Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 2, 2014

Big Hero 6

Alhamdulillah.

Selesai sudah tugasan besar bagi tahun 2014. Diberikan cuti tambahan pada 1 Disember 2014 (Isnin) memberikan kenikmatan buat tubuh yang telah longlai. Alhamdulillah.

Ahad, 30 November 2014 tidak diisi dengan apa-apa aktiviti melainkan berehat, mengemas dan memasak seperti kebiasaan. Cuma semalam sahaja kami sekeluarga sempat menonton filem Big Hero 6 di MBO, Space U8. Tempat yang langsung tidak sibuk dengan aktiviti manusia memang menyenangkan langkah kami untuk mengawal 4 Nawal yang masing-masing punya keletah sendiri. Bantuan daripada Chik sangatlah dihargai kerana tanpa dia, huru hara juga keadaannya. Terima kasih tak terhingga Chik kerana berkorban menjaga 4 Nawal ini sepanjang kesibukan melanda.



Ok, berbalik kepad Big Hero 6 ini, ianya satu filem kanak-kanak yang agak menarik. Dengan badannya yang seperti belon berwarna putih itu sesekali membuatkan penonton ketawa dan sedih. 

Filem ini berkisar kepada hidup seorang remaja yang bernama Hiro. Kecerdikannya sama seperti Tadashi, abangnya yang merupakan pelajar kepada Prof. Calaghan. Pertandingan rekacipta anjuran tempat belajar abangnya telah membuka mata Hiro untuk memenangi pertandingan tersebut kerana itulah syarat memasuki universiti itu. Ciptaan mikrobotiknya telah menarik minat En. Krei tetapi Hiro enggan menjual rekaan itu dan di sinilah bermulanya teka teki yang akhirnya terjawab di akhir filem.

Kematian Tadashi kerana ingin menyelamatkan Prof. Calaghan benar-benar membuatkan Hiro hilang semangat hinggalah Baymax muncul merubah hidupnya. Baymax mrupakan robot ciptaan Tadashi yang berbentuk seperti belon dan hanya boleh dinyahaktifkan apabila penggunanya gembira dan berpuashati dengan perkhidmatan penjagaan kesihatannya. 

Mikrobotik yang dijumpai semula oleh Hiro setelah malam kejadian abangnya mati telah membawa kepada penyatuan Hiro, Baymax dan rakan-rakan Tadashi menentang kezaliman manusia bertopeng yang bermotifkan dendam.

Tatkala Baymax dan Hiro terpaksa berpisah kerana menyelamatkan Abigail, ianya benar-benar menyentuh perasaan. Hilang abang yang disayangi dan melepaskan Baymax yang banyak membantunya bukanlah satu perkara yang mudah untuk diterima oleh Hiro.

Saksikanlah kisah Big Hero ini sendiri kerana mungkin penilaian anda dan kami berbeza. Lain orang lain rasanya kan...

Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita dapat daripada filem ini, antaranya :

1. Hubungan adik-beradik tidak akan terputus walaupun telah meninggal dunia.
2. Persahabatan yang erat benar-benar memberikan impak positif kepada seseorang.
3. Putus asa, hampa, marah, dendam bukanlah sesuatu yang bagus buat manusia kecuali kita berjaya mengubahnya untuk menjadi positif dan merangsang kejayaan dalam hidup.
4. Hidup kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri yang berusaha untuk mengubahnya.




Wednesday, November 12, 2014

Kebetulan sama

Kebetulan.... kedudukan mereka bertiga sama je kan...

 Nawal Husna, 22 Julai 2014, 3.2kg

 Nawal Haseena, 9 April 2012, 3.45kg

Nawal Inshirah, 5 Januari 2010, 2.9kg

Dalam 3 gambar ni, muka Inshirah paling serius kan? Hehehe.... 
Gambar kakak je Ummi tak jumpa lagi. Kena godek lagi album2 lama ni nampaknya...

Bagus kalau dapat cetak ni. Tampal kat bilik pinky tu...

Wednesday, November 5, 2014

Ketul ais tiada sijil halal?

Awal minggu ini kita dikejutkan dengan pendedahan Sinar Harian bahawa ketul ais yang berada di pasaran kini tiada sijil halal.

Teperanjat bukan? Ketul ais yang diletakkan dalam air minuman kita selama ni tidak mempunyai sijil halal. Mengikut hasil carian Ummi di laman web halal.gov.my, hanya satu syarikat kiub ais sahaja yang mempunyai sijil halal iaitu :

KIUB AIS
BRAND : M-ICE (Riseline Industries Sdn. Bhd.)
TARIKH TAMAT SIJIL : 15 JULAI 2016

Kalau di rumah memang Ummi tak guna pun ketul ais yang dijual kat kedai tu tapi tak dinafikan sekali sekala bila minum atau makan diluar Ummi memesan air sejuk. Haaa... tak terkata dah ni. Sijil halal ni bukan sekadar nak tentukan sesuatu produk tu halal tapi ianya bersih dan datang daripada sumber yang tidak menjejaskan kesihatan.

Jadi, mari kita ambil langkah lebih berhati-hati ye....

Berikut merupakan artikel penuh Sinar Harian, 3 November 2014, tulisan Haslina Kamarudin.


SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Khamis lalu, sebuah kilang ais di Pulau Pinang diarah tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak mematuhi standard kesihatan yang ditetapkan.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sama ada sedar atau tidak, kebanyakan syarikat pengeluar  ais batu kiub tidak mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sijil halal bukan hanya untuk menentukan sama ada makanan atau minuman mengandungi bahan yang dilarang dalam Islam tetapi ia juga untuk mengukur tahap kebersihan sesuatu makanan.

Ini termasuk status air yang digunakan, dari sumber mana ia diambil dan sama ada air tersebut diproses terlebih dahulu?

Sudah pasti, sijil halal adalah senjata utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti penggunaan air kotor yang boleh mengundang pelbagai penyakit.

Oleh itu, Perbadanan Bioteknologi Melaka (Melaka Biotech) menyarankan supaya semua syarikat pengeluar ais memohon sijil halal bagi melenyapkan keraguan pengguna mengenai isu ais kiub yang tidak bersih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Badrudin berkata, perniagaan pembuatan ais kiub perlu mendapatkan sijil halal dan tahap keselamatan serta kebersihan air yang digunakan bagi membuat ais perlu diuji.

"Menerusi seminar-seminar yang kita adakan sebelum ini, ramai yang mahu tahu apakah status ais  kiub ini? Ini kerana konsep makanan halal turut merangkumi kebersihan dan keselamatan sesuatu makanan dan tidak terhad kepada jenis bahan atau haiwan.

“Penguat kuasa daripada Kementerian Kesihatan seharusnya membuat pemantauan terhadap pengilang-pengilang ini dengan menjalankan ujian ke atas sumber air mahupun ais yang sudah siap,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, di Malaysia, hanya ada dua syarikat ais kiub yang memiliki sijil halal.

"Ini berdasarkan semakan yang kami buat di laman web Jakim, dan lebih mengejutkan, syarikat pengeluar ais kiub yang popular tidak ada dalam senarai tersebut.


