Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, December 13, 2013

Muhammad Bin Ahmad Zahid

Assalamua'laikum....

Semalam (12 Disember 2013) tatkala Ummi menonton Buletin Utama, mata terpaku pada satu berita daripada luar negara di mana kerjasama antara kerajaan Negeri Perak dan Universiti Fatih sangat menarik minat Ummi, apatahlagi tiba-tiba adik Muhammad Ahmad Zahid mengalunkan ayat suci.

Universiti tersohor di dunia ini mempunyai 7 Fakulti, 140,000 orang pelajar di mana 8,500 orang terdiri daripada pelajar luar negara dari 110 negara. Universiti yang menginjak 17 tahun ini terdiri hasil daripada sebuah badan sukarela dimana sumber kewangannya 100% daripada hasil waqaf. MashaAllah, hebat bukan...

Apabila terpandangkan wajah adik Muhammad yang semakin menginjak dewasa, ternyata daripada dulu hingga sekarang anak muda ini boleh mencairkan mana-mana jiwa dengan kemerduan suaranya. Sungguh besar pengorbanan ibu bapanya untuk menghasilkan anak sehebat Muhammad. Semoga Muhammad terus menjadi yang terbaik dan dilimpahi rahmat Allah hingga ke akhir hayat. Teringat ketika Muhammad berada dalam AQ ke 4 dulu (kalau tak silap la), Ustaz Nazri pernah mengatakan yang Muhammad ini sungguh payah untuk melihat senyumannya tetapi bakal calon menantu yang dinanti. Oh, semoga anak-anak Ummi juga menjadi anak-anak yang solehah.

Waktu senggang tatkala ini mulalah Ummi berdamping pakcik Google untuk mencari info terbaru Muhammad dan mendengar dia mengaji. Rupa-rupanya Muhammad dibesarkan dengan suasana masjid semenjak umur 4 tahun hasil asuhan datuk, ibu dan ayahnya. Malah hafazan Muhammad bermula pada umur 7 hingga 10 tahun secara sepenuh masa dan tidak pernah didedahkan dengan kartun. Makanannya pula berasaskan sumber halal dan yang berkualiti. Cita-citanya pula ingin menjadi Ulama' professional.

Mengikut bapanya, sifat sabar dan ikhlas perlu ada dalam diri setiap ibu bapa agar anak-anak yang dilahirkan dapat dibentuk dengan cemerlang dunia akhiratnya. Selain berdamping dengan bahan bacaan untuk mendapat ilmu, ibu bapa juga hendaklah rajin bertanya dengan orang-orang terdahulu kerana pengalaman mereka tidak ternilai dan kesilapan orang tua kita juga janganlah kita ulangi lagi. Menurut ibunya pula, semasa mengandung beliau sangat menjaga pandangan dan mulut agar hanya meihat serta mendengar yang baik-baik sahaja.

Allahhuakbar.... mulia sungguh peribadi ibu bapa Muhammad. Mereka sangat sabar dan tidak berputus asa dalam mendidik anak-anak. Semoga Ummi dan abah dapat sama-sama menongkah arus membesarkan anak-anak agar menjadi insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.


Thursday, November 21, 2013

Galau hatiku

Andai nanti daun hidup ini gugur bila tiba waktunya, bersediakah aku melalui waktu suntuk itu? Terkesankah aku dengan akhir waktu yang pasti memburu walau di mana aku berada.

Ohhh, galau hati dibuatnya bila memikirkan sepanjang hidup yang dilalui masih tidak cukup bekalan untuk dibawa. Sedih kerana selalu gagal melawan nafsu sendiri, akhirnya kata dunia yang dituruti. Walhal, peringatan demi peringatan kian jelas diperlihatkan supaya rasa insaf subur di hati. Allahhurobbi... fakirnya hambaMu ini.

Berlindung di balik rahmatMu, berpayungkan langit cerahMu dan tegak berdiri di atas tanahMu... begitu banyak yang telah Engkau berikan. Hakikatnya, bekalanku tetap sedikit berbanding limpahan kasih sayangMu. Lalainya aku.

Terdesakkah aku untuk menggapai kesempurnaan itu? 

YA, aku terdesak kerana belum tentu seminit yang akan datang berpihak kepadaku. Oh, sempurna itu pasti tidak dapat digapai kerana sifat manusia itu tidak sesempurna mana. Cuma, aku mengharapkan agar perkara-perkara terbaik dapat kulakukan sepenuh ikhlas sebagai bekalan nanti.

Bersihkan hati dan mindaku supaya menjadi insan yang bersih-sebersihnya. Moga hati ini sentiasa redha dan memaafkan. 

Allah Yang Maha Pengampun, sucikanlah wajahku ketika menghadapMu nanti dan senyumkanlah bibirku tatkala meninggalkan dunia yang sementara ini. 

Aaminn.....

Monday, November 18, 2013

Hal-hal kematian 2 (bagi umat Islam)

Apabila berakhirnya riwayat hidup seseorang Muslim, maka ada beberapa perkara yang perlu dilaksanakan oleh kaum keluarga, jiran atau sahabat handainya. Menguruskan jenazah orang Islam adalah Fardhu Kifayah.

Orang-orang yang berhak atau sangat afdhal untuk menguruskan jenazah ialah ahli keluarga atau waris terdekat. Tetapi ianya boleh juga diuruskan oleh kariah di kawasan terbabit sekiranya waris kepada jenazah tersebut tiada ilmu atau pengalaman atau kemampuan.

