Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, November 11, 2015

Cakap-cakap orang dah kahwin

Assalamua'laikum...

Semoga pagi yang baik dan terang dengan cahaya matahari ini memberikan kita lebih banyak kebaikan dan kebahagiaan. Biar apa pun yang kita buat masa ni, semoga bahagia itu milik kita.

Lama dah tak menulis apa-apa catatan di laman penaummi ni, jadi rasanya macam nak cakap pasal orang yang dah kahwin. Hehehe... mana yang baik ambik la sebagai pedoman, mana yang tak baik lempar jauh-jauh ye supaya ianya tidak memberikan aura negatif buat kita.

Bermula daripada kita sah diikatkan sebagai suami isteri, cabaran sebenar hidup berumahtangga akan bermula. Kalau sebelum nikah ada rajuk dan pujuk, belum tentu lepas kahwin macamtu jugak. Kalau sebelum nikah rasa duduk atas awan, belum tentu kita rasa begitu selamanya. Kalau sebelum nikah tiap jam rasa nak call si dia, belum tentu lepas kahwin kita akan call dia tiap 3 atau 4 jam sekali. Kalau sebelum nikah apa pun sanggup kita redah, belum tentu lepas tu kita redah walau sesak di kota bagai nak gila!

Tau kenapa Ummi cakap macamtu? Sebab.... emosi, ikatan cinta dan segala apa yang kita ada akan berkait rapat dengan pasangan kita. Impaknya si dia juga akan turut merasa biar apa jua yang kita lakukan.

Pernah dengar tak orang cakap pasal sebelum kahwin jalan sebelah-sebelah, bila dah kahwin sorang kat depan sorang kat belakang? Walau bukan semua pasangan macamtu, hakikatnya ramai pasangan yang sebegitu. 

Of course la sebelum kahwin kita akan fikir yang indah dan baik-baik sahaja. Darah tengah manis katakan, semuanya ok dan sanggup diterima. Lepas nikah baru tau perangai sebenar suami atau isteri. Hadap je la ye…

Tu sebab orang tua selalu pesan, sebelum kahwin buka dua-dua mata, lepas kahwin tutup sebelah mata. Tapi kalau ada habit yang tak elok tu, cubalah bawa berubah. Takkan sampai ke tua masih nak tidur sampai tengahari kan, upppsss….

Zaman sekarang ni susah juga nak jumpa anak dara yang bangun awal pagi dan tak tidur balik. Nak cari pemuda yang duduk di surau subuh hari lagi payah!

Jadi… apa yang kita nak harapkan pada pasangan kalau kita sendiri tidak berusaha jadi yang terbaik. Kita mahu isteri sebaik Fatimah tapi solat wajib pun kita tinggal, ada hati nak pinang anak dara orang? Cermin diri dulu kaum Adam, kalau kamu bengkok macam mana pulak nak luruskan kami yang jadinya daripada rusuk kiri kamu?

Sebagai pemimpin keluarga, kamulah yang harus kuat dan tetap positif supaya jadi ikutan kepada isteri dan anak-anak. Jangan mimpikan rumah bagai syurga kalau Al Quran pun kita tak baca. Ingat, isteri dan anak-anak perlukan makanan rohani juga bukan sekadar tempat perlindungan dan keperluan duniawi semata-mata. Usah biar insan-insan yang kita sayang ni rasa sunyi dan hati mereka kosong akibat kelalaian kita. Kelak tanpa kita sedar, mereka akan pergi meninggalkan kita yang masih dibuai kesedapan dunia.

Sesekali bersembanglah dengan isteri tentang matlamat perkahwinan yang dibina supaya dia tahu apa yang hendak dicapai. Jangan ingat mereka boleh meneruskan tanggungjawab sebagai orang nombor dua dalam rumah tanpa bimbingan. Walau isteri seorang ustazah, mereka masih perlukan teguran dan nasihat daripada suami walaupun lelaki harapannya itu Cuma seorang pemotong rumput!

Nak mencapai ikhlas dalam rumahtangga ni banyak cabarannya. Ada isteri bangun pagi-pagi dengan senyuman lebar mengharapkan hari ini lebih baik daripada semalam. Angan-angannya nak masak yang sedap-sedap dan rumah dikemas rapi, alih-alih sampai ke petang suami asyik dengan telefon dan berdengkur sampai ke petang. Mau tak hangin satu badan!

Ada juga suami yang baik seawal Subuh dah kejut isteri untuk solat jemaah tapi isteri tetap liat bangun mengalahkan orang yang bangun Tahajjud setiap malam! Sedih hati suami, isterinya cantik rupawan tapi solat liat. Berubahlah Puan-puan, kalau solat kita jaga InsyaAllah yang lain-lain pun akan terjaga Tak guna juga kalau suami sebaik Saidina Ali tapi diri kita langsung tak berusaha menjadi solehah.

Apa guna kita make-up cantik-cantik tapi hakikatnya tak cantik mana pun akhlak kita ni. Dapat suami baik macam malaikat tapi kita masih sedap kejar dunia. Kita utamakan karier daripada suami malah yang lebih teruk tak nak melahirkan zuriat hanya sebab tak nak gemuk. Rahim perempuan telah Allah jadikan tempat yang sangat istimewa tapi kita sia-siakan pulak. Bagi yang memang ada masalah kesihatan atau faktor lain yang menghalang itu tak mengapalah.

Sebenarnya alam rumahtangga ni, komunikasi kena dua hala. Tak mengapalah kalau salah seorang pendiam sikit tapi janganlah sampai asyik pasangan kita je nak mulakan, lama-lama bosan jugak. Tak romantik pun tak apa, asalkan jangan lupa pada pasangan masing-masing. Duduklah ceruk mana, selalulah kirimkan doa dan bagi nasihat supaya pasangan rasa sentiasa diingati. Untuk menghargai tak perlu pun jambangan ros atau tali leher mahal, sepotong ayat yang dikirim melalui mesej  pun dah memadai.

Ok… nanti kita sambung lagi ye. Banyak nak tulis lagi ni tapi Ummi perap dulu buat sementara waktu.