Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, December 16, 2016

Pada 20 Ogos lepas, ummi ajak abah bawa 4N naik LRT dan terus ke KLCC. Lama sangat dah tak bawa anak-anak berjalan sekitar KL, jejak KLCC pun masa kakak umur 2 tahun. Haa... lama dah kan.

Ini kali pertama buat Husna naik LRT, kakak yang lain dah pernah merasa. Tapi KLCC memang pertama kali buat adik, kakak Baby dan Baby. Memang teruja la kan...

Turun escalator daripada Sunway Putra Mall, kereta parking kat PWTC.

Tunggu LRT daripada Sentul, nanti turun kat Masjid Jamek
Masa turun di Masjid Jamek, baru tahu boleh guna satu tiket je, tak perlu beli tiket lain. Di situ dah nampak betapa lamanya tak naik LRT dan Putra kan, hihi... Stesen Masjid Jamek pun dah berubah sikit rupa bentuknya.

Masa ni masing-masing duduk elok je dalam LRT


Berebut nak duduk depan sekali, nak tengok terowong dalam Putra tu

Pameran LEGO di KLCC


4N tunggu air pancut depan KLCC

Ha, berguling-guling atas rumput kat taman KLCC tu. Acara bebas.

Ni tengah tunggu LRT balik di stesen Masjid Jamek.


Terima kasih banyak-banyak buat abah sebab sudi layan ummi dan 4N walaupun penat balik berkursus. Nanti kita pergi lagi ye...

Throwback Birthday Kakak dan Baby

Hari ni nak buat throwback gambar-gambar yang dah lama tersimpan dalam hard disk.

Sambutan hari lahir Baby pada Julai lalu meriah sikit sebab kebetulan Opah, Pak Yang dan Mak Lang datang rumah. Achik yang tolong susun belon tu. 

Belon tu beli kat Kaison, dalam satu paket tu ada 10 tapi banyak yang pecah. Mungkin sebab harganya agak murah berbanding belon yang Ummi pernah beli sebelum ni. Konon nak bentuk love, sudahnya penat tiup je. 

Sama-sama potong kek

Masa ni meriah sebab ada Mak Lang dan Opah sekali

Zara comot makan kek



Gambar yang bawah ni pulak masa birthday kakak yang ke-9, tapi disambut awal sikit masa abah nak pergi outstation ke Kuala Kangsar untuk pilihanraya kecil yang lepas. Mood kakak tiba-tiba ke laut, tak tau la kenapa. Si Baby paling excited...

Belon kakak ni beli kat Kaison jugak tapi mahal sikit harganya dan berwarna warni. Takde isu tiup dan pecah, hihi...

Gigih tau Ummi bangun awal pagi tiup belon, konon nak buat kejutan untuk kakak.


Semoga kamu berdua menjadi anak yang solehah, bermanfaat kepada masyarakat, negara dan dunia. Berjiwa besarlah anak-anakku sayang, sumbangkanlah sesuatu yang boleh membahagiakan orang lain...

Tuesday, August 30, 2016

Silenced 2011


Filem terbitan  CJ Entertainment ini sempat saya tonton semasa rehat semalam. Walaupun ianya telah lama disiarkan sejak 22 September 2011, baru 2 minggu inilah saya mengetahuinya melalui Facebook.

Jujurnya, filem ini telah menyentap rasa jiwa dan tubuh badan saya. Sarat dengan pengajaran kepada kita sebagai ibu bapa, rakan, anggota masyarakat, pihak berkuasa dan walau siapa pun kita kini. Cuma, nak pesan, elakkan menonton filem dengan kanak-kanak di bawah umur.

Kisah benar  daripada novel Dokani, penulis Kong Ji-Young pada 2009 ini telah diarah oleh Hwang Dong-Hyuk dengan berjayanya di samping lakonan mantap oleh Gong Yoo (cikgu Kang In-Hoo), Jung Yu-Mi (Yoo-Jin) dan barisan pelakon yang lain. Menurut bacaan saya, Gong Yoo telah membaca novel ini ketika mendapat latihan ketenteraan dan mengusulkan kepada Hwang Dong-Hyuk untuk difilemkan yang mana kemudiannya pengambaran dimulakan pada Februari 2011.

Sinopsisnya lebih kurang begini...

Seorang guru yang telah kematian isteri iaitu, Kang In-Hoo menjadi guru di sebuah sekolah kanak-kanak pekak dan bisu di daerah Mujin. Ketika dalam perjalanannya ke sana, keretanya telah mengalami kerosakan dan diperbaiki di sebuah bengkel. Di sinilah dia bertemu Yoo-Jin seorang pekerja Mujin Human Rights Center.