"Syarikat ais turut bertanggungjawab memastikan proses pembuatan produk mereka bebas daripada unsur meragukan. Pengguna terutamanya yang beragama Islam sudah peka dengan barangan yang terdapat di pasaran dan mereka inginkan jawapan jika status produk itu meragukan,” katanya.

Badrul Hisham berkata, air juga antara faktor pelbagai penyakit boleh merebak.

"Walaupun isu ini dilihat remeh, tetapi ia melibatkan keseluruhan pengguna dan peniaga," katanya.

Menurutnya, harga jualan ais kiub  yang begitu murah menjadi faktor ramai peniaga tidak menghasilkan ais kiub  sendiri.

"Melaka Biotech sedia menjadi orang tengah bagi menguji sampel kiub ais jika diyakini tidak dibuat menggunakan air bersih.

"Kita tidak mahu masyarakat di negara ini menghidapi penyakit yang berpunca daripada penggunaan air kotor," katanya.

Tuesday, November 4, 2014

Kata-kata hikmah 1



Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin 
dan nafsunya sebagai tawanan. 

Rugilah orang yang menjadikan nafsunya 
sebagai pemimpin 
dan akalnya sebagai tawanan.

Semanis Kurma, TV9, 2014


Monday, October 27, 2014

Nawal Husna Binti Zailan


Alhamdulillah.

Terima kasih Ya Allah dengan nikmat kurniaanMu, Engkau telah pun mengizinkan puteriku Nawal Husna Binti Zailan hadir ke dunia ini pada 22 Julai yang lalu.  

Lama sungguh Ummi memerap gambar Husna untuk dimasukkan ke dalam catatan ni. Hari ini usianya sudahpun 98 hari dengan berat 5.5kg. Alhamdulillah. 

Lahir pada jam 8.05 pagi di Hospital Pusrawi, Kota Damansara dengan berat menyamai kakak Ashiqin iaitu 3.2kg. 10 hari sebelum kelahirannya Ummi telah mengalami tanda-tanda kecil iaitu selepas Subuh, 12 Julai dengan keluarnya cecair jernih. Maka pada hari itu, Ummi tidak berpuasa kerana sangkaan lahirnya Husna tentulah dalam tempoh 24 jam. Selepas menjamah sedikit makanan pagi itu, Ummi dan Abah bergegas ke hospital. Kakak Nawal yang lain ditinggalkan dengan Achik kat rumah je.  

Bila sampai di hospital, jururawat bertugas pun memeriksa Ummi. Namun, tidak ada tanda Husna akan lahir dalam masa yang terdekat kerana kedudukannya masih tinggi walaupun bukaan sudahpun 3cm. Kontraksi pun langsung takde. Masa ni cuak juga sebab takut jadi macam masa nak lahirkan Inshirah. Dah dibagi induce pun masih tak sakit sehinggalah induce kedua dalam sejam sebelum kelahirannya barulah Ummi benar-benar sakit. 

Habis je diperiksa, Ummi disuruh balik dan bila dah sakit baru datang semula ke hospital. Sejujurnya Ummi dan Abah terkejut sebab dalam pengetahuan kami, bila air ketuban dah pecah, bayi mesti dilahirkan dalam tempoh 24 jam. 

Walaupun dah balik ke rumah, Ummi dan Abah masih mencari jawapan kenapa di suruh balik. Kebetulan doktor yang sepatutnya merawat Ummi sedang mengerjakan Umrah. Jadi, dengan tawakkal Ummi cuma ber'whatssup' bertanyakan soalan seringkas mungkin kerana takut mengganggu ibadah doktor tu pulak. Alhamdulillah, doktor tu sangatlah baik dan prihatin. Setiap kemusykilan dijawab dengan sebaik mungkin malah menyarankan supaya kami pergi ke hospital semula untuk membuat pemeriksaan lanjut. 

Malam tu memang Abah dan Ummi ke hospital semula untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tidurlah kami semalam di Pusrawi tetapi air ketuban yang keluar pada Subuh tu memang langsung tak keluar sikit pun. Pada jam lebih kurang 6.30 pagi, setelah diperiksa oleh seorang doktor lain yang bertugas, memang ternyata tidak ada tanda untuk Ummi melahirkan Husna masa tu. Ianya dipanggil 'discaj' iaitu keputihan yang keluar tetapi ianya sangat cair (ejaan untuk discaj tu Ummi tak pasti betul ke tak). Masa ni memang Ummi tension betul sebab Ummi pasti yang keluar pada Subuh semalam tu adalah air ketuban sebab memang ianya langsung tak berbau malah kain yang Ummi pakai sengaja tak dibasuh sebab itu je caranya untuk memastikan bukan air kencing yang keluar. Ye la, Ummi pun takut jugak kalau air yang keluar pagi tu bukan air ketuban kan. Doktor bagi MC seminggu kat Ummi supaya duduk di rumah dan tunggu masa kelahiran.

Selepas keluar hospital pagi tu, Ummi sengaja mengajak Abah shopping baju raya kakak-kakak Nawal. Ummi nak cepat dan mudah bersalin walaupun hakikatnya tak larat langsung nak berjalan. Ummi tekad untuk paksa diri berjalan. Memang masa kat Subang Prade tu keluar lendir yang berwarna coklat. Tapi sebab tak sakit langsung jadi takde la kami terus balik ke rumah.

Sepanjang minggu tu memang Ummi berada di rumah dengan ditemani nenek. Achik dah balik ke kampus sebab dia nak exam. Kesian kat nenek sebab biasanya nak dekat raya dia sibuk buat kek dan beberapa kuih lain untuk sambutan hari raya puasa tapi kali ni dia tak buat apa-apa pun. Kat rumah kita takde micraowave pulak tu.

Sabtu, 19 Julai tu Ummi ada checkup sekali lagi dengan Pusrawi. Masa tu doktor bagitau paling lewat bersalin pun pada 7 Ogos. Sekali lagi Ummi dapat MC untuk sepanjang minggu hadapannya.

Selepas checkup tu Ummi memang menghitung hari je nak lahirkan Husna, tak sabar nak tengok baby yang duduk goncang perut Ummi hari-hari tu. Hehehe.... akhirnya pada 21 Julai sebelah malamnya Ummi memang ada rasa sakit kat ari-ari, rasa macam tulang tu dibuka (tak tau nak describe camne tapi lebih kurang macam tu la rasanya). Sakitnya taklah sampai buat Ummi terbaring. Ummi masih mengemas dan melakukan kerja rumah lain macam biasa cuma memang tak boleh tidur. Masa pukul 3 pagi, 22 Julai tu Ummi masih sempat masak nasi dan panaskan lauk untuk bersahur. Masa kejutkan Abah, Ummi terus bagitau mungkin dah sampai masanya Husna nak lahir. Sempatlah Subuh tu berjemaah walaupun sakitnya dah mula terasa kurang lima minit sekali. Ummi gagahkan juga untuk bertahan sekuat mungkin. Alhamdulillah Ummi dapat melaluinya dengan tenang, malah bersyukur sangat sebab sakit tak lama.