Antara perkara-perkara yang perlu dilakukan kepada jenazah ialah :
1. Menukar pakaian dan bersihkan kekotoran daripada dubur sekiranya ia keluar.
2. Rapatkan kedua belah mata.
3. Tangannya diqiamkan seperti di dalam solat.
4. Merapatkan mulutnya.
5. Ikat dagu dan simpul di ubun-ubunya.
6. Meluruskan kaki jenazah.
7. Ikat kedua ibu jari kaki 
8. Letakkan jenazah di tempat yang tinggi dan menghadap ke arah kiblat.

Sementara itu, dalam masa yang sama waris perlu menguruskan beberapa perkara apabila kematian telah disahkan :
1. Melaporkan kematian di Balai Polis.
2. Membeli barang-barang keperlun untuk urusan mandi dan mengkafankan jenazah.
3. Menggali kubur.
4. Menetapkan Imam dan bilal untuk urusan solat jenazah. 
5. Menguruskan kenderaan jenazah.
  
Selepas itu, perkara wajib yang perlu dilakukan kepada jenazah terbabit ialah :
1. Memandikannya.
2. Mengkafan.
3. Solat jenazah.
4. Mengebumikannya.

Adalah diingatkan kepada pengendali jenazah terbabit agar sentiasa amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya, jika ada keaiban yang berlaku janganlah dihebohkan atau diumpatkan. Jadikanlah ianya sebagai pengajaran kepada semua agar setiap yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah S. W. T. Bersabarlah dengan setiap ujian yang didatangkan.


Buat hari ini, cukup di sini dulu. Hal-hal kematian 3 akan menyusul nanti..

Friday, November 15, 2013

Siapa ayahku?

Semalam, 14 November 2013 Ummi sempat menonton Semanis Kurma dengan tajuk Siapa Ayahku?

Dengar tajuk je dah cukup memberikan pelbagai persepsi kan? Rancangan yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton ini telah menjemput Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek, Pendakwah/Penasihat Pertubuhan Iman dan Ihsan Malaysia.

Seperti yang kita ketahui Allah telah pun memerintahkan supaya umat Islam menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina kerana akibat daripadanya sangatlah dahsyat. Salah satu daripadanya ialah kelahiran anak yang tidak sah taraf kerana perlakuan itu adalah hasil daripada hubungan intim lelaki dan wanita yang belum bernikah. Di dalam Islam, hanya pasangan suami isteri yang telah sah bernikah sahaja dibenarkan untuk mengadakan hubungan intim.

Mengapa Allah melarang kita menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina? Wahai Tuan/Puan, sahabat-sahabat dan adik-dik yang dimuliakan, sesungguhnya akibat daripada perbuatan zina itu akan dapat dirasai ketika di dunia dan akhirat juga. Antaranya di dunia ini nanti cahaya dimukanya akan lenyap dan hisab di akhirat nanti adalah buruk. Tetapi pada episod Semanis Kurma ini hanya akan membincangkan mengenai anak yang lahir tanpa bapa yang sah.

Menurut Ustaz Mohd Hanafiah, bayi yang lahir kurang daripada 6 bulan qamariah selepas pernikahan tidak boleh berbin atau berbintikan lelaki yang telah menikahi ibunya. Allahhuakbar. Tentu kita boleh bayangkan masa depan bayi tersebut, urusannya kelak pasti sedikit sukar kerana terdapat kelainan di dalam surat beranaknya. Tambahan pula masyarakat kita selalu menuduh atau mengata yang bukan-bukan mengenai anak seperti ini, walhal mereka perlu diberi kasih sayang agar kebajikanya terjaga.

Pada zaman Rasulullah dahulu, ada seorang wanita yang telah mengandung akibat daripada zina lalu dia menemui Rasulullah supaya dirinya dapat dihukum. Tetapi Rasulullah menyuruhnya balik dan menunggu anak tersebut lahir dahulu. Setelah anaknya lahir, wanita itu datang lagi menemui Rasulullah, sekali lagi dia disuruh balik dan menyusukan anaknya sehingga habis tempoh penyusuan. Apabila tempoh penyusuan berakhir, wanita itu datang semula untuk mendapatkan hukuman, tetapi Rasulullah mengatakan bahawa cukuplah taubatnya kepada Allah untuk memohon keampunan di atas dosa-dosanya.

Nampak tak kalian? Wanita yang mengandung tanpa bernikah ini diberikan kasih sayang supaya dia tidak mengulanginya lagi. Tetapi akhlak kita jauh berbeza daripada Baginda kerana kita sering mencerca mereka tanpa kita sedari sedikit sebanyak kita jugalah punca bayi yang tak berdosa di buang merata-rata tempat. Betul, mereka telah berdosa dan sedang menerima hukuman tetapi sebagai masyarakat yang prihatin seharusnya kita tidak buta-buta menyalahkan mereka.

Tentulah sesuatu itu terjadi ada puncanya, mana tahu ianya akibat masalah keluarga atau krisis identiti yang sedang dialami mereka. Mungkin juga pengaruh media turut menyumbang kerana hari ini kita disajikan dangan program hiburan yang melampau dan aksi-aksi didalam filem/drama pula mengghairahkan. Mana yang dapat menapis godaan-godaan ini mungkin terselamat tetapi kasihan pula pada yang lalai. Berbaliklah kepada jalan Allah, itulah jalannya.