Semasa melapor diri dengan Pengetua di sekolah tersebut, dia juga bertemu dengan adik kembar Pengetua yang bertugas di bahagian Pentadbiran. 

Kisah sedih sekolah ini mula dibongkar apabila In-Hoo mendapati sesuatu yang agak pelik ketika mengajar seni di dalam kelasnya. Dia juga melihat seorang pelajar lelaki (Min-Soo) telah dibelasah oleh seorang guru lain hanya dengan alasan cuba melarikan diri daripada sekolah. Sewaktu pulang, dia terserempak dengan Yoo-Ri yang duduk di atas tingkap. Bimbangkan keselamatan kanak-kanak tersebut, In-Hoo berlari ke tingkat atas dan menyelamatkan Yoo-Ri. Namun, lebam dan ketakutan kanak-kanak tersebut meningalkan tanda tanya. Mungkin melihat akan keprihatinan guru baru ini, Yoo-Ri telah menunjukkan gurunya sebuah pintu sebelum melarikan diri.

Tatkala In-Hoo membuka pintu tersebut, dia mendapati seorang kanak-kanak perempuan iaitu Yeon-Doo sedang dibenamkan mukanya ke dalam mesin basuh oleh seorang guru wanita. Lalu, Yeon Doo diberikan rawatan di sebuah hospital setelah In-Hoo mendapati pelajar ini juga mengalami kecederaan. Sebelum itu, guru muda ini menghubungi Yoo-Jin untuk mendapatkan bantuan.

Di sinilah titik permulaan pelajar-pelajar ini mendedahkan rahsia mereka didera dan dijadikan mangsa nafsu Pengetua, adik kembar Pengetua dan beberapa guru lain. Pada masa yang sama In-Hoo juga mengalami dilema antara kerjayanya sebagai guru yang baru bermula atau rasa tanggungjawab terhadap pelajar-pelajar yang telah dianiaya. Kewangan In-Hoo yang tidak stabil juga agak menekan beliau di tambah dengan anak perempuan tunggalnya yang sakit.

Walaupun dia cuba dipengaruhi oleh Professor Kim dan beberapa orang berpengaruh, namun In-Hoo tetap mempertahankan pelajar-pelajarnya. Ada suatu ketika, ibunya sendiri datang ke mahkamah memarahi In-Hoo kerana lebih mementingkan pelajarnya daripada kehidupannya sendiri.

Realiti hidup, tidak semua pesalah akan menerima hukuman setimpal. Begitulah pesalah-pesalah di dalam filem ini. Betul, kita tidak berpuashati dengan akhir cerita yang agak berpihak kepada pesalah yang hanya menerima 6 bulan penjara, namun memang tidak mustahilkan ramai pesalah masih bebas begitu sahaja. Min-Soo juga akhirnya mati ketika membalas dendam tanpa mendapat apa-apa pembelaan yang lebih wajar. 

Hmmmm... rasa sentap itu masih membekas di jiwa ini...

Monday, June 6, 2016

Ramadhan Kareem 2016


http://hdwallpaperbackgrounds.net/ramadan-kareem-images/
Assalamua'laikum...

Selamat berpuasa kepada semua walau berada di mana jua...

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya malah sempat pula kita menikmati kemanisannya hingga ke hari yang terakhir.

Ramadhan, kuatkanlah semangat kami, cekalkan hati kami, tekadkan niat kami untuk meraikanmu sebaik mungkin.

Mohon ampun maaf atas segala salah silap yang sengaja atau tidak disengajakan.

Jumpa lagi.. 

Friday, April 8, 2016

Kitab-kitab dan Nabi yang menerimanya

NAMA-NAMA KITAB

Sebagai seorang Muslim, kita wajib beriman dengan kitab-kitab dan Nabi yang menerimanya. Nama-nama kitab tersebut ialah :

1. Taurat : Nabi Musa a'laihissalam
2. Zabur : Nabi Daud a'laihissalam
3. Injil : Nabi Isa a'laihissam
4. Al Quran : Nabi Muhammad s.a.w

Air mutlak

JENIS-JENIS AIR MUTLAK

Jenis-jenis air untuk bersuci ialah :

1. Air hujan
2. Air Laut
3. Air sungai
4. Air perigi
5. Air mata air
6. Air embun
7. Air salji

*Bolehkah air paip digunakan untuk berwudhuk?
Ya, boleh.