Sampai di Pusrawi lebih kurang 6.40 pagi, Ummi terus masuk labour room. Hasil pemeriksaan jururawat bertugas bukaan dah pun 8cm cuma kedudukan Husna tinggi sikit, sebab tu la Ummi takde rasa nak push (keadaan yang sama masa nak lahirkan Haseena). Masa ni doktor memang dah ada dan pukul 8 pagi tu dia ada pembedahan untuk seorang ibu lain yang nak bersalin, kalau tak silap pelakon Dunia Baru, Anita Baharom.

Dek kerana Ummi masih tak rasa untuk push akhirnya jururawat menyuruh Ummi baring ke kiri supaya Husna cepat turun dan nanti akan ada rasa nak push. Memang tak sampai 5 minit pun buat camtu Ummi terus tak tahan nak push, jururawat suruh menelentang balik pun memang dah larat langsung nak gerakkan kaki dan badan. Masa ni rasa sakit yang teramat sangat sampai Ummi cakap sakit kat Abah sambil peluk kuat-kuat. Bila Ummi ditelentangkan, Husna terus je laju keluar. Rasa macam sekelip mata je, tiba-tiba dengar dia nangis. Alhamdulillah. 

Syukur teramat sangat dengan pengalaman bersalin yang ke empat ni. Harap-harap anak Ummi menjadi anak yang baik serta solehah.

Sehingga ini, cukuplah dengan apa yang Ummi tuliskan. Nanti Ummi cerita lagi ye. Jumpa lagi Insya-Allahh.

Thursday, October 2, 2014

Frozen

Tahun lalu cerita Frozen keluaran Walt Disney Animation Studios sangatlah popular bagi kanak-kanak dan orang dewasa. Sampai hari ni pun, entah berapa kali 3 beradik kat rumah ni menontonnya.


Baik daripada segi animasinya dan juga susunan muzik, Ummi sendiri pun suka. Elsa yang cantik, Anna yang sedikit gedik, Kristof yang handsome dan Olaf yang comel. Oh, sempurna ok hasil arahan Chris Buck dan Jennifer Lee ni. Antara mereka yang telah menyumbangkan suara dalam filem ini ialah Idina Menzel (Elsa), Kristen Bell (Anna), Josh Gad (Olaf), Jonathan Groff (Kristoff) dan Alan Tudyk (Duke of Weselton).

Kristen Bell
Idina Menzel
Jonathan Groff

Masa nak dekat raya hari tu Abah sempat lagi belikan baju Frozen untuk anak-anak perempuannya. Kali ni Abah belikan baju warna purple pula, asyik pink je kan. Kalau diikutkan kehendak anak-anak ni, semua benda nak ada gambar Frozen. Oh ya, kek hari jadi kakak pun gambar Frozen. Nanti bila Ummi jumpa gambar tu, Ummi akan upload kemudian ya, InsyaAllah.


Bagi Ummi, cerita ni banyak pengajarannya yang boleh kita perolehi. Antaranya ialah :

1. Jangan terlalu mengekang anak-anak sampai ketakutan menjadi sebahagian masalah besar dalam hidup mereka. Bukan tak ada rasa takut langsung tapi ada keadaan tertentu ketakutan tu boleh membuatkan kita menjadi tidak yakin pada diri sendiri.
2. Hubungan kekeluargaan yang tidak akan terputus walau apa yang terjadi. Lihat sendiri bagaimana rasa cinta dan kasih sayang sesama adik beradik akhirnya berjaya mengharungi cabaran bersama.
3. Jangan terlalu cepat mempercayai orang yang baru kita kenal.

Semoga anak-anak Abah dan Ummi tidak menonton Frozen dengan nilai kosong sahaja. Banyak pengajaran yang boleh diambil. 

Tuesday, September 30, 2014

Gambar lama


Assalamua'laikum.... apa khabar ya?

Alhamdulillah, sekian lama menyepi hari ini Ummi kembali. Banyak nak tulis ni tapi satu persatu la ya... petang ni saja nak post gambar beberapa minggu selepas berumahtangga. Godek-godek pc, jumpa gambar ni, zaman kurus... hehehe... 

Ok, jumpa lagi nanti.

Thursday, July 10, 2014

Rumah Inshirah


Ini salah satu daripada hasil kerja tangan Inshirah di Little Caliph. Katanya, ini rumah dia yang ada macam-macam kat dalamnya. Tinggi betul imaginasi, hehehe...

Alhamdulillah, walaupun dia baru berusia 4 tahun tapi dah boleh baca sikit-sikit. Tak pe la, Ummi pun tak pernah push supaya dia tahu semua sekarang ni. Biarlah dia belajar sambil bermain ikut peringkat umurnya. Ummi taknak anak-anak Ummi stress.

Terima kasih banyak-banyak pada Teacher Azura dan guru-guru di Little Caliph :)

Wednesday, July 9, 2014

Haseena tak sihat lagi..


Pagi tadi kami ke Klinik An Nisa', bawa si manja Haseena berjumpa doktor. Batuknya sudah berkahak walaupun selesemanya nampak berkurangan. 

Sebagai ibu bapa, tentulah kita risau dengan kesihatan anak-anak. Tambahan pula keadaan cuaca yang panas dan berjerebu. Harap-harap ianya tidak berlarutan kerana sejak akhir-akhir ni setiap bulan dia tak sihat. Baru bulan lepas keluar wad akibat 'viral fever', tak sampai sebulan tak sihat semula. Ahad lepas dia demam tapi syukur suhunya tidak setinggi seperti sebelum ni. Mujur juga Selasa tu demamnya dah ok. 

Doktor Norasikin memberikan pendapat kepada Ummi dan abah untuk mengambil vaksin Infulenza supaya dapat melindungi Haseena (dengan izin Allah jua). Vaksin yang perlu diambil setiap tahun ni elok untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. 

Tadi, Haseena diberikan nebulizer berikutan daripada kahak di paru-parunya. Antibiotik tidak diberikan kerana ia berkemungkinan sisa-sisa daripada 'viral fever' yang lepas. Jummat ni kalau dia belum sembuh baru doktor bagi antibiotik. Lagipun doktor taknak dedahkan Haseena dengan kekerapan antibiotik, takut badannya imun pula. Itupun bulan lepas antibiotik kumpulan kedua dah diberikan.

Ummi dan abah doakan supaya anak-anak Ummi diberikan kesihatan yang baik sentiasa. 

Pokok cili


Ini gambar pokok cili yang Ummi tanam dirumah. Alhamdulillah, tu buah sulongnya :) Sekarang ni dah 2, 3 kali juga petik hasilnya. Gembira sangat sebab berjaya akhirnya menanam sendiri pokok cili.

Ummi tanam dalam pasu je, kalau tak salah ada 6 pokok semuanya. Boleh la lepas makan kami lima beranak. Ada beberapa jenis tanaman lagi yang ada kat rumah tu tapi tak sempat pun nak snap gambar. 

Ok la, selamat berbudi kepada tanah... hasil tanaman lain akan menyusul InsyaAllah :)

Tuesday, July 8, 2014

Getah pemadam

Getah pemadam? 

