Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, July 12, 2013

Sebahagian daripada hidup Ummi



Kalian adalah sebahagian daripada hidup Ummi...

Kakak... 
sudahpun berusia 6 tahun pada tanggal 9 Jun lepas. Semasa lahir di PUSRAWI, Jalan Tun Razak, KL beratnya 3.2 kg ketika kandungan mencecah 38minggu. Alhamdulillah, kelahirannya agak mudah dan cepat. Sangkaan mak mertua ummi akan bersalin malam hari, tapi tepat jam 1.29 petang dia lahir ke dunia. Ummi ingat lagi masa tu, dia lahir sekitar azan Zuhur berkumandang.

Alhamdulillah, dia makin bijak mengurus diri malah nampak ciri-ciri sebagai seorang kakak. Sekarang sudah pandai membaca walaupun tidak sepantas orang lain. Nampaknya kakak makin menyukai subjek Matematik sejak buat latihan bermula awal tahun lalu. Semuanya hasil jadual harian yang Ummi susunkan, kalau tak macam caca marba dia belajar. Ummi sendiri pun pening nak mengatur jadual anak-anak tapi bila jadual harian ada, ianya memudahkan kerja. Nampak teratur sikit.

Hujung tahun ni abah dan ummi akan shopping baju sekolah kakak pulak. Sehingga ke tarikh ini kami belum dimaklumkan sekolah Ashiqin yang mana satu. Harapnya dia dapat ke sekolah yang dekat dengan rumah tu, tak sampai 5 minit dah sampai. 

Kakak juga semakin giat bertanya itu dan ini yang mana membuatkan ummi dan abah kena belajar semula atau cari maklumat tambahan. Kadang-kadang tak terjangkau soalannya, ye la budak-budak kan. Semoga kamu jadi anak yang solehah nak...

Adik...
usianya sudah menginjak 3 tahun awal januari lalu, 5hb. Dia seorang yang aktif, peramah dan agak nakal berbanding kakak. Tingkahlakunya kadang-kadang membuatkan ummi dan abah naik panas juga, selalunya kalau tiba-tiba dia mengatakan "Adik takde buat apa-apa pun." Haaa, ada la tu yang tak kena. Baru-baru ni adik makan nasi yang berwarna pink, nak tau kenapa warna pink? Dicampurnya ais bandung cincau ke alam nasi. Selamba pulak tu cakap sedap! Aduhai anak... 

Walaubagaimanapun, adik ni pandai cairkan hati orang. Kalau dah buat salah atau nak minta sesuatu dia akan datang cium, peluk atau bodek ummi dan abah. Ummi juga menggelarnya anak abah sebab apa-apa pun nak abah juga. Kalau dah tidur kat bilik dia boleh turun bawah cari abah bila tengok abahnya takde kat sebelah. Adik jugalah peneman abah tengok tv tatkala ummi, kakak dan Seena duduk mengulangkaji dalam bilik atas.

Yang paling saya takutkan ialah bilamana abahya ke luar daerah untuk bertugas. Adik akan menangis kuat sambil memanggil nama abah. Selalunya tengah malam, itu yang buat kakak marah pada dia. Ye la, kacau orang tidur kan.

Semasa kecilnya, adik lahir ketika berusia 37minggu, beratnya cuma 2.9kg sahaja. Tapi bila dah besar dia pulak agak chubby. Usia setahun adik dah pandai berjalan tapi giginya hanya tumbuh masa berumur setahun 3 bulan. Ummi dan abah pernah jumpa doktor sebab risaukan giginya yang tak tumbuh lagi. Doktor cakap memang ada budak yang lambat tumbuh gigi tapi jarang sampai setahun lebih. Adiklah salah seorang daripadanya.

Haseena...
setakat ni dialah anak bongsu kami :) lahir pada 9 April 2012 di PUSRAWI Kota Damansara. Beratnya mencecah 3.45kg, mirip kakaknya pada waktu itu. Kelahirannya juga mudah seperti kakak-kakaknya, sakit sekitar jam 8 pagi dan lahir pada 9.25 pagi. Tak sempat salin baju pun, dengan 2 kali push dia selamat dilahirkan. Masa sampai di hospital, bukaan dah 9cm. Mujur tak bersalin dalam kereta.