*Bolehkah berwudhuk dengan air batu?
Ya, boleh sekiranya air batu tidak bercampur dengan najis. 

Monday, April 4, 2016

Kakak masih tidak sihat


2 beradik ni dah besar, tengok sekarang dah pandai selfie dan wefie. Entah bila tak tahu la, bila belek telefon baru perasan ada gambar diorang.

Kami selalu ditanya tentang mereka berdua.

"Kembar ke?'

"Selang berapa tahun diorang ni?"

"Yang mana kakak, yang mana adik?"

Diorang ni tinggi lebih kurang sama, dah tu badan adik berisi sikit daripada kakak. Daripada segi kematangan pun adik nampak menyerlah daripada kakak sebab si adik ni sangat yakin walaupun adakalanya apa yang dia buat atau cakap tu salah. Sedangkan kakak lebih berhati-hati dalam banyak perkara.

Kakak sekarang ni tak sihat, daripada Rabu lepas. Cuma, demamnya dah kebah. Batuk masih ada dan kahaknya pun tidak hilang sepenuhnya. Rabu lepas kena Neb sebab malam sebelum tu nafasnya dah berbunyi.

"Kakak sakit apa sayang?" tanya Doktor Norasyikin
"Demam, batuk dan selesema. Semalam masa tidur batuk tak berhenti, jam 4 pagi baru dapat tidur. Nafsnya pun dah berbunyi," Ummi terangkan serba sedikit.
"Hmmm... kalau ikut rekod ni kakak memang setiap bulan ada masalah yang sama kan. Antibiotik pun kita baru je bagi last month," kata doktor sambil mengambil stetoskop untuk memeriksa kakak.

Hasilnya, kahak memang memenuhi ruang paru-paru kakak walau batuknya hanya heavy semalam. Dalam sekejap itu, kesihatannya boleh berpusing 360 darjah.

Bila kakak tak sihat memang kami akan risau lebih sebab paginya sihat belum tentu tengahari dia sihat. Bukan meminta tapi itulah realitinya. Sejak dia athma semula 2 tahun lepas, memang dia kerap MC. Ikut pemantauan kami, daripada awal 2015 hingga kini memang tiap-tiap bulan dia tak sihat kecuali November dan Disember lepas. Masa tu cuti sekolah, mungkin aktivitinya tidak sepenat ketika bersekolah.

Ummi selalu memerhati keadaan fizikalnya, ternyata dia tidak seperti adik beradik lain setakat ni. Kulitnya pun sedikit pucat. Daripada segi pemakanan dia lebih banyak berpantang daripada Ummi sendiri. Segala makanan yang boleh menyumbang athma memang tak dimakan terutamanya kekacang dan buah-buah sejuk. Kakak pun dah tahu apa yang dia boleh makan dan tidak. Vitamin C dan D memang diamalkan sebagai ikhtiar sampingan cuma ada la sekali sekala tu tertinggal. Air masak pun kami bekalkan, botol sekolah agama lain, botol sekolah kebangsaan lain. Tapi tu la namanya budak-budak, ada masa tak habis pun air tu.

Hari ni hari ke-6, hanya ubat demam yang sudah dihentikan. Ubat lain masih perlu diteruskan. Doktor Norasyikin suggest supaya kakak ambil inhaler tu setiap hari bermula minggu lepas sampai bulan depan. Doktor nak tengok kalau guna inhaler tu berapa jarak masa dia boleh bertahan daripada kena attack. Sepatutnya bila pakai Flixotide Evohaler tu dirinya lebih terlindung sebab fungsinya mencegah.

Sebenarnya tak lalu dah nak tengok ubat-ubat kakak ni. Sekarang ada la kurang sikit koleksi ubat tu sebab ekzemanya dah banyak sangat kurang berbanding masa dia kecik-kecik dulu. Sesekali Ummi terfikir, berapa banyak dah ubat yang masuk dalam badan kakak sejak dia kecik. Rawatan alternatif pun pernah kami cuba. 

Pernah kami cuba rawatan Sonotron di sebuah klinik di KL, tapi hasilnya tidak memberangsangkan. Masa tu dia baru setahun lebih rasanya dan kerap berkahak. Tak mengapalah, kami akan sentiasa usaha yang terbaik buat kakak. Jika ditenung, tentulah kakak lebih baik berbanding kanak-kanak lain yang menghidap pelbagai penyakiit kan. Didoakan semua kanak-kanak di dunia ni diberikan kesihatan terbaik.

