Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 2, 2014

Big Hero 6

Alhamdulillah.

Selesai sudah tugasan besar bagi tahun 2014. Diberikan cuti tambahan pada 1 Disember 2014 (Isnin) memberikan kenikmatan buat tubuh yang telah longlai. Alhamdulillah.

Ahad, 30 November 2014 tidak diisi dengan apa-apa aktiviti melainkan berehat, mengemas dan memasak seperti kebiasaan. Cuma semalam sahaja kami sekeluarga sempat menonton filem Big Hero 6 di MBO, Space U8. Tempat yang langsung tidak sibuk dengan aktiviti manusia memang menyenangkan langkah kami untuk mengawal 4 Nawal yang masing-masing punya keletah sendiri. Bantuan daripada Chik sangatlah dihargai kerana tanpa dia, huru hara juga keadaannya. Terima kasih tak terhingga Chik kerana berkorban menjaga 4 Nawal ini sepanjang kesibukan melanda.



Ok, berbalik kepad Big Hero 6 ini, ianya satu filem kanak-kanak yang agak menarik. Dengan badannya yang seperti belon berwarna putih itu sesekali membuatkan penonton ketawa dan sedih. 

Filem ini berkisar kepada hidup seorang remaja yang bernama Hiro. Kecerdikannya sama seperti Tadashi, abangnya yang merupakan pelajar kepada Prof. Calaghan. Pertandingan rekacipta anjuran tempat belajar abangnya telah membuka mata Hiro untuk memenangi pertandingan tersebut kerana itulah syarat memasuki universiti itu. Ciptaan mikrobotiknya telah menarik minat En. Krei tetapi Hiro enggan menjual rekaan itu dan di sinilah bermulanya teka teki yang akhirnya terjawab di akhir filem.

Kematian Tadashi kerana ingin menyelamatkan Prof. Calaghan benar-benar membuatkan Hiro hilang semangat hinggalah Baymax muncul merubah hidupnya. Baymax mrupakan robot ciptaan Tadashi yang berbentuk seperti belon dan hanya boleh dinyahaktifkan apabila penggunanya gembira dan berpuashati dengan perkhidmatan penjagaan kesihatannya. 

Mikrobotik yang dijumpai semula oleh Hiro setelah malam kejadian abangnya mati telah membawa kepada penyatuan Hiro, Baymax dan rakan-rakan Tadashi menentang kezaliman manusia bertopeng yang bermotifkan dendam.

Tatkala Baymax dan Hiro terpaksa berpisah kerana menyelamatkan Abigail, ianya benar-benar menyentuh perasaan. Hilang abang yang disayangi dan melepaskan Baymax yang banyak membantunya bukanlah satu perkara yang mudah untuk diterima oleh Hiro.

Saksikanlah kisah Big Hero ini sendiri kerana mungkin penilaian anda dan kami berbeza. Lain orang lain rasanya kan...

Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita dapat daripada filem ini, antaranya :

1. Hubungan adik-beradik tidak akan terputus walaupun telah meninggal dunia.
2. Persahabatan yang erat benar-benar memberikan impak positif kepada seseorang.
3. Putus asa, hampa, marah, dendam bukanlah sesuatu yang bagus buat manusia kecuali kita berjaya mengubahnya untuk menjadi positif dan merangsang kejayaan dalam hidup.
4. Hidup kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri yang berusaha untuk mengubahnya.