Sebaiknya kita mencari punca dan membantu untuk menyelesaikannya bukan menambah beban yang ditanggung. Di sinilah peranan kita sebagai masyarakat yang perlu prihatin terhadap perkara sekeliling tetapi kadang-kadang sikap kita yang menganggap ‘prihatin’ itu sebagai ‘jaga tepi kain orang’ juga adalah penyebab kepada keruntuhan moral pada zaman ini.

Kalau dulu-dulu anak jiran adalah anak kita tetapi sekarang tidak lagi, silap haribulan kita disembur pula kerana dianggap mencampuri urusan orang lain. Zaman bertambah canggih teknologinya dan peranan masyarakat juga kian terhakis. Semua yang berlaku kini adalah akibat daripada perbuatan kita juga bukannya semata-mata takdir.

Berbalik kepada anak tidak sah taraf ini, lazimnya mereka mempunyai rasa rendah diri yang sangat kuat, memberontak, malu dan mengasingkan diri daripada masyarakat. Lalu akhirnya mereka akan terbiar dan kemungkinan besar akan bercampurgaul dengan golongan yang agak ‘nakal’.

Ummi tidak dapat membayangkan kepayahan yang akan ditempuh oleh anak-anak ini tetapi pesanan yang sempat dititipkan ialah agar mereka tetap tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Janganlah diulang kesilapan ibu ayah dulu, jadilah insan yang boleh memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Tidak ada bezanya anak tidak sah taraf dengan yang lain kerana mereka tidak berdosa. Kukuhkan hati dengan iman supaya dapat menepis onak dan duri, semoga Allah terus melimpahkan rahmatnya buat kita semua. Marilah kita sama-sama memainkan peranan supaya gejala ini dapat dibendung daripada terus berlarutan.


Mohon maaf andai buah fikiran Ummi menyinggung hati sesiapa….

Thursday, November 14, 2013

Setia City Mall

Pada 10hb November lepas kami sekeluarga berkunjung ke Setia City Mall, inilah kali pertama ke situ. Ianya adalah usahama antara S P Setia dan Asian Retail Investment Fund. Pandangan pertama.... pusat beli belah ini memang menarik dan banyak pilihan. Kami tak habis round pun, penat dan membawa 'powerpuff girl' ni bukannya mudah. 

Tapi, bagi Ummi ianya masih tidak sesuai dengan standard Ummi. Hehehe... jangan salah faham pula. Harga barang-barangnya agak mahal bagi Ummi. Tapi sempat juga kami belikan mainan Haseena di Mothercare, manakala mainan Kakak dan adik di sebuah kedai CD. Ada diskaun :) Ini laman webnya kalau ada sape-sape yang berminat nak ke sana http://www.setiacitymall.com/ atau FBnya setiacitymall.

Di dalamnya ada Parkson, Harvey Norman, Zara, GSC, UniQlo, Fitness First dan sangat banyak kedai di situ untuk Ummi sebutkan satu-persatu. Tempatnya selesa untuk semua orang, tempat letak kereta pun luas. Pilihan makanan pun pelbagai, pilih aje. Ummi tak sempat nak ambik gambar banyak-banyak, hanya sekadar yang dipaparkan saja. Hanya surau je kami tak singgah sebab solat di luar kawasan.




 Kat kedai CD ni kami beli Zikir Terapi 2, set Doraeman dan mainan Kakak dan Adik 

 Suka betul anak dara Ummi ni membelek beg kecil di Fossil

 Tandas di sini memang sangat bersih

Set Doraemon yang diminta oleh kakak tapi adik-adiknya yang main

Thursday, November 7, 2013

Kita makin hilang hidup bermasyarakat

"Ishh... aku tak nak komen. Aku ada anak pompuan jugak."
"Entah la, biar je la diorang tu. Lebih baik aku jaga anak aku sendiri."
"Kau tak payah nak tegur-tegur anak aku, pandai la aku nak jaga anak sendiri."
"Ingat, awak pun ada anak jugak..."

Dialog-dialog seperti di atas tentunya seringkali kita dengar di sekeliling kita. Kadang-kadang ianya membuatkan kita berada di persimpangan kan.

Hari ini suasana hidup tidak sama seperti dulu-dulu. Sekarang, masing-masing dengan hal sendiri. Makin canggih teknologi, makin meningkat pula rasa ke'aku'an di dalam diri. Ummi bukannya siapa pun untuk mengulas perkara ni tapi hanya nak berkongsi sedikit pandangan yang tentunya sangat fakir. Jika ianya baik maka amalkan tetapi jika tidak, jadikan sempadan.

Sebentar tadi, Ummi terbaca di dalam Facebook mengenai pasangan kekasih remaja yang telah memasukkan video mengenai kasih sayang mereka. Remaja lelaki ni sedang mengambil SPM, manakala yang perempuan pula tidak Ummi ketahui. Berdasarkan link Facebook terbabit Ummi menjejak mereka, nyata ada beberapa keping gambar yang diupload tu sungguh tidak sepadan dengan usia remajanya. Tatkala sedang membaca status usia hubungan mereka, seorang daripada rakan Ummi mengatakan sesuatu yang maksudnya seperti dialog di atas. Lantas Ummi tersenyum sendiri dan mengatakan lebih kurang begini...