Alkisahnya... ini berkaitan cerita kakak dengan alat tulis sekolahnya. Bukan isu besar pun tapi bagi Ummi daripada sekecik-kecik perkara kenalah diberitahu dan diingatkan.

Walaupun kakak baru berusia 7 tahun, Ummi mahu anak Ummi ni jadi seorang yang bertanggungjawab dalam menjaga segala barang-barang miliknya. Selalu diingatkan kepada kakak dan adik supaya mempunyai rasa sayang terhadap barang-barang kepunyaan sendiri samaada ianya dibeli atau dihadiahkan. 

Sungguhpun ianya sekecil getah pemadam tapi Ummi sangat tak suka bila alat-alat tulis tak lengkap sebab ia akan menyusahkan kakak bila nak buat kerja sekolah atau apa-apa latihan. Macam semalam, entah ke mana hilangnya getah pemadam kakak. Bila ditanya, entah pula jawapannya. Ohh, sikit sebannyak teremosi jugak Ummi sebab kakak macam tak kisah je.

Bila buat kesalahan dalam soalan matematik semalam kan dah payah kakak nak betulkan balik. Baki getah pemadam yang Ummi belikan dulu pun entah ke mana. Ramai sangat budak sekolah dalam rumah ni agaknya. Punya lama mencari sampai tak jumpa, sudahnya kakak masuk tidur dulu.

Bila kakak, adik dan Seena dah lelap Ummi turun semula ke bawah mencari getah pemadam. Tak mau lelap mata ni bila memikirkan bila esok ke sekolah, susah kakak nak belajar. Akhirnya, Ummi jumpa pemadam tu walaupun ianya dah separuh. Ah, janji esok alat tulis kakak lengkap dan kalau ada masa pagi esok boleh dibetulkan semula kesalahan jawapan matematik tu. Ummi bukannya tak boleh betulkan kesalahan tu tapi rasanya tak wajar dan tak nak dibiasakan. Biarlah kakak belajar daripada kesilapan sungguhpun ianya bukan sesuatu yang besar pun.

Menjelang pagi, abah suruh kakak betulkan semula jawapan matematik tu. Ya, seperti Ummi fikirkan semalam. Ketika kakak membuat pembetulan, Ummi ingatkan semula supaya sayangkan barang-barang miliknya. Kalau sebelum ni mungkin Ummi tak tegas tapi mulai hari ni kakak akan didenda kalau alat tulisnya hilang lagi. Kakak tak rasa tau macam Ummi sekolah dulu, nak beli pemadam pun berkira sebab terlalu susahnya kehidupan Ummi walhal berapa sen sangat pemadam tu.

Anak-anak Ummi... rasa perit yang Ummi lalui membuatkan hati ni tak boleh tengok anak-anak mahupun orang lain susah. Cukuplah Ummi rasa kepayahannya. Tapi bukanlah bermakna anak-anak Ummi tak diajar dengan kepayahan sebab bila kita susah nak dapatkan sesuatu barulah kita tahu menghargainya.

Dulu, nak beli ubat gigi dan berus gigi pun susah apalagi nak jumpa doktor gigi. Harapkan doktor yang datang masa sekolah rendah je la. Itu yang bila dah ada anak sendiri Ummi ajar daripada kecik gosok gigi dan jumpa doktor gigi juga..... ohhh... ni melalut ke topik lain pulak ni, bukan pasal getah pemadam lagi.

Ummi sayang kakak, adik, Seena dan abah... Maafkan Ummi bila mana semalam dan pagi tadi teremosi pulak...

Monday, July 7, 2014

Ramadhan ke 9

Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmatMu Ya Allah. Hari ni sudah 9 hari di bulan Ramadhan.

Alhamdulillah juga kerana Ummi masih dapat berpuasa walaupun tertinggal 1 hari akibat muntah dan tekak yang sangat loya seperti waktu mabuk dulu. Tak tahu la macammana pagi Ramadhan yang ke 5 boleh jadi macamtu. Sekarang pun kahak pun macam ada balik. Dah nak dekat bersalin, alahan muncul kembali. Dugaan sungguh.

Walaupun penat tapi syukur sebab kami sekeluarga masih dapat masak sendiri dalam menyediakan juadah berbuka kecuali hari pertama dulu dan semalam. Tidaklah beria masaknya, cukup untuk makan anak beranak je. Setakat ni antara menu yang dimasak adalah gulai ayam, ikan cencaru kicap berempah daun kari, kari ayam, tomyam campur, ayam kicap berempah, ayam bakar, udang goreng kunyit, ayam halia.... eh, macam banyak makan ayam je kan. Hehehe... memang ayam adalah masakan utama kat rumah ni. Lauk lain anak-anak tak berapa suka. Kalau masak pun, Ummi dan Abah yang habiskan :)

Tahun ni kami berpuasa dan beraya di sini je, tidak ke mana-mana. Maklumlah Ummi tengah tunggu hari nak bersalin. Cuma semalam je kami berbuka di rumah kakak En. Suami, dapatlah berkumpul adik beradik. Bila kenangkan semula, sedih juga tapi nak buat macammana. Dah 34 tahun, inilah pertama kali Ummi tak buka puasa dan beraya di kampung halaman. Oh, Ummi sangat rindukan lemang emak. Rasa nak nangis tau bila tak dapat jamah lemang mak yang bagi Ummi paling sedap di dunia. Hehehe... terlebih emo pulak walhal bole aje makan lemang lepas abih berpantang nanti... Betullah kata orang, masakan emaklah yang paling sedap di dunia. Rahsia terhebat mereka ialah masakan yang penuh dengan kasih sayang. Itulah pengikatnya.

Kalau di sebelah En. Suami saya paling suka masakan ungkepnya. Itu yang petang ni rasa macam nak masak ayam ungkep je. Tapi tak tau la ape rasanya. 

Ohhh.... cukup la cakap pasal masak-masak ni kan. Nanti kita jumpa lagi... 

Wednesday, July 2, 2014

Hari keempat puasa

Alhamdulillah... hari ni hari keempat umat Islam berpuasa. 

Alhamdulillah juga, Ummi masih berpuasa hingga saat ini. Rasanya Ramadhan kali ini Ummi lebih kuat berbanding sebelumnya walaupun sudah berada dalam trimester akhir. Masa mengandungkan kakak-kakaknya dulu, memang tengah mabuk. Melepek la juga yang akhirnya ada beberapa hari tak dapat berpuasa.

Juadah puasa pun masih boleh Ummi masak sendiri kecuali hari pertama je beli lauk di bazar dek kerana kami diduga dengan kerosakan kereta di Negeri Sembilan. Terima kasih banyak-banyak pada En. Suami yang rajin membantu isterinya yang selalu aje mengah walaupun cuma berjalan daripada depan ke dapur. Maam la besar sangat rumahnya, hehehe...

Semalam cadangnya nak masak nasi minyak tapi lain pula menu yang dimasak. Hari ni nak masak tomyam, mungkin sesuai dengan tekak En. Suami dan kakak yang demam. Nak masak sup macam tak lalu dah sebab baru sangat masak sup. Lagipun tomyam memang kegemaran kakak. 

