Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, June 13, 2017

Masalah telinga

Sejak tahun lepas telinga ummi ni memang ada masalah dan pernah mendapatkan rawatan di Jabatan Otorinolaringologi, Hospital Sungai Buloh. Alhamdulillah ianya sembuh tapi awal tahun 2017, masalah yang sama berulang lagi.

Pada 29 September 2016, doktor di Klinik AN-Nisa' suruh rujuk ke hospital sebab 1/3 daripada dinding telinga tu pecah. Istilah yang digunakan oleh doktor tidak dapat ummi fahami, jadi ummi guna bahasa biasa sahaja.

3 hari sebelum tu ummi rasa telinga kanan macam 'penuh', umpama ada air. Tapi yang peliknya takkan sampai 3 hari. Masa tu pendengaran dah berkurang dan ummi sangat tak selesa. Memang tiada langsung rasa sakit. Alhamdulillah sebelah kiri normal.

4 Oktober 2016, ummi buat temujanji di Klinik Pakar tapi rupanya doktor suruh datang 12 Oktober pula. Sementara tu habiskan dulu ubat yang ada. Ini merupakan pengalaman pertama ummi berurusan di klinik pakar kerajaan. Orang memang ramai sampai rasa letih menunggu tapi kita kena sabar kalau nak dapatkan khidmat doktor pakar. Rasanya kalau di hospital swasta pun lebih kurang juga waktu menunggunya.

Masa 12 Oktober tu, doktor 'cuci' telinga kanan ni sebab memang dah ada infection dalam telinga. Proses 'cuci' tu sekejap je tapi terkejut jugak dibuatnya sebab bila kakitangan hospital (tak pasti samaada dia doktor atau pembantu perubatan) masukkan wayar kecil dan ada angin kuat yang sedut ke luar. Mungkin apa yang ummi rasa ni sedikit berbeza daripada istilah perubatan tapi ini berdasarkan apa yang ummi rasa masa prosedur tu dilakukan. Selepas selesai, ummi kena tunggu semula untuk jumpa pakar. Ubat lain telah diberikan oleh doktor dan temujanji berikutnya pada 19hb nanti. Tarikh seterusnya ialah 26 Oktober dan 9 November. Pemeriksaan dan beberapa prosedur lain telah dilakukan sehinggalah doktor mengesahkan telinga ummi benar-benar sihat pada temujanji yang terakhir tu.

Kemungkinan besar masalah telinga ummi ni berpunca daripada hembusan hingus yang kuat dan kerap (setiap hari). Tapi yang peliknya, masa rawatan berlangsung tak pulak selesema dan bersin jadi. Apa yang ummi pasti, dalam 2 tahun ni memang teruk masalah hidung ni. Sejuk selesema, panas pun selesema dan ada masanya dah tak pasti bila keadaan tertentu yang akan membuatkan ummi alahan. Kalau habuk memang teruklah bersinnya sampai bunyi bersin ni keluar daripada kerongkong. Selalunya orang bersin akan keluar bunyi daripada hidung tapi ni memang ummi tak dapat tahan bunyi daripada kerongkong tu. Malu nak cerita kat orang sebab ramai tak percaya tapi family terdekat tau perkara ni. 

Sepanjang mendapatkan rawatan di sini, kakitangan jabatan sangatlah baik dan profesional cuma waktu menunggu lama tu memang tak dapat dielakkan kerana ramai pesakit yang perlu mendapatkan rawatan. Khatam jugaklah ummi baca novel-novel lama, hihi..

Januari 2017, masalah telinga 'penuh' tu datang semula dan ummi terus ke klinik 3 hari kemudian. Doktor bagi ubat titis masa tu sebab di periksa katanya tahi telinga ummi lembik seperti 'wax'. Itu yang menutup saluran telinga ummi. Masa dengar tu macam nak gelak pun ada sebab dah 37 tahun hidup, inilah pertama kali jadi. Malu pun ada bila doktor kata camtu tapi memang pelik la kan sebab macammana tahi telinga boleh jadi begitu. Takde pulak air masuk telinga kalau nak kata sebab air.

Ubat tu ummi titiskan satu malam je, lepas tu telinga terus clear. Alhamdulillah, syukur sangat.