"Ya, kita masing-masing ada anak. Kita bukannya nak masuk campur urusan orang lain apelagi nak mengata. Cuma, bila kita tengok benda-benda macamni kita peringatkan diri sendiri jugak."
"Kita pun takut sebab kita ada anak tapi sampai bila kita nak sellfish, makin lama kita makin hilang tanggungjawab pada masyarakat dek sebab takut nak tegur, nanti terkena pada anak sendiri."

Pada Ummi, kejatuhan akhlak orang-orang zaman sekarang adalah disebabkan sikap kita sendiri. Masing-masing takut nak bersuara sebab nanti berbalik pada ahli keluarga sendiri. Sudahnya, kita langsung tak mempedulikan hal keliling hanya kerana taknak ahli keluarga jadi seperti apa yang kita tengok. Apakah terjamin jika kita tak cuba membantu atau menegur, ahli keluarga kita terselamat? Hakikatnya tidak, kerana pada perkiraan Ummi kalau hari ini kita tidak mengambil berat entah-entah esok lusa diusiknya juga ahli keluarga yang kita sayang.

Mengambil berat, mengambil peduli, menegur, membantu atau apa saja perbuatan yang seumpamanya bukanlah bermaksud untuk mencampuri urusan orang lain. Kita sayangkan mayarakat, jadi kitalah yang menjaganya daripada tercemar. Kalau masing-masing membisu, siapakah yang akan mengambil tanggungjawab menjaga keharmonian yang kita nikmati ini.

Sahabat-sahabat sekalian... bukanlah tujuan Ummi untuk mencari aib, mencampuri urusan atau memandai tetapi sedikit daripada pandangan ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan bersama. Janganlah difikirkan dosa tanggung sendiri dan kubur masing-masing. Terfikirkah kita bahawa kalau kita tiada nanti kubur yang akan kita duduki itu memerlukan orang lain untuk menggalinya, malah kain kafan juga akan dibalut oleh orang lain. Jadi, janganlah kita hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri.

Janganlah kita mengundang masalah kepada orang lain. Ingatlah, apa jua yang kita lakukan haruslah memberi manfaat kepada orang keliling, bukannya mendatangkan mudarat.

Ummi berdoa agar hidup kita lebih tenteram, terlindung daripada fitnah malah dijauhkan daripada segala perbuatan mungkar. Marilah kita menjaga keharmonian masyarakat ini tetapi tidaklah sehingga mencampuri urusan orang lain. Kita saling mengingati supaya dapat menjaga kebaikan sehingga bila-bila.

Maaf kalau pandangan yang fakir ini menyakiti hati mana-mana pihak.... 

Deraan kanak-kanak di pusat asuhan Taman Melati, KL

Minggu lepas kita dikejutkan dengan pendedahan seorang bapa mengenai penderaan pengasuh terhadap kanak-kanak dalam jagaannya di Taman Melati, KL. Sampai hari ni, Ummi langsung tak sanggup nak tengok video tu. 

Sungguh hati tak keruan bila dengar budak-budak nangis, macam mana la pengasuh tu sampai hati buat macamtu ye? Bila dibaca pelbagai sumber, rupanya aduan terhadap taska ni telah dibuat sejak 2 tahun lalu oleh ibu bapa kepada salah seorang kanak-kanak di situ. Doktor terbabit telah mendapati kesan yang terdapat pada kaki kanak-kanak tersebut bukanlah akibat demam campak tetapi deraan. Malangnya perbuatan pengasuh tersebut berlarutan sehinggalah ianya terbongkar pada 18 Oktober 2013 setelah seorang bapa nekad meletakkan kamera tersembunyi pada beg pakaian anaknya. Menurut pengadu yang hanya dikenali sebagai Mohamad itu, idea tersebut timbul apabila tingkahlaku anaknya berubah sejak 4 bulan lalu. Malah beliau turut dibohongi apabila ditanya mengenai kanak-kanak disitu yang seringkali dilihat menangis, pengasuh mengatakan ianya adalah perkara biasa setelah mereka mandi. Rakaman tersebut telah dikongsi beliau dengan salah seorang ibu yang turut menghantar anaknya di taska tersebut.

Kini, rakaman dan laporan mengenai kes deraan itu telah dibuat kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Berikutan daripada siasatan kes ini, taska terbabit telah didapati tidak berdaftar walaupun didalam akaun Facebook tercatat berdaftar dengan JKM. Pengasuh terbabit turut diarah menyerah diri.

Kita tunggu dan lihat apakah perkembangan selanjutnya mengenai kes ini nanti. 

Ummi sangat menyesal dengan apa yang telah berlaku, adalah sangat diharapkan agar kita mengambil pengajaran daripada kisah ini. Sebagai ibu, Ummi bukannya tak pernah memarahi anak-anak, malah apabila kita berada dalam keadaan yang sangat marah kita kekadang terlebih emosi. Secara jujunya, Ummi pernah marahkan Kakak sebab dia tak nak dengar cakap. Masa tu memang amarah tahap yang tertinggi, emosi tak dapat dikawal. Tapi bila reda, Ummi menyesal amat sangat. Cepat-cepat minta maaf pada dia, sampai hari ni peristiwa tu memang melekat kat kepala. Tapi itulah pengalaman yang mengajar Ummi tentang kesabaran, malah teknik mengasuh anak-anak juga Ummi pertingkatkan melalui bacaan dan sumber-sumber lain. Bukan mudah nak menjaga ahli-ahli syurga ni, kesabaran memang akan sentiasa teruji.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Allah melindungi kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat. 