Pernah juga Ummi ditanya, anak-anak Ummi diberikan susu badan tapi tak sihat juga.

Ya Allah, pedih mendengarnya. Dulu Ummi sendiri tertekan sebab selalunya budak yang diberi susu badan jarang sakit tapi anak-anak Ummi sebaliknya. Puas mencari jawapan sehinggalah satu hari Ummi tersedar bahawa semua tu ujian Allah. Yang penting kita usaha dan beri yang terbaik, selebihnya Allah yang menentukan. Sebagai seorang ibu, Ummi tidak akan berputus asa dan tidak menyalahkan susu badan atau apa-apa sahaja penyebab sakit anak-anak Ummi. 

Susu badan tu titisan emas bagi Ummi seperti mana Misi Titisan Emas tu masih Ummi teruskan hingga sekarang. Sihat atau tidak anak-anak Ummi, biarlah Allah yang tentukan dan harapnya diri ni tak jemu menggali ilmu Allah.

Kakak, walau apa pun yang kakak lalui... kamu tidak berseorangan! Semoga cepat sembuh sayang.

Masjid Sultan Idris Shah II, Slim River


Seingat Ummi, sudah 3, 4 kali juga kami singgah di Masjid Sultan Idris Shah II, Slim River ni. Kalau lalu jalan lama masjid ni memang senang nak cari sebab terletak di tepi jalan je.

Alhamdulillah, masjidnya bersih, cantik dan kemas. 

Gambar ni Ummi snap semalam masa tunggu abah solat, masa ni lampu dalam masjid dah tutup. Abah pun solat kat bahagian luar. Jemaah surau semua dah balik, tapi ada la 2, 3 orang kat luar masjid ni jugak. Mungkin orang luar yang tumpang solat.

Masa tiba giliran Ummi solat, memang 3 Nawal yang besar tu Ummi angkut sekali. Takut pun ada sebab lampu bahagian wanita memang dah ditutup. Siapa-siapa yang datang lewat kena pasang sendiri suis lampu yang ada kat tiang tempat wudhuk tu. Boleh solat kat sebelah tu je, tak perlu masuk dalam masjid sebab lantainya bersih serta kiri kanan ditutup. Lagi pun malam dah takde siapa kat situ. 

Alhamdulillah, memang selesa solat di sini. Tahniah buat AJK dan penduduk yang menjaga masjid ini dengan sebaiknya. Adalah sangat diharapkan pengunjung yang singgah pun menjaga kebersihan dan adab ketika berada di masjid ye. Semoga kebersihan masjid ini terjaga sampai bila-bila. 

Monday, March 28, 2016

Mangga sulung



Alhamdulillah, merasa sudah kami sekeluarga akan buah mangga sulung ni. Rasa macam baru je tanam, pokoknya pun kecik lagi kat laman. Tingginya pun lebih sikit je daripada ummi.

Manis buahnya, berebut pulak 4N aritu. Masa berputik, ada 3 biji tapi bila besar sikit tinggal 2 biji je. Sebiji tu jatuh ke tanah masa besar 2 jari. 

Hasil macam ni la yang membuatkan ummi tak jemu nak menamam lagi. Minat daripada kecik ni memang dah sebati dalam diri, tu bila beli rumah memang ummi cakap nak rumah yang ada tanah. Banyak manfaatnya kan.

#kebunbandar
#kebunbandarjomtanamsendiri
#hiasanlaman

#hiasanlaman Mac 2016


Haa... ini la bunga yang ummi tunjukkan sebelum ni. Tapi dalam gambar tak merah menyala pulak, ikut jenis handphone agaknya. Kalau canggih dan mahal tentulah superb gambarnya kan.

Sebenarnya ada 2 kuntum masa ummi ambik gambar ni. Rasa senyum sampai telinga dibuatnya. Alhamdulillah, semoga pokok-pokok yang ditanam terus mengeluarkan hasil walau terpaksa berjuang dalam cuaca yang panas sekarang ni.

#hiasanlaman #kebunbandar Februari 2016

Agak lama tak ummi tak update perihal kebun yang sejemput tu. Alhamdulillah, walau tak banyak yang ditanam tapi cukup merasa serba sedikit pun dah memadai.

Hanya orang yang suka berkebun tahu bagaimana sukanya hati bila apa yang kita tanam tu menunjukkan tumbesarannya. Dapat tengok  pucuk keluar daripada benih tu pun dah rasa macam nak melompat, suka sangat la katakan. Hahaha...