Setakat ini, Haseena agak pendiam berbanding kakak-kakaknya. Malah doktor sendiri pun perasan dia tak banyak cakap. Tapi, bila menangis suaranya sangat tinggi. Tak padan dengan orangnya yang kecil sahaja. Beratnya kini cuma 7.5kg sahaja. Dia seperti kakaknya Ashiqin, kerap sakit dan pernah ditahan di wad sebanyak 2 kali.

Sekarang dia dah pandai berjalan, cuma kurang pandai bercakap. Satu-satunya perkataan yang disebutnya ialah 'nak'. Ketika dia mula bertatih, abahnya tiada di rumah, jauh di Sabah. Hanya gambar dan video call penghubung kami masa tu. Sedih jugak sebab itulah satu-satunya perkembangan anak-anak yang berlaku tanpa di depan mata abah. 

Itulah serba sedikit tentang 3 beradik yang bernama Nawal di pangkalnya. Abah dan ummi doakan supaya kalian menjadi orang yang berguna dan memberi banyak manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Semoga terus membesar dengan baik dan dalam rahmat Allah hendaknya. 

Rindu saat ini....



Ummi sangat merindui saat-saat ini. Oh datanglah semangat dan kekuatan untuk meneruskan misi itu.


Wednesday, July 10, 2013

1 Ramadhan 1434H



Ini gambar kami pagi tadi kecuali kakak dan abah yang masa tu sibuk loading beg sekolah ke dalam kereta. Ummi cuma nak berkongsi kisah adik yang excited menyambut puasa.

Adiklah yang bangun dulu daripada kakak masa makan pagi tadi. Oh ya, mereka tak bersahur pukul 5 pagi ok, tapi pukul 7 pagi. Bagi adik yang baru berusia 3 tahuni ni, dia tetap nak puasa walaupun pada Ummi dia tidak tahu pun makna puasa melainkan tidak makan dan minum. Selesai 'bersahur' dia tiba-tiba bercakap....

Adik : Ummi, hari ni adik puasa kan.
Ummi : Ya, adik puasa. Kan tengah sahur tu.
Adik : Adik nak pakai baju kurung macam Ummi la.
Ummi : Ye? Ok, nanti Ummi ambikkan.

Sebetulnya dia perasan Ummi pakai baju baru hari ni. Semalam pun Ummi sempat membelikan dia sehelai baju kurung. Bukanlah untuk apa, cuma Ummi rasa di bulan yang baik ni Ummi nak meraikannya semeriah yang boleh. Kalau raya boleh kita meriahkan, kenapa tidak bulan puasa kan?

Ummi berazam supaya dapat menambah pahala, kebaikan, kesabaran dan yang baik-baik sahaja mulai bulan ini. Semoga azam ini tidak luntur sekerat jalan. Pagi nak pergi kerja tadi, dengan berbaju baru harapnya motivasi diri ni lebih tinggi dan tak luntur dek godaan-godaan di bulan puasa.

Seronok melihat anak-anak gembira terutamanya di awal pagi. Adiklah yang paling gembira hari ni sebab dia dah merasmikan dulu baju dan kasut raya. Semoga kamu jadi anak yang solehah dik. Selamat berpuasa buat adik dan kakak biarpun Ummi tak pasti sampai pukul berapa anak-anak syurga ini mampu menahan lapar :) Kakak bersabar ye. Katanya nak tunggu Ummi balik baru nak makan. Sebelum itu saya dah berpesan kalau kakak tak mampu menahan lapar, makan sajalah di sekolah nanti. Tengoklah petang nanti hasilnya ya :)

Sekian.

Salam Ramadhan Kareem 1434H

Salam Ramadhan Kareem buat semua umat Islam di seluruh dunia.

Alhamdulillah kerana kita masih diberikan kesempatan, rezeki, peluang dan apa saja perkataan yang sesuai untuk menikmati berkatnya Ramadhan 1434H ini. Syukur sangat-sangat. Moga ianya lebih baik daripada sebelumnya.