Tuesday, October 29, 2013

Kisah tauladan daripada blog kenalan

Ilmu bukan hanya dikutip melalui buku atau guru sahaja, zaman serba canggih ni di mana-mana pun ilmu boleh kita kutip asalkan bukan ilmu yang terpesong. Pengalaman seseorang juga boleh menambahkan ilmu kita selain menjadikannya sebagai pengajaran dalam hidup.

Lalu, janganlah dibataskan sumber pencarian maklumat kita. Mana yang baik jadikan panduan, mana yang tidak jadikan sempadan. Dan, kita pun janganlah menilai orang lain hanya berdasarkan luarannya sahaja. Entah-entah orang yang kita pandang sinis tu lagi hebat ilmunya.

Sebenarnya sudah agak lama Ummi membelek blog yang satu ini. Ianya banyak memberikan pengajaran dan ilmu pengetahuan buat Ummi. Selain daripada mengikuti kisah Abang Naj Mi sendiri, Ummi dapat memahami sedikit sebanyak golongan seperti beliau. Syabas Abang Naj Mi kerana abang sangat berani berkongsi kisah demi kebaikan orang lain. Moga Allah melindungi kita semua dan terus dilimpahi taufik hidayahNya...

Berikut adalah salah satu kisah yang menarik untuk Ummi kongsikan. Tapi maaf ye, sebab Ummi tak pandai nak paste terus kisah Amir kat dalam blog ni. 

Wednesday, September 11, 2013

Food poisoning lagi


Alhamdulillah. Allah menguji Ummi dengan ujian yang sangat kecil. Food poisoning lagi. Alhamdulillah.

Tentulah ini peringatan kecil daripadaNya kerana sebagai hambaNya, Ummi selalu leka dalam menjaga kesihatan. Kalau tidak diuji kerana makanan tentulah kerana sebab lain. Bukankah penyakit itu penghapus dosa-dosa kecil? Ya, Ummi harus redha dan memperbaiki segala kekurangan.

Sejak semalam memang rasa tak sedap perut, tapi masih bertahan. Kiranya masih mampu mengawal diri daripada melayan rasa tidak sedap badan. Ubat yang ada di rumah pun telah ditelan dengan harapan ianya akan kembali kepada keadaan seperti biasa.

Namun, ianya berlarutan sehingga ke hari ini. Tengahari tadi makin menjadi-jadi pula sakitnya, keluar masuk tandas. Selain itu, rasa pening, loya dan akhirnya muntah. Oh, tidak dapat menahan diri lagi, lalu Ummi ke klinik yng ada di dalam bangunan yang sama dengan pejabat Ummi. Setelah diperiksa, ubat-ubatan di atas terus dimakan. Petugas klinik Puan Jamaliah yang sangat baik hati tu, menyuruh Ummi menelan ubat tersebut di hadapannya.

Petang ini, badan semakin lemah rasanya. Keletihan yang amat sangat tapi Ummi masih mampu bekerja macam biasa cuma tidak secergas selalu. Oh, cepatlah sembuh dan moga sakit ini mampu menghapus dosa-dosa kecil Ummi.

Sebenarnya teringin sekali nak memasukkan gejala penyakit ini tapi mungkin tidak untuk entry kali ini. InsyaAllah lain kali ya. Doakan kesembuhan Ummi ye, terima kasih. Sayang semua.

Monday, September 9, 2013

Kenduri Kahwin Ma Effa




Majlis kenduri kahwin ni berlangsung 17 Ogos lepas tapi baru hari ni dapat upload. Ianya berlangsung di Bandar Baru Sentul, sedehana tapi meriah dengan dewan dihiasi warna merah jambu. Nampak manis je...

Effa ni adalah anak kepada pengasuh kakak dan adik dulu, Nenek Ina dan Tokki Ibrahim. Alhamdulillah, hubungan baik ini masih terjalin mesra biarpun hampir 2 tahun mereka sudah tidak mengasuh anak-anak Ummi. Jodoh Effa dengan orang Johor, negeri asal Nenek Ina sendiri. Kira macam balik kampung jugak la.

Semoga Effa bahagia hingga ke akhir hayat, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Mee Segera, Maggi Kari Adabi



Ini gambar terbaru anak-anak Ummi, petang Sabtu lepas sewaktu hujan lebat melanda Subang Bestari. Masa ni kami berempat sedang enak menikmati mee segera Maggi Kari Adabi :) Sesekali pekena mee maggi ni memang superb kan!

Alhamdulillah, rasanya yang tidak terlalu pedas memang mampu dijamah oleh kakak. Tapi Ummi banyakkan kuah untuk kurangkan lagi pedas sebab si kecil yang halus tu join sekali makan, perutnya tak biasa sangat dengan makanan pedas. Risau sakit perut pulak.

Masa ni abahnya sedang bertugas di Bukit Tunku. Uhhhuuu abah.... jangan cemburu ok!

*pesanan : sila jangan amalkan memakan mee segera ini dengan kerap kerana khuatir  akan kandungannya yang boleh menjejaskan kesihatan pada masa akan datang.

Thursday, September 5, 2013

Misi turunkan berat badan

Alhamdulillah...

Kalau ikut kiraan, hari ni dah 16 hari Ummi dalam proses menurunkan berat badan. Sudah berjaya mengambil nasi sehari sekali berbanding sebelum ini ikut kata perut aje. Berat sebelum memulakan proses ini ialah 60kg, dengan ketinggian hanya 150cm rasanya ia bukanlah ideal sangat dengan Ummi.