Tapi, langit tak selalu cerahkan? 1 Ramadhan tu ummi dah rasa lain macam kat telinga kanan ni, jadi ummi titiskan ubat yang ada tu. Bangun tidur keesokan harinya, macam tak ada perubahan pun tapi rasa makin 'penuh'. Sampailah hari keenam (1 Jun), ummi pergi Klinik AN-Nisa' untuk buat pemeriksaan. Doktor cakap tahi telinga ummi seperti 'wax' dan perlu teruskan ubat tu seperti sebelum ni. Tambahan ubat lain diberi iaitu Allersin-F dan Dextracin. 

7 Jun 2017, ummi pergi klinik semula sebab telinga dah start rasa sakit, sedikit berdenyut dan rasa seperti ada pergerakan air dalam saluran telinga 3 hari sebelum tu. Bila sujud, air tu akan turun dan telinga rasa seperti berat cuma ianya tak mengalir keluar. Pagi 7 Jun tu, masa ummi bangun tidur memang ada cecair mengalir dan baunya sedikit tak menyenangkan. Petang balik kerja, cecair tu dah melekat pada anak tudung pulak. Masa ni Doktor bagi antibiotik untuk jalan terakhir supaya dapat keringkan saluran telinga tu. Lepas 'check' doktor cakap dah ada luka, mungkin sebab saluran telinga lembab akibat ubat titis tu. 

Ummi minta surat rujukan ke hospital tapi doktor nasihatkan cuba antibiotik ni dulu, kalau tak berubah selepas 4 hari datang semula dan dia akan bagi surat rujukan. Jujurnya masa  tu ummi harap sangat dapat surat untuk ke klinik pakar sebab dah tak tahan menanggung rasa ' terkurung dalam diri sendiri'. Sejak telinga ni rasa 'penuh', emosi memamg tak berapa nak stabil. Pendengaran memang berkurang sampai ummi perlu perhati muka orang yang bercakap tu betul-betul supaya tak salah dengar.

Telinga pun start berdesing umpama siaran tv yang dah tamat tu. Lebih kurang camtu la bunyinya. Apa yang ummi cakap, apa yang dimakan dan segala gerak tulang rahang ni memang ummi dengar secara jelas daripada dalam. Malah sesekali dengar denyutan seperti denyuatan jantung tapi ummi tak pasti bunyi apa tu. Ummi betul-betul rasa duduk dalam diri sendiri. 

Petang atau malam ni ummi memang kena pergi semula ke klinik untuk check telinga kanan dan kiri. Sebelah kiri rasa maca dah 'penuh' juga tapi tak tau la ummi yang keliru atau memang betul 'penuh'. Tak tau nak rasa apa dah sebenarnya. Ujian ni sangat kecil berbanding orang lain tapi realitinya orang yang sudah lama menikmati nikmat hidup akan rasa down juga. 

Semoga semangat ummi tetap kuat dan cepatlah sembuh wahai kesihatanku. Ampunkan segala dosa-dosaku juga Ya Allah...  

Catatan 18 Ramadhan 1438H.

Hari ini 13 Jun 2017, sudah separuh tahun berlalu. Begitu cepat berlalu dengan pelbagai rencah dan rasa sepanjang melaluinya.

Sudah 18 hari umat Islam berpuasa dalam Ramadhan 1438H, maknanya 12 hari masih berbaki. Alhamdulillah kakak berpuasa penuh setakat ini, adik juga cemerlang puasanya kecuali 2 Jun (7 Ramadhan) puasanya hingga jam 2 petang sahaja. Masa tu ummi EL, Baby demam dan kami hanya di rumah. Godaan punyalah banyak berbanding duduk di taska. Merengek daripada tengahari cakap lapar dan dahaga, hihi...

Ramadhan kali ni dugaannya lebih sikit berbanding dulu, dengan anak-anak yang tidak sihat dan telinga ummi masih seperti tahun lepas. Hari ini pun Haseena masih demam tapi demam malam. Siang ok je, tapi bila malam naik panas. Mujur waktu pejabat ummi dan abah berakhir jam 4 petang, jadi boleh ambil awal. 

Jumaat lepas Achik ada di rumah tolong jagakan Haseena, jadi ummi kurang risau ketika bertugas semasa Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Anak-anak Yatim. Esok ada satu lagi majlis di pejabat, ummi tak tahu macam mana...