Mohonlah agar dosa-dosa kita diampunkan tanpa jemu, beramallah sebaik mungkin seperti esok kita akan pergi dan berusahalah menjaga kesihatan semaksimum mungkin supaya kita terus kuat beribadah walaupun Ramadhan akan berakhir nanti. Janganlah kita hanya mengejar Ramadhan dan kita tinggalkan bulan-bulan yang lain. Lazimnya, bulan mulia ni dikejar oleh semua orang tetapi bulan-bulan lain dipandang sepi.

Ummi mengambil kesempatan memohon ampun maaf kepada semua baik yang dikenali secara rapat atau di dunia maya cuma. Kekhilafan diri kadangkala tak dapat dielakkan, cuma kita kenalah berusaha untuk memperbaikinya. Buat suami yang akan bertugas di luar daerah, harapannya agar janganlah ditinggalkan terawikh walau sesibuk manapun. Jaga kesihatan baik-baik, jangan lupa bersahur nanti. Semoga dapat menjalankan tugas sebaik mungkin. Buat anak-anak yang dikasihi... jangan nakal-nakal ok. Ummi sendirian menguruskan kalian nanti, harap kita sama-sama bekerjasama dengan baik macam Wonderpets tu. Selamat berpuasa kakak dan adik. Untuk keluarga di Perak dan Pahang, selamat berpuasa juga. InsyaAllah jika diizinkan Allah kita puasa sama-sama ya. Dan... buat semua yang dikenali, marilah kita tingkatkan semangat dan usaha untuk menjadi yang terbaik bermula saat ini. Jangan lupa ambil pahala melewatkan sahur dan mempercepatkan berbuka ya...

Sekian.


Sunday, July 7, 2013

Mak, saya faham sekarang...

Tatkala Ummi menaip di ruangan ni, sudah lebih daripada sejam berjaga. Malah sudah 4 kali juga Ummi turun naik tangga!

Kakak, adik dan Seena.... sekarang Ummi makin faham, mengerti dan merasai kenapa opah selalu letih tatkala Ummi masih kecil dulu. Apa yang Ummi tuliskan bukan kerana tidak redha dengan apa yang Ummi lalui tapi sebagai panduan malah pengalaman ini akan ditempuh oleh kalian kelak. Nanti, kalian pasti mengerti apa itu keletihan yang dirasai oleh setiap insan yang bergelar ibu.

Dulu, Ummi hairan mengapa opah kalian selalu keletihan, pernah tidurnya duduk, apatahlagi kalau dapat baring matanya pasti cepat lena walau dalam tempoh yang sangat singkat. Sekarang, zaman opah beralih pula kepada Ummi. Oh, tetaplah bersabar hati kerana sabar ini sering berada di penghujung.

Dan, pengajaran yang paling besar Ummi dapat ialah maksud dan hakikat pesanan Rasulullah mengenai tiga tempat teratas diduduki oleh ibu dalam golongan mereka yang wajar dihormati. Ya Rasulullah, umatmu yang kerdil ini baru saja memahaminya.

Jujurnya Ummi tak berjaya menahan airmata ini. Terasa sangat kecil diri dihadapanMu Ya Rabb.

Pesanan untuk semua lelaki.... janganlah ditinggalkan ibu kalian bilamana diri telah berkahwin. Tanggungjawab kepadanya harus dilaksanakan hingga ke akhir hayat, kedudukannya mengatasi isterimu. Namun bukanlah meminta untuk tidak mengendahkan keperluan isterimu begitu saja. Rajinkanlah membantu isterimu walaupun dia cuma surirumah. Ummi percaya, kalaulah tanggungjawab ini berpindah kepada sang suami, ianya tidak akan bertahan lama. Bukan angkuh, tapi renunglah sedalam-dalamnya mengapa Allah memilih wanita untuk melalui semua ini. Hargailah isteri dengan kasih sayang dan kesabaran kerana mereka juga diuji dengan kesabaran dalam mengurus rumahtangga.

Sekian. 

*anak-anak Ummi, tidurlah sayang. Sudah 5.28 pagi ni, banyak lagi perkara yang perlu Ummi uruskan siang nanti.