Walaupun Ummi tidak tergolong dalam orang-orang yang mengalami kenaikan berat badan secara mendadak tapi rasa tak puashati dengan keadaan diri sendiri. Setelah 7 tahun mendirikan rumahtangga, berat Ummi naik dalam 8-9 kg gitu. Sekarang shape dah memang tak macam dulu. Nak pakai baju kurung yang dulu pun malu sebab ngam-ngam je kat badan. Boleh pakai tapi sendiri rasa malu.

Sebelum ni Ummi pernah mengawal pemakanan tapi tak bertahan lama, paling lama pun tak sampai sebulan. Cumanya sekarang ni rasa lebih bermotivasi sebab En. Suami juga mempunyai misi yang sama dengan Ummi. Dan, kali ini juga kami mengambil suplemen (makanan tambahan) supaya misi kami akan sampai kepada punck kejayaan! Uhhuu... ayat tak boleh tahan kan...

Kami mengambil suplemen Shaklee iaitu Lecithin, Omega, ESP dan Cinch perisa Cafe Latte. Tapi Ummi tak ambik Cinch tu sebab ibu yang menyusukan bayi tak digalakkan mengambilnya. Baru-baru ni Ummi siap buat jadual pengambilan suplemen lagi, hehehe... Bukan apa, banyak betul nak kena makan jadinya selalu confuse. Bila dah ada jadual senang sikit nak ikut. Tampal je kat fridge, hari2 boleh tengok :)

Setakat 16 hari ni kami takde la rasa perubahan yang ketara, macam biasa je. Lepas sebulan nanti nak tengok hasilnya. Rasa seronok jugak la sebab dah berjaya mengurangkan pengambilan makanan berlebihan, makan ikut keperluan sahaja. Alhamdulillah, Ummi takde pulak rasa lapar yang amat sangat bila tak makan nasi, rasa macam biasa2 je. Dulu, jangan cakap la. Asyik teringat nasi je. Perut orang Melayu katakan :)

Oh, lupa pulak nak ambik gambar suplemen tu. Nanti la ye Ummi update kan :)

Ok, kita akan berjumpa lagi nanti. Jaga kesihatan ye kawan-kawan. Sekian.

Wednesday, September 4, 2013

Terlebih bunga daa...


Bulan ni bulan hati terlebih berbunga, hehehe... 

Memang selalu berbunga tapi sejak kebelakangan ni bunga di hati Ummi macam terlebih pulak :) Alhamdulillah, nikmat Allah yang tak boleh dibandingkan dengan perkara lain.

Tuesday, September 3, 2013

Cinta Jannah


Apa yang ada dengan drama Cinta Jannah ni? Ehehehe... saya terpengaruh dengan umpan kawan sepejabat dan adik sendiri. Kata mereka cerita ni agak menarik juga..



Jadi, tiapkali waktu rehat bila tak keluar lunch memang Ummi akan buka tonton.com.my. Mula-mula tengok bukan daripada episod 1 tapi terus lompat ke episod 6. Ohh, tak aci kan. Lepas tu baru Ummi lompat semula ke episod 1 bila hati ni rasa cam best jugak drama ni :) Jadinya, sampai episod 11 ni memang Ummi follow tapi di tonton aje. Kalau nak tengok kat rumah jangan haraplah, jadual sangat penuh di rumah ok!

Setakat episod 11 ni, nak kata seronok sangat tidak tapi menarik minat Ummi untuk terus follow. Mana tahu makin lama makin menjiwai kan. Siapa tak kenal Nelydia Senrose yang cantik tu kan? Dia memang pandai berlakon malah drama Setia Hujung Nyawa masih menghantui peminat drama tanahair. Cuma kali ini dia digandingkan dengan Aeril Zafrel yang good looking tu. Walaupun sehingga episod 11 ni tak nampak semantap Setia Hujung Nyawa, lakonan Aeril masih baik. Ummi pernah menonton lakonannya dalam Budak Pailang, ada peningkatan kualiti. Eceeewaahh... pengulas tak bertauliah ni suka-suka je bagi komen. Ada babak romantik tu buat Ummi senyum meleret jugak. Erkkk... hah terus teringat kat En. Suami :)

Rumusannya akan Ummi buat kemudian ye, hope drama ni tak mengecewakan. Good job Nelydia dan Aeril :)

Thursday, August 15, 2013

Suami pukul isteri di dalam lif

Assalamu'laikum...

Hari ini kita digemparkan dengan berita seorang suami memukul isterinya dengan teruk di dalam lif di salah sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam. Tatkala Ummi menonton rakaman itu rasa sebak amat sangat di dada, tak terkata dek perbuatan seperti itu.

Ummi tak mahu mengulas masalah yang dihadapi oleh pasangan ini, namun rasa simpati amat sangat kepada wanita tersebut yang tentunya menanggung sakit tak terhingga. Melihat cara pukulan itu nampak sangat ianya dilepaskan tanpa belas kasihan. Allahhuakbar. Kasihan juga pada anak-anak mereka yang terpaksa melihat ibu dipukul teruk, tentulah trauma seumur hidup. Kalaupun nanti dapat memaafkan perbuatan bapa mereka, kejadian itu pasti terpahat di ingatan selamanya.