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya. Moga Ramadhan akan datang juga sempat dinikmati. Ramadhan bulan penuh barakah. 

Monday, May 19, 2014

Kami


Kami sama-sama dah kembang setaman sekarang ni, hehehe... Moga jodoh dan cinta kami hingga ke akhir hayat.

Buat dia yang terpahat di hati... sungguh saya bukan seorang wanita yang tiap harinya melafazkan kata sayang dan cinta tetapi itu tidak beerti hati saya kosong tidak berbunga. Saya juga tidaklah secantik dan sesempurna mana kalau nak dibandingkan dengan orang lain tapi saya berazam setiap hari untuk terus melakukan yang terbaik untuk keluarga kita. 

Masakan saya tidak sesedap mana, malah mungkin tidak menepati citarasa awak pun. Ada masanya saya tidak mampu pun menguruskan anak-anak dan rumah dengan baik. Buat yang ini, tertinggal yang lain pula. Adakalanya juga emosi saya turun dan naik. Dalam erti kata mudah, serba serbi saya tidak sempurna dan mungkin tidak menepati piawaian awak pun. 

Sungguh... kalaulah saya ada kuasa magis, saya mahu memberikan yang sempurna dan terbaik saja untuk awak dan anak-anak. Biar tidak ada cacat celanya.

Saya mohon ampun maaf atas segala salah silap samaada yang sengaja atau tidak. Saya cintakan awak sehingga ke Jannah, InsyaAllah. 

Solat Berjemaah

Solat merupakan Rukun Islam yang kedua selepas daripada mengucap kalimah syahadah. Nyata ianya kewajipan yang sangat dituntut untuk dipenuhi walau apa jua keadaannya melainkan terdapat beberapa sebab yang mengecualikan seseorang itu daripada mengerjakannya, antaranya ialahperempuan yang didatangi haidh atau nifas dan gila.

Ketika seseorang itu berada dalam perang pun kewajipan untuk mendirikan solat tidak dikecualikan. Malah Allah SWT telah berfirman dengan maksud :

Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

Namun solat berjemaah ini sering dipandang remah atau ringan malah ada yang berpendapat solat Jumaat dan solat sunat Hari raya sudah mencukupi asalkan ianya tetap dilaksana 5 kali sehari. Ramai juga yang tahu akan kelebihan berjemaah tetapi ianya tetap tidak mendapat sambutan dan galakkan. Sabda Baginda SAW di dalam riwayat al Bukhari menyebut :

Solat berjemaah itu lebih afdal daripada solat berseorangan dengan kelebihan 27 darjat.

Jika kita benar-benar menyoroti hidup Baginda yang sangat mementingkan solah jemaah, adalah didapati bahawa beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sejak Baginda berhijrah ke Madinah sehinggalah baginda wafat. Semasa Baginda dan sahabat berada di Mekah, kaum Quraisy sentiasa memberi tekanan sehingga mereka terpaksa solat secara bersendirian.

Malah, kelebihan solat berjemaah ini turut dibuktikan dengan kaedah saintifik di mana apabila bahu antara jemaah mampu menyeimbangkan cas elektrik (positif dan negatif) tubuh seseorang yang akhirnya akan memberikan kesegaran dan tenaga. Hasil kajian John Herbert, seorang pakar sains fizik di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat ini mendapati bahawa tenaga yang telah manusia gunakan dalam aktiviti seharian boleh diseimbangkan semula ketika mendirikan solat secara berjemaah.

Setelah kita mengetahui begitu banyak dan hebatnya solat berjemaah ini, mengapa kita masih leka untuk merebut peluangnya? Apakah keselesaan hidup di dunia telah menyebabkan kita lalai daripada mengejarnya?

Jika kita individu yang masih belum berkahwin, apalah sangat alasannya untuk berjemaah tak kira di rumah atau di masjid. Manakala bagi yang telah berumahtangga, cubalah mengatur masa yang terbaik untuk berjemaah bersama keluarga. Sebenarnya tiada alasan melainkan hanya kita yang kerap memberikan alasan! Ketua keluarga mestilah memainkan peranan yang penting untuk mengajak ahli keluarga menjadikan solat berjemaah ini sebagai amalan tetap dalam hidup seharian. Sesekali tak salah juga rasanya kita saling 'memeriksa' bacaan dalam solat supaya kualiti bacaan dapat dipertingkatkan. Wallahhua'lam.

Rujukan :

1. Utusan Malaysia, 23 November 2011
2. iluvislam.com, 2 Februari 2014

Thursday, May 15, 2014

Sudah 30 minggu

Alhamdulillah. 

Sekarang Ummi dah 30 minggu mengandungkan si kecil ni. Lagi beberapa minggu je kan dia akan lahir ke dunia... macam tak sangka pula... InsyaAllah esok pagi ada pemeriksaan bulanan di Pusrawi Kota Damansara seperti bulan-bulan sebelum ini.

Ehsan daripada babycenter.com
Kalau mengikut perkembangan yang tertulis dalam babycenter.com, paru-paru dan salur penghadaman bayi sudah hampir matang sepenuhnya. Beratnya juga kian bertambah, manakala ukuran panjang bayi juga adalah kira-kira 40cm. Bayi juga dah pandai membezakan suasana cerah atau gelap malah sudah boleh mencari punca arah cahaya. Saat ni, bolehlah kalau nak cuba bermain lampu suluh dengannya.

Semenjak 3 minggu lepas Ummi juga dah susah nak tidur malam. Kalau tidur, tengah malam nanti berjaga sampai ke Subuh hari. Mula-mula dulu Ummi tetap baring sambil terkedip-kedip mengharap agar dapat tidur semula. Tapi bila mata langsung tak mengantuk sudahnya Ummi bangun juga buat apa yang perlu. Haa... lepas tu dalam kereta tidur tak ingat la. Sampai pejabat baru tersedar, kesian En. Suami takde kawan sembang dalam kereta.

Sesuatu yang Ummi perasan (daripada anak pertama hingga yang keempat ni), bila masuk trimester ketiga semangat dan kerajinan mencanak-canak naik. Agaknya badan dah sihat, alahan pun dah kurang, maka segala yang tertangguh selama berbulan-bulan lamanya menuntut untuk diselesaikan. Ada je yang nak dibuat... berkebun, mencuba resepi baru dalam masakan, menjahit, mengemas rumah dan sebagainya.

Bila leka buat kerja tak ingat sakit dan letih, tapi bila sekali duduk atau baring.... haaa, sakit kat pinggang sampai ke punggung ni sangat la azab rasanya. Sekarang pun bila ada daya je Ummi solat macam biasa, kalau sakit tu terasa terpaksa la solat duduk. Tapak kaki pun dah terasa sakitnya, mungkin badan dah terlebih berat kan. Duduk dalam kereta lama-lama pun payahnya nak bangun keluar. Eh, jauh ke daripada Subang ke KL? Sebelum ni rasa biasa je tapi sejak mengandung terasa jauh pulak. Masa dalam kereta pun tak boleh duduk statik macam dulu, nak kena ubah posisi selalu sebab dah terasa tak selesa.

