Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, October 13, 2011

Santai






Aktiviti di waktu petang yang sangat santai untuk kakak dan adik... :p

Thursday, October 6, 2011

Sambungan..

Saya ingin menyambung catatan yang tertangguh beberapa hari yang lalu...

Kini saya tidak lagi menggunakan sebarang mekap untuk ke mana-mana, hatta ke pejabat sekalipun. Secalit pun tidak. Pada saya, kalau dah keluar masuk hampir 10 kali ke tandas untuk apa saya bermekap lagi. Takkan setiap kali masuk dan keluar tandas nak di touch up muka kan. Pastilah membazir dan saya juga bukanlah seorang yang sangat rajin untuk membelek wajah tiap waktu.

Saya kepingin untuk cantik seperti seorang rakan kerja saya, sangat berseri tatkala dia berbadan dua. Pakaiannya juga cantik2 tapi nampaknya sampai anak yang ketiga ini pun saya hanya boleh memasang impian saja. Yang pasti saya ingin sangat untuk kelihatan cantik dan berseri, ngeeee....

Kalau ada waktu terluang saya hanya mahu berehat saja. Duduk diam dan tidur (kalau boleh tidur, sebab si adik selalu mengacah bila saya melelapkan mata). Tak kuasa saya nak berjalan sini sana apatahlagi membeli belah. Saya tak sukakan kesesakan waktu ini! Kalaulah saya dapat cuti yang panjang alangkah bahagianya saya....

Selera saya sangat merudum sekarang ni. Apa yang saya suka makan pun jadi tak sedap pada mulut, rasa seperti mulut orang demam. Begitulah. Dan yang saya tak tahan ialah tahap pengeluaran kahak sangatlah banyak buat masa ini. Bukan disebabkan batuk mahupun selesema tetapi itulah yang terjadi bilamana saya mengandung. Ditambah pulak dengan air liur yang sangat pekat, hanya Allah saja yang tahu bagaimana tekak saya tatkala ini. Asyik nak meludah saja, cuma kandungan ketiga ini agak kurang sikit berbanding kandungan terdahulu. Sampaikan orang pernah menegur saya kerana membawa tuala ke hulu dan ke hilir. "Nak mandi ke..." Saya tidak boleh meludah ke dalam plastik kerana saya sangat geli, jadi tuala adalah yang paling baik buat saya. Setiap masa saya perlu membuangnya dengan segera daripada tekak dan mulut saya, kalau tidak saya tidak mampu untuk bercakap dengan sesiapa pun. Akibat daripada masalah ini, saya selalu rasa rendah diri, takut mulut saya berbau. Oh tidak! Jadi, sebolehnya saya mengelak daripada bercakap banyak dengan orang lain.

Oh saya sudah penat menaip buat masa ini, nanti saya membebel lagi ya...

Monday, October 3, 2011

saya dah kembali

Alhamdulillah... saya kembali walaupun kesihatan tidak sepenuhnya pulih. Tapi syukurlah saya dah pun kembali memulakan tugas pada hari ini.

Sejak Rabu lepas saya MC sampai Jumaat. Dan sejak mengandung anak ketiga ni saya memang kerap MC dek kerana alahan yang agak teruk malah minggu lepas saya bleeding. Hanya Allah yang tahu rahsia disebalik apa yang saya tempuh ni.

Setiap kali saya mengandung (setakat kandungan ketiga ini) saya memang mengalami alahan yang sukar untuk saya fahami, malah saya masih belajar untuk menerimanya. Tidak dapat dinafikan airmata saya gugur juga akhirnya walaupun jenuh saya tahan supaya saya sentiasa sabar, redha dan ikhlas menerimanya. Minggu lepas tatkala saya bleeding deras benar airmata turun, pastilah saya risau. Kandungan pertama dulu pun begitu tapi dah 4 bulan masa tu. Sekarang baru 12 minggu, bohonglah kalau saya tidak digigit kebimbangan.

Betapa saya hambaNya yang naif kerana sangat lemah bilamana diuji dengan ujian kecil ini. Orang lain lebih besar cabarannya. Bukanlah saya mengada-ngada atau mengikut rentak sakit yang dialami tapi rasanya sebagai manusia sedikit sebanyak pastilah saya diusik dek rasa tidak ketentuan, bimbang, celaru dan entah apa2 kerana kesan alahan itu memberikan impak kepada prestasi saya sebagai hambaNya, isteri, ibu, pekerja dan lain-lain lagi.

Prestasi kerja saya agak menurun (tertangguh bilamana saya MC), malah keadaan meja saya juga tidak sekemas dulu. Ala kadar saja aturannya. Hal ehwal rumahtangga juga banyak yang diambilalih oleh suami, saya tak tau bagaimana nak mengucapkan terima kasih pada suami dan anak2. Aduhai... Sejak 2, 3 bulan ini pun saya tidak lagi pulang ke kampung walaupun itulah rutin wajib saya tiap2 bulan untuk menjenguk orang tua. Rasa bersalah yang amat sangat, tapi saya sangat tidak tahan untuk berjalan jauh2 dan tempat sesak. Namun saya tidak menghalang suami untuk pulang ke kampung semingu selepas hari raya. Kasihan pada orang tuanya. Dengan kawan2 pun dah lama sangat saya tak berkumpul, saya takut kalau2 tengah minum atau makan saya perlu ke tandas meluahkan yang tidak sepatutnya. Pastilah membantutkan selera. Dengan kepala yang sentiasa berpinar2 saya rasa biarlah saya kuarantinkan dulu diri saya...

Oh, terlalu banyak yang ingin saya catatkan di sini tetapi biarlah setakat ini dulu. Saya tak larat nak mengadap komputer lama2... saya sambung kemudian ye...