Bukanlah cuba menjadi hakim kepada kes seperti ini, namun Ummi berpendapat kalaulah isteri itu tergolong dalam golongan yang tidak baik sekalipun, adalah sangat tidak wajar diperlakukan begini. Tegur, nasihat dengan cara paling berhikmah. Memang isteri itu hak suami tetapi janganlah sampai diperlakukan sebegitu rupa. Isteri masih ada maruah yang perlu dipelihara, bukan jatuh pun maruah suami kalau bersabar dan menangani masalah dengan cara berhemah.

Rasulullah S.A.W bersabda :

"Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang paling baik kepada isteriku." (Rujukan : H/R At Thahawi)

Suami itu acuan buat seorang isteri. Baik suami, baik jugalah isterinya, InshaAllah. Andai mahu berpisah dengan isteri, pulangkanlah kepada keluarganya dengan cara terhormat. Kalau dulu boleh dirisik, dipinang, dinikahi dengan cara paling mulia, mengapa tidak berbuat begitu juga tatkala ingin menceraikannya. 

Ummi berharap anak-anak suami isteri ini terlindung daripada menyimpan dendam akibat perilaku bapanya. Semoga isteri ini mendapat pembelaan yang sewajarnya serta suami tersebut juga mendapat hidayah Allah.  

Friday, July 12, 2013

Sebahagian daripada hidup Ummi



Kalian adalah sebahagian daripada hidup Ummi...

Kakak... 
sudahpun berusia 6 tahun pada tanggal 9 Jun lepas. Semasa lahir di PUSRAWI, Jalan Tun Razak, KL beratnya 3.2 kg ketika kandungan mencecah 38minggu. Alhamdulillah, kelahirannya agak mudah dan cepat. Sangkaan mak mertua ummi akan bersalin malam hari, tapi tepat jam 1.29 petang dia lahir ke dunia. Ummi ingat lagi masa tu, dia lahir sekitar azan Zuhur berkumandang.

Alhamdulillah, dia makin bijak mengurus diri malah nampak ciri-ciri sebagai seorang kakak. Sekarang sudah pandai membaca walaupun tidak sepantas orang lain. Nampaknya kakak makin menyukai subjek Matematik sejak buat latihan bermula awal tahun lalu. Semuanya hasil jadual harian yang Ummi susunkan, kalau tak macam caca marba dia belajar. Ummi sendiri pun pening nak mengatur jadual anak-anak tapi bila jadual harian ada, ianya memudahkan kerja. Nampak teratur sikit.

Hujung tahun ni abah dan ummi akan shopping baju sekolah kakak pulak. Sehingga ke tarikh ini kami belum dimaklumkan sekolah Ashiqin yang mana satu. Harapnya dia dapat ke sekolah yang dekat dengan rumah tu, tak sampai 5 minit dah sampai. 

Kakak juga semakin giat bertanya itu dan ini yang mana membuatkan ummi dan abah kena belajar semula atau cari maklumat tambahan. Kadang-kadang tak terjangkau soalannya, ye la budak-budak kan. Semoga kamu jadi anak yang solehah nak...

Adik...
usianya sudah menginjak 3 tahun awal januari lalu, 5hb. Dia seorang yang aktif, peramah dan agak nakal berbanding kakak. Tingkahlakunya kadang-kadang membuatkan ummi dan abah naik panas juga, selalunya kalau tiba-tiba dia mengatakan "Adik takde buat apa-apa pun." Haaa, ada la tu yang tak kena. Baru-baru ni adik makan nasi yang berwarna pink, nak tau kenapa warna pink? Dicampurnya ais bandung cincau ke alam nasi. Selamba pulak tu cakap sedap! Aduhai anak... 

Walaubagaimanapun, adik ni pandai cairkan hati orang. Kalau dah buat salah atau nak minta sesuatu dia akan datang cium, peluk atau bodek ummi dan abah. Ummi juga menggelarnya anak abah sebab apa-apa pun nak abah juga. Kalau dah tidur kat bilik dia boleh turun bawah cari abah bila tengok abahnya takde kat sebelah. Adik jugalah peneman abah tengok tv tatkala ummi, kakak dan Seena duduk mengulangkaji dalam bilik atas.

Yang paling saya takutkan ialah bilamana abahya ke luar daerah untuk bertugas. Adik akan menangis kuat sambil memanggil nama abah. Selalunya tengah malam, itu yang buat kakak marah pada dia. Ye la, kacau orang tidur kan.

Semasa kecilnya, adik lahir ketika berusia 37minggu, beratnya cuma 2.9kg sahaja. Tapi bila dah besar dia pulak agak chubby. Usia setahun adik dah pandai berjalan tapi giginya hanya tumbuh masa berumur setahun 3 bulan. Ummi dan abah pernah jumpa doktor sebab risaukan giginya yang tak tumbuh lagi. Doktor cakap memang ada budak yang lambat tumbuh gigi tapi jarang sampai setahun lebih. Adiklah salah seorang daripadanya.

Haseena...
setakat ni dialah anak bongsu kami :) lahir pada 9 April 2012 di PUSRAWI Kota Damansara. Beratnya mencecah 3.45kg, mirip kakaknya pada waktu itu. Kelahirannya juga mudah seperti kakak-kakaknya, sakit sekitar jam 8 pagi dan lahir pada 9.25 pagi. Tak sempat salin baju pun, dengan 2 kali push dia selamat dilahirkan. Masa sampai di hospital, bukaan dah 9cm. Mujur tak bersalin dalam kereta.