Bila makin dekat hari nak melahirkan, makin berdebar pulak rasanya. Harap-harap sakit tak lama macam kakak-kakaknya dulu. 

Oh, nak ucap terima kasih tak terhingga kepada En. Suami yang sekarang makin bertambah sibuknya di rumah. Awak memang suami dan abah yang terbaik. Love u sayang...

Friday, May 9, 2014

Kerja Kahwin Yang (Part 1)


Tengahari tadi sempat juga Ummi mencuri masa ke Kedai Reben di Jalan TAR. Tidaklah banyak Ummi beli barang tapi cukup untuk membuat sedikit persiapan kenduri kahwin Yang nanti.

Oh ya, Yang tu sebenarnya adik lelaki Ummi yang ketiga. InsyaAllah jika tiada halangan, 31 Ogos nanti dia akan bernikah dengan gadis pilihannya yang juga orang Perak. Semoga hajat mereka kesampaian dan kekal ke akhir hayat hendaknya.

Angan-angan tu tinggi melangit nak buat itu dan ini tapi tengoklah keadaannya nanti. Kandungan yang semakin membesar ni sesekali membuatkan Ummi lelah menghadapi rutin harian tapi rasanya lebih segar sikit berbanding 6 bulan dulu. Sekarang dah takde alahan macam dulu kecuali lidah ni memang masih kalah dengan makanan manis.

Sesekali buat kerja kahwin ni best jugak kan... teringat masa zaman nak bernikah dulu, hehehe...

Thursday, May 8, 2014

Motosikal dan anak kecil

Pagi tadi masa lalu kat highway Duta, Ummi dikejutkan dek abah.. (oh, lately ni Ummi memang tidur aje dalam kereta sebab setiap hari akan berjaga tengah malam sampai ke Subuh).

"Tengok tu, sian orang bawak motor. Anak duduk kat depan," kejut abah sambil menepuk paha Ummi.

Sepantas kilat Ummi terjaga dan menoleh ke kiri. Ya, Ummi nampak sepasang suami isteri yang membonceng motosikal sambil kedua-dua anaknya duduk di hadapan. Si isteri memangku beg pakaian yang mungkin kepunyaan anak-anak kecil itu.

Ketika berada betul-betul di sebelah mereka, Ummi langsung tak sanggup nak toleh untuk melihat wajah anak kecil mereka. Sebak. Sejujurnya, hati ni tiba-tiba sangat sayu. Walhal sebelum ni Ummi sangat pantang kalau nampak orang naik motosikal sambil bawa anak tanpa dipakaikan topi keledar. Bahaya kan. Kalau apa-apa berlaku, memang tak boleh nak kata apa dah. Allahhuakbar, mohon dijauhkan kami sekeluarga serta orang lain juga daripada sebarang bahaya yang tak terduga.

Fikir Ummi, mereka bukanlah sengaja berbuat demikian. Mungkin tengak sesak, mana tau ada kecemasan kan. Rasanya sepanjang 4 tahun melalui jalan ni tak pernah pulak kami perasan pasangan suami isteri ni. Semoga mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Rasa bersyukur sangat bila dibandingkan dengan mereka walaupun kami cuma pengguna kereta biasa-biasa saja. Pastilah kami terlindung daripada hujan dan panas serta lebih selesa duduk dengan aircond berbanding motosikal yang jauh lebih berisiko terlibat dengan kemalangan. Kalau hujan dah tentunya basah dan terpaksa berlindung di bawah jambatan atau bus stop. 

Memang sering kami mengingatkan anak-anak tentang bertuah dan beruntungnya kami ini berbanding orang lain yang tidak mempunyai kereta. Ayat yang selalu digunakan ialah :

Ummi/abah : Tengok tu, kesian dia naik motor je. Kita naik kereta.
Nawals        : Nape pulak?
Ummi/abah : Ye la, kalau naik motor kan kena panas. Bila hujan, mesti basah. Sejuk tau.
Nawals        : Oh, kita tak kena panas kan. Kalau hujan turun kita pun tak basah kan?
Ummi/abah : Ya. Sebab tu kita kena bersyukur. Ucap Alhamdulillah. Orang lain lagi susah.

Secara peribadinya, bila melihat orang lain menaiki motosikal dengan anak yang masih kecil, kenangan lampau Ummi akan segera menerjah ingatan. Sayunya kenangan lama....  

Monday, April 28, 2014

Keperluan dan kehendak

KEPERLUAN DAN KEHENDAK.

Kedua-duanya sering menghantui manusia. Selalunya kita tersepit membuat pilihan kerana faktor keadaan, masa, kewangan dan sebagainya.

Seharusnya sebelum membuat pilihan, pertimbangan sewajarnya harus diberikan agar pada masa akan datang pilihan tidak mencekik leher sendiri. Bak kata orang 'ukurlah baju sendiri'. Tidak dinafikan nafsu yang melonjak akan mempengaruhi setiap keputusan yang memerlukan seseorang itu memilih antara keperluan atau kehendak.

Buat masa ini, dilema paling besar yang melanda Ummi dan Abah ialah kenderaan untuk kegunaan seharian. Kalau diikutkan kehendak, boleh aje ditukarkan Waja tu kepada yang lebih besar tapi beberapa perkara lain menuntut supaya diselesaikan terlebih dahulu. Malah ikut nafsu yang lama dipendam ni, mau je Ummi beli kereta MyVi Kuning idaman tu, hehehe... Dah lama suka tapi tahan la dulu sebab kalau beli macam rugi pulak ada dua kereta kecik kan. Eloknya biarlah 1 kecik, 1 besar. Yang kecik boleh buat pegi keja, yang besar untuk balik kampung. Tapi...... banyak tapinya sungguhpun kesian tengok keadaan anak-anak duduk dalam kereta lama-lama.


Lagipun bila salah sorang outstation (selalunya abah la), aduhai perit benar rasanya. Biasanya kereta akan Ummi guna, abah naik dengan kenderaan pejabat atau tumpang kawan-kawan. 

Haritu dah nyaris-nyaris Abah tukar kereta tapi belum rezeki maka tak jadilah Waja tu bertukar tangan. Sejujurnya kasih sayang Ummi pada waja tu sangatlah tinggi, banyak momen yang tak mungkin dilupakan. Dengan kereta tu la suka duka kami selama tujuh tahun ni. Umurnya sebaya kakak, tunggu lagi 2 tahun habislah hutang InsyaAllah. Yang membuatkan Ummi benar-benar mempertahankan Waja tu adalah sebab terasa sangatlah rugi nak melepaskannya setelah penat membayar bertahun-tahun, sabar sikit je lagi jadi milik sendiri. Kalau tukar kereta baru, memanjang la berhutangnya. Lagipun masa Abah dah sibuk cakap nak tukar kereta, dalam diam menangis jugak Ummi sebab sayang sangat kat Waja tu. Tapi nangis kat bilik air je, nanti takut digelakkan dek abah. Nak tukar kereta pun nangis, hehehe...