Benih kacang ni memang sangat senang tumbuh, tak sampai seminggu tunasnya dah muncul
Masa mula-mula ummi tanam benih kacang parang ni, ummi pun tak tahu namanya. Mak cuma bagi benih tapi dia sendiri pun tak tanam lagi. Ummi cuma ambik sebijik je benih, benam dalam tanah dan tak sampai seminggu dah keluar tunas. Tanam dalam pasu je pun dengan niat nak dililitkan pada pagar. Alhamdulillah semakin membesar. Gambar terbaru akan ummi update kemudian ye.

Sekarang buahnya dah besar, ada 2 tangkai manakala bunga yang lain masih berkembang sedikit demi sedikit. Teruja melihat pokok ni sebab inilah pertama kali kami sekeluarga melihat kacang parang.

Benih bunga ni diambil daripada rumah mertua tapi tak tahu namanya
Nama bunga ni ummi memang tak tahu namanya tapi warna merah menyala tu sangat menarik perhatian. Benih daripada bunganya yang kering tu ummi tabur je atas tanah dalam pasu. 

Masa ni putiknya baru keluar sikit, nak menunggu bunganya menguntum entah bila. 

Pokok bunga ni pun pemberian mertua, senang sangat tumbuh.
Pokoknya renek je, tapi kalau ditanam sebaris agak cantik dengan bunga kecil berwarna putih yang tak henti menguntum. Masa balik kampung aritu mak mertua memang dah siap semai dalam 2 plastik kecik, ala plastik yang bungkus makanan tu. Hehehe... 

Sebulan selepas menghiasi laman, abah pindahkan ke tanah. Alhamdulillah, sihat sampai hari ni.

Dia makin sibuk


Budak ni semakin sibuk, bertambah usia makanya makin ligat ke sana sini. Maklumlah, tender mengemas rumah memang kepunyaannya.

Tabahlah kakak-kakak, abah dan ummi menghadap kesibukannya. Kakak yang sulung nampaknya harus belajar merendahkan suara tatkala dia rajin mengemas rumah, hehehe...

Mengemaslah Baby, banyak perkara yang belum awak teroka lagi.

Thursday, February 25, 2016

Catatan 25 Februari 2016

Asslamu'alaikum...

Lama sungguh Ummi tak jenguh ke sini, Februari 2016 dah nak melabuhkan tirainya pun.

Banyak yang dah terperam sejak akhir tahu lalu, InsyaAllah ianya akan diupdate sedikit demi sedikit. Sekarang memang sibuk terutamanya urusan pejabat. Pertengahan Februari lepas, Ummi dah berpindah tingkat bukan majikan. Urusan mengemas bukanlah semudah yang dibayangkan, segala dokumen perlu disusun dengan tertib.

Minggu ni memang sangat letih walau baru Khamis. Sejak Ahad lepas anak yang sulung demam diikuti adiknya yang bongsu pada Selasa petang. Dah 2 kali terpaksa minum nescafe gara-gara taknak mengantuk masa buat kerja. Sebenarnya minuman berkafein ni sangat jarang Ummi ambil kecuali saat-saat genting macamni berlaku. Mana tahan mengantuk kalau saban malam terpaksa overtime menjaga anak yang tidak sihat. Siangnya nak menghadap urusan pejabat pulak.

Dugaan sebagai ibu bekerja begitulah... perit nak menghadap tapi demi kelangsungan hidup hati perlu belajar redha menerima semuanya.

Sehingga hari ni kakak masih MC, semalam je sempat dia bersekolah agama tapi balik kelas tu Teacher Midah cakap kakak dah tak bermaya. Tu dia tak bagi kakak ke sekolah kebangsaan. Petang lepas ambik anak-anak di pejabat terus bawa kakak ambil darah. Alhamdulillah darahnya ok cuma demam virus tetapi tidak perlu warded. Pertama kali kakak menangis ambil darah, kesian juga sebab memang nampak kali ni dia sangat tak bermaya.

Dalam kalut uruskan kakak, Ummi langsung tak teringat nak check baby sekali. Walhal suaranya dah mula serak. Bila malam memang dia akan merengek dan sepanjang itulah Ummi bertawaf dalam bilik. 

Apa pun Ummi mengharapkan anak-anak Ummi diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik. Semoga kalian membesar dengan baik sayang...

Ok, nanti jumpa lagi. Akan disambung kemudian....