juntai! Aduhai sayang… tak salah pakai baju cantik dan baru tapi tak perlu kut nak rasa ‘baju aku la yang paling lawa’. Ni perangai orang perempuan biasanya. Kalau lelaki lebih kepada aksesori kereta.

Boleh dikatakan semua nak cantik dan baru, tu yang duit keluar macam air! Lepas abih raya, terkial-kial makan maggi dan naik LRT bagai. Hahaha… anak dara yang manis-manis tu pun janganlah tergedik-gedik sangat ye. Dah pakai baju cantik buat perangai tak senonoh, psssttt… ada masanya korang sedar tak gelak tawa korang tu dah menakutkan Pontianak kalau dia dengar. Cover sikit dek.

Ok, Ok.. buat sementara ni cukup dulu. Nak selesaikan kerja hakiki sekejap. Kita jumpa lagi ye… Oppsss… Ummi nak minta maaf kalau ada sape-sape yang terasa dengan catatan ni. Bukan niat nak mengata tapi inilah lumrah yang biasa kita nampak macam tu kan.. Semoga kita jadi orang yang lebih baik, InsyaAllah.