Sebetulnya Ummi takut. Takut kalau nanti ada apa-apa yang berlaku, hutang kereta masih tak langsai. Paling kurang pun kalau Waja tu dah abih bayar ianya dah jadi milik kami. Lepas abih hutang Waja, bolehlah ambik kereta besar sikit kalau ada rezeki. Waktu tu ada la 2 kereta, kalau tukar sekarang tetap akan jadi 1 je keretanya.  Hmmm... itu pada pandangan Ummi, harapnya kita sekeluarga tabah nak menunggu hutang Waja ni habis ye Abah. InsyaAllah rezeki akan berpihak pada kita nanti, janji sabar...

 
Eh, ada kena mengena ke gambar kereta kat atas ni? Tiba-tiba masuk dalam cerita, wee wee wee.....

Tuesday, April 22, 2014

Restoran Tuuu... dia Pak Tam



Sebenarnya ini cerita 2 minggu lepas sewaktu kami pulang ke Perak pada 8 dan 9 April. Kami singgah di R&R Tapah untuk solat dan makan sewaktu dalam perjalanan pulang ke Selangor.

Sebenarnya Ummi pernah singgah di kedai makan Pak Tam, R&R Tapah arah Utara. Masa tu makan pasembor, sedap jugak. Tu yang ajak abah Nawals makan kat Pak Tam sebelah sini pulak. Bagi Ummi walaupun harganya agak mahal tapi berbaloi sebab sedap.

Malam tu kami makan Mee Sup, sate dan milo panas. Harga untuk mee sup ni ialah RM5 untuk satu bekas, sate RM1 secucuk (1 set ada 10 batang), nasi himpit RM6 dan milo lupa nak tanya kat abah. Mula-mula tu terkejut jugak nasi himpit sampai RM6, rupanya ia besar dan dibungkus dalam daun pisang macam mak-mak kita buat lopes pulut tu. Memng kenyang la kami makan, Alhamdulillah. 

Sesiapa yang nak makan di R&R Tapah bolehlah cuba masuk ke kedai Pak Tam ni. Suasana kedai yang kemas, bersih serta diseadakan surau dan tandas juga bagi Ummi memang menyenangkan pelanggan. Cuma masa kami singgah ni proses pengubahsuaian kedai makan ni tak habis lagi. Menu pun pelbagai, harga bagi semangkuk bekas yang bulat tu RM5. Kalau ambil nasi lain la pulak kiranya ya.

Link ni ada cerita serba sikit pasal Pak Tam http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Monday, April 21, 2014

Puteri ke 4, insyaAllah

Tak sabar menantimu sayang..

InsyaAllah, hasil daripada ujian imbasan yang dilakukan di Hospital Bersalin Pusrawi Kota Damansara kami akan dikurniakan seorang lagi puteri.



Alhamdulillah, ini puteri keempat kami yang kini beratnya mencecah 809gram. Nawal apa ye nak letak... :) Ummi dan abah sedang mencari nama yang sesuai buatnya.

Kalau ikutkan adik @ Inshirah, dia nak nama Shasha. Teringat kata-katanya sebelum ini...

Adik   : Ummi, ni adik lelaki ke pompuan?
Ummi : InsyaAllah prempuan. Kenapa?
Adik   : Adik nak nama dia Shasha eh?
Ummi : ... hanya mampu tersenyum tanpa kata.

Sememangnya dia seorang yang banyak bercakap, malah dengan kehamilan ini Inshirah sangat rajin mencium dan bercakap dengan adiknya ini termasuklah Haseena juga. Mereka rajin bertanya adiknya sudah besar atau belum, bila nak lahir dan macam-macam lagi. Cuma kakak saja yang agak pemalu untuk berbuat seperti itu. Paling ketara pun kakak hanya tergelak atau tersenyum tatkala melihat adik-adiknya meniup perut sambil membuat bunyi di perut Ummi.

Semoga kamu lahir nanti akan membawa lebih kebahagiaan keluarga kita sayang. Jadilah insan yang solehah, berguna kepada agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya Ummi, abah dan kakak-kakakmu tidak sabar menanti kehadiranmu...


Momen di teratak abah dan mak

Alhamdulillah... hujung minggu lepas pada 19 dan 20 April 2014 kami telah dapat meluangkan masa bersama mak dan abah di Pahang. Walaupun sekejap tentulah ianya melegakan hati kami serta mak abah sebab dah 2 bulan tak balik kampung. Tapi sebenarnya bukan tak jumpa langusng dalam masa 2 bulan tu, ada je jumpa kat sini tapi ye la mana nak sama dengan balik ke kampung kan....

Balik ke kampung ni tak dapat diceritakan nikmatnya sebab hanya mereka yang suka balik kampung je tau. Selain daripada bertemu wajah-wajah syurga kita, suasana aman dan udara segar pasti sesuatu yang tak dapat di rasai di tempat pencarian rezeki kita. Di teratak mak abah ni penuh dengan pokok-pokok sayur, bunga dan haiwan peliharaan. Tapi maaflah sebab Ummi tak sempat nak snap kesemuanya.



Powerpuff girls tentulah sangat excited bila balik kampung sebab bebas ke sana ke sini, tak macam kat Subang, nak pergi mana-mana mesti depan mata abah dan Ummi. Seawal pagi dah bangun sebab nak ikut atok bagi makanan pada rabbit. Inshirah adalah orang pertama yang bangun iaitu 7.15 pagi diikuti kakak dan adiknya. Belum jam 8 dah start keliling rumah dan bagi makanan kat arnab, ayam dan ikan. Pulak tu ada anak arnab yang belum buka mata, apalagi ambil peluang la pegang lama-lama. Mana yang dah besar nak tangkap pun susah.

Lepas habis bagi makanan kat arnab, atuk suruh pulak bagi makanan ikan keli. Haaa... suka sangat la. Kalau dibiarkan mau habis satu balang makanan ikan tu. Bila ikan tu timbul dan air berkocak bising mulut 3 Nawal ni. Tengahari tu tangkap ikan sendiri pakai jaring, sampai basah-basah baju. Paling seronok tentulah atuk dan nenek sebab tengok cucu-cucunya makan berselera, makan hasil tangkapan sendiri. Huuuu.... best best... asam pedas ikan keli, nangka tumis campur suhun, bayam rebus, keli goreng dan siakap stim halia.

Sempat juga En. Suami mengorek pokok lengkuas, betik dan bunga kantan untuk ditanam kat rumah. Harap-harapnya hidup suburlah di tanah Subang nanti. Kat sana cuma ada pokok kunyit, cili, serai, pandan, limau purut, inai, daun lidah buaya, jambu air dan mangga. Tepi pagar tu ada juga tanam pokok bunga raya dalam beberapa warna iaitu merah, pirch dan pink. Pokok tebu belum tumbuh lagi nampaknya. Tapi pernah jugalah kami merasa hasil pokok pisang tanduk, Alhamdulillah.

Aktiviti kat kampung ni tidaklah sesibuk di bandar, tu yang seronok sebab tak payah nak terkejar sana sini. Semuanya berjalan dalam keadaan yang tenang, pagi-pagi tak payah nak mengadap trafik yang sesak. Bestnya dapat duk kampung... Ummi pernah cakap kat En. Suami dulu untuk duduk kat kampung je tapi tu la... dia cakap tak pandai nak buat apa kalau duduk sana. Heeee... rugi kan tak duduk kampung. Dalam kepala Ummi ni macam-macam nak buat. Nak tanam sayur la, bela binatang la, berniaga la... banyak-banyak. Tu semua yang tak memerlukan Ummi mengadap komputer lama-lama. Wink wink wink...  