Pagi tadi gagahkan juga hantar Haseena ke tadika sebab dia nampak ceria tapi ummi dah pesan awal-awal pada Teacher Midah kalau naik demam lagi. Ubat dah siap bagi sebelum keluar rumah. Harap anak ummi cepat sihat dan sejujurnya ummi nak berehat.

Sejak Baby demam dan bersambung dengan Haseena, memang ummi tak lena tidur malam. Ditambah dengan telinga yang dah 'tertutup' sejak 1 Ramadhan, emosi tak tentu hala rasanya. Ubat titis dan makan dah habis tapi masih tak baik. Itu pun Doktor Sathis dah tambahkan ubat Dhasolone, Co-Amoxiclav dan Allerpid yang membuatkan ummi mengantuk dan lesu. Ubatnya boleh diambil semasa sahur dan berbuka jadi ummi teruskan puasa seperti biasa.

Balik ni ummi perlu ke klinik semula untuk check telinga. Hari tu doktor cakap kalau tak baik lagi memang kena refer Hospital Sungai Buloh semula. Oh telinga, cepatlah baik. Nak menangis rasanya tapi kena sabar, sabar dan sabar...

Ya Allah, berikanlah kesihatan yang terbaik kepadaku dan ahli keluarga yang lain. Engkau Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Tuesday, February 7, 2017

My Annoying Brother


Filem lakonan Jo Jung-suk, Do Kyung-soo dan Park Shin-hye ini diterbitkan oleh CJ Entertainment pada tahun 2016.

Namun, baru tahun ini ummi berkesempatan tengok. Jujurnya, kedua-dua pelakon lelaki ini ummi tak kenal pun tapi bila dengar lagu rasa macam nak tengok pulak. Jadi, memang tak menyesal la tengok filem ni sebab memang best!

Ceritanya agak ringkas tapi penuh pengajaran dan emosi ummi benar-benar terusik selepas Doo-shik (abang) dapat tahu yang dia berada di peringkat akhir terminal cancer. Doo-yong (adik) merupakan seorang atlet Judo tetapi hilang penglihatan ketika beraksi dalam satu pertandingan di peringkat antarabangsa.

Pada mulanya, si abang ni ambil kesempatan atas kekurangan adiknya untuk mendapatkan pelepasan daripada tahanan penjara. Mereka berdua kehilangan ibu bapa sejak remaja dan hubungan mereka juga tidak rapat. Tambahan pula si adik ni memang tak dapat menerima keadaannya sekarang, dalam erti kata lain dia menganggap hidupnya telah berakhir sungguhpun jurulatihnya (Park Shin-hye) selalu memberi kata semangat.

Apabila hubungan kedua beradik ini semakin pulih, abangnya pula dapat tahu tentang penyakit yang dihidapinya. Masa ni la, dia paksa adiknya kembali berlatih judo dan masuk ke peringkat antarabangsa supaya adiknya dapat berdikari setelah kematiannya nanti. Doo-shik sempat membuat ubahsuai rumah untuk memudahkan pergerakan adiknya nanti sebelum dia masuk hospital. *Scene yang ni dah start beremosi...

Akhirnya si adik dapat tahu juga tentang penyakit abangnya tapi masa tu dia dalam pertandingan judo di Rio 2016. Berbekalkan semangat dan mahu menghadiahkan medal emas, Doo-yong berjaya mengalahkan lawannya. 

Ummi tak tahu sempat atau tak mereka berjumpa sebab scene yang last tu tunjuk Doo-yong dah ada kat rumah dan mampu menguruskan hidupnya sendiri sambil dibantu oleh seorang jiran berdekatan.

Pengajaran yang ummi dapat :

1. Bila kita kekurangan sesuatu/ditimpa musibah, itu bukanlah penghujung hidup sebenarnya. Kena kuat semangat dan sabar.
2. Orang sekeliling perlu memberi sokongan tak berbelah bahagi buat ahli keluarga/mereka yang  dalam kesusahan.
3. Gunakan sebaik mungkin ruang dan peluang yang kita ada buat masa ini kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.
4. Ikatan kekeluargaan janganlah diputuskan walau apa jua ujian yang datang.