InshaAllah ada masa dan keadaan mengizinkan pasti kami akan balik ke kampung lagi. Jumpa lagi mak abah... :)

Thursday, April 17, 2014

Dah masuk 25 minggu

Alhamdulillah, minggu ni dah masuk 25 minggu Ummi mengandungkan si kecik ni. Alahan pun nampaknya dah berkurangan kecuali muntah sekali-sekala, angin dalam badan walaupun tak makan makanan yang berangin, rasa manis yang akhirnya akan menjadi payau dan kahak yang pekat tu masih ada.


Badan pun rasa sihat sedikit walau perut ni rasanya semakin memberat. Tapi, sehingga pemeriksaan pada 21 Mac dulu berat badan Ummi cuma naik 3.5 kg sahaja. Harap-harapnya berat badan akan bertambah lagi seiring dengan perkembangan si kecik ni. Kalau mengikut babycenter.com, ukuran bayi pada minggu ini lebih kurang 35cm daripada kepala ke tumit. Bayi juga sudah boleh membuat pergerakan bernafas tetapi masih tiada udara di dalam paru-parunya.

Alhamdulillah, kalau mengikut ujian imbasan bulan lepas si kecik ni aktif dan sihat. Jantinanya juga telah dikenalpasti, hehehe... Suntikan untuk kancing gigi juga telah diambil, cuma ujian darah saja belum diambil.

Syukur pada Allah atas segala nikmat yang diberikan. Semoga kami berdua berjaya mengharungi minggu-minggu yang akan datang sehinggalah tiba waktu kelahirannya nanti.

Wednesday, April 16, 2014

Suka berjalan

Ummi memang suka berjalan.

Berjalan yang bagaimana? Berjalan untuk makan angin atau pergi ke mana-mana dengan hanya berjalan kaki? Oh... kedua-duanya benar. Sejak daripada zaman anak dara sampai la anak nak masuk 4 memang habit tu sama aje.

Kalau di pejabat, memang Ummi lebih gemar menggunakan tangga untuk ke pejabat pos, bank atau kedai serbanika di aras 2 tu. Tapi bila nak naik ke pejabat tidaklah Ummi memanjat tangga, ada 40 tingkat bangunan ni, agak-agak la kan walau suka berjalan :)

Ada juga bila keadaan tertentu Ummi tetap akan naik lif iaitu nak cepat atau kesihatan yang tak mengizinkan. Habit ni tak berubah walaupun ketika Ummi mengandung kerana Ummi percaya dengan aktiviti berjalan ni sedikit sebanyak memudahkan proses kelahiran. Alhamdulillah, kelahiran 3 puteri ini memang berjalan lancar. Harap-harapnya si kecik di dalam perut ni nanti mudah juga proses kelahirannya.

Waktu rehat biasanya Ummi juga tidak duduk di pejabat sahaja, tentu ada aktiviti yang dilakukan supaya dapat keluar daripada zon pekerjaan. Biarlah penat sikit berjalan asalkan Ummi tak duduk di satu tempat sahaja.

Kalau di rumah lagi banyak berjalan rasanya, entah-entah bole sampai ke Gunung Kinabalu dah. Hehehe... turun naik tangga, ke depan ke belakang. Sebenarnya Ummi suka duduk di rumah dan jadi pengurus rumahtangga tapi hajat tu terpaksa ditangguhkan hingga kini. Memang penat tapi ianya sangat memuaskan hati bilamana tugasan rumahtangga sempurna dilakukan.

Selain tu, Ummi pun suka makan angin. Kalau ada rezeki lebih memang kami sekeluarga suka ambil angin luar. Maklumlah, rutin harian yang sibuk serta anak-anak lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan taska membuatkan kami suka berlibur. Selain daripada luas pemandangan, tentulah pengetahuan juga makin bertambah. Setakat ni dah banyak tempat juga kami pergi tapi tengok pada bajet juga. Kalau tak cukup, baik duduk rumah diam-diam. Bak kata orang, ukur baju di badan sendiri.

Jom semua, kita berjalan-jalan... :)

Tuesday, April 15, 2014

Ostematrix Shaklee

Assalamua'laikum....

Kali ni Ummi nak berikan sedikit ulasan mengenai pengambilan vitamin Ostematrix keluaran Shaklee. Alhamdulillah, dah 2 tahun Ummi amalkan 4 biji sebelum tidur, dan sejujurnya memang ia sangat menarik.

Nak tahu kenapa ianya menarik? Ostematrix ni telah membantu Ummi menghadapi masalah pembuangan yang dulunya memakan 4 hingga 5 hari sekali. Bukan setakat tu aje, yang Ummi perasan ialah Ummi tidak lagi menghadapi masalah keletihan yang ketara seperti sebelum mengamalkannya. Dengan tugas harian di pejabat dan urusan rumahtangga tidak dapat dinafikan keletihan adalah salah satu masalah yang sering menghantui Ummi.

Bila bangun pagi je, badan tidak lagi sesakit dulu, rasa lebih cergas. Oh, tentulah ini sangat menggembirakan hati Ummi kan. Untuk pengetahuan semua, Ostematrix Shaklee ini mengandungi kalsium, magnesium dan vitamin D. InsyaAllah dengan pengambilan yang konsisten serta air masak yang secukupnya, vitamin mudah telan ini boleh membantu kita menghadapi masalah sakit tulang, keletihan dan tekanan darah tinggi.

Selain itu, kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke atas juga boleh mengambil vitamin ini sebagai suplemen tambahan kerana pada ketika umur ini ramai kanak-kanak tidak lagi menjadikan susu sebagai minuman harian. 

Setelah Ummi melihat keberkesanannya, maka dengan gembiranya Ummi telah berkongsi kebaikan ini dengan mak yang tersayang. Harap-harap ia membantu mak walaupun dia tidak menghadapi masalah sakit tulang buat masa sekarang. Sebelum terkena baik kita mencegahnya.

Sempena kebaikan Ostematrix ini, pihak Shaklee telah membuat promosi pada April 2014 di mana setiap pembelian 6 botol Ostematrix anda akan diberikan 1 botol percuma pula. Harganya ialah RM366 untuk mereka yang belum menjadi ahli dan anda juga berpeluang menjadi ahli secara automatik dengan pembelian promosi ini. Kalau dah jadi ahli nanti harganya tentu lebih murah kan? Anda boleh berkongsi dengan kawan-kawan atau saudara mara untuk merasai penjimatan yang memang sangat berbaloi. 


~ Ikhtiar dan tawakkal kepada Allah~

*untuk mendapatkan konsultansi dan harga istimewa Shaklee, jangan segan untuk sms/whatssup ke talian 0192196843 atau emel ke roslinmohamednaziri@gmail.com. Semampu boleh saya akan cuba membantu, InsyaAllah.