Setakat ini, Haseena agak pendiam berbanding kakak-kakaknya. Malah doktor sendiri pun perasan dia tak banyak cakap. Tapi, bila menangis suaranya sangat tinggi. Tak padan dengan orangnya yang kecil sahaja. Beratnya kini cuma 7.5kg sahaja. Dia seperti kakaknya Ashiqin, kerap sakit dan pernah ditahan di wad sebanyak 2 kali.

Sekarang dia dah pandai berjalan, cuma kurang pandai bercakap. Satu-satunya perkataan yang disebutnya ialah 'nak'. Ketika dia mula bertatih, abahnya tiada di rumah, jauh di Sabah. Hanya gambar dan video call penghubung kami masa tu. Sedih jugak sebab itulah satu-satunya perkembangan anak-anak yang berlaku tanpa di depan mata abah. 

Itulah serba sedikit tentang 3 beradik yang bernama Nawal di pangkalnya. Abah dan ummi doakan supaya kalian menjadi orang yang berguna dan memberi banyak manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Semoga terus membesar dengan baik dan dalam rahmat Allah hendaknya. 

Rindu saat ini....



Ummi sangat merindui saat-saat ini. Oh datanglah semangat dan kekuatan untuk meneruskan misi itu.


Wednesday, July 10, 2013

1 Ramadhan 1434H



Ini gambar kami pagi tadi kecuali kakak dan abah yang masa tu sibuk loading beg sekolah ke dalam kereta. Ummi cuma nak berkongsi kisah adik yang excited menyambut puasa.

Adiklah yang bangun dulu daripada kakak masa makan pagi tadi. Oh ya, mereka tak bersahur pukul 5 pagi ok, tapi pukul 7 pagi. Bagi adik yang baru berusia 3 tahuni ni, dia tetap nak puasa walaupun pada Ummi dia tidak tahu pun makna puasa melainkan tidak makan dan minum. Selesai 'bersahur' dia tiba-tiba bercakap....

Adik : Ummi, hari ni adik puasa kan.
Ummi : Ya, adik puasa. Kan tengah sahur tu.
Adik : Adik nak pakai baju kurung macam Ummi la.
Ummi : Ye? Ok, nanti Ummi ambikkan.

Sebetulnya dia perasan Ummi pakai baju baru hari ni. Semalam pun Ummi sempat membelikan dia sehelai baju kurung. Bukanlah untuk apa, cuma Ummi rasa di bulan yang baik ni Ummi nak meraikannya semeriah yang boleh. Kalau raya boleh kita meriahkan, kenapa tidak bulan puasa kan?

Ummi berazam supaya dapat menambah pahala, kebaikan, kesabaran dan yang baik-baik sahaja mulai bulan ini. Semoga azam ini tidak luntur sekerat jalan. Pagi nak pergi kerja tadi, dengan berbaju baru harapnya motivasi diri ni lebih tinggi dan tak luntur dek godaan-godaan di bulan puasa.

Seronok melihat anak-anak gembira terutamanya di awal pagi. Adiklah yang paling gembira hari ni sebab dia dah merasmikan dulu baju dan kasut raya. Semoga kamu jadi anak yang solehah dik. Selamat berpuasa buat adik dan kakak biarpun Ummi tak pasti sampai pukul berapa anak-anak syurga ini mampu menahan lapar :) Kakak bersabar ye. Katanya nak tunggu Ummi balik baru nak makan. Sebelum itu saya dah berpesan kalau kakak tak mampu menahan lapar, makan sajalah di sekolah nanti. Tengoklah petang nanti hasilnya ya :)

Sekian.

Salam Ramadhan Kareem 1434H

Salam Ramadhan Kareem buat semua umat Islam di seluruh dunia.

Alhamdulillah kerana kita masih diberikan kesempatan, rezeki, peluang dan apa saja perkataan yang sesuai untuk menikmati berkatnya Ramadhan 1434H ini. Syukur sangat-sangat. Moga ianya lebih baik daripada sebelumnya.

Mohonlah agar dosa-dosa kita diampunkan tanpa jemu, beramallah sebaik mungkin seperti esok kita akan pergi dan berusahalah menjaga kesihatan semaksimum mungkin supaya kita terus kuat beribadah walaupun Ramadhan akan berakhir nanti. Janganlah kita hanya mengejar Ramadhan dan kita tinggalkan bulan-bulan yang lain. Lazimnya, bulan mulia ni dikejar oleh semua orang tetapi bulan-bulan lain dipandang sepi.

Ummi mengambil kesempatan memohon ampun maaf kepada semua baik yang dikenali secara rapat atau di dunia maya cuma. Kekhilafan diri kadangkala tak dapat dielakkan, cuma kita kenalah berusaha untuk memperbaikinya. Buat suami yang akan bertugas di luar daerah, harapannya agar janganlah ditinggalkan terawikh walau sesibuk manapun. Jaga kesihatan baik-baik, jangan lupa bersahur nanti. Semoga dapat menjalankan tugas sebaik mungkin. Buat anak-anak yang dikasihi... jangan nakal-nakal ok. Ummi sendirian menguruskan kalian nanti, harap kita sama-sama bekerjasama dengan baik macam Wonderpets tu. Selamat berpuasa kakak dan adik. Untuk keluarga di Perak dan Pahang, selamat berpuasa juga. InsyaAllah jika diizinkan Allah kita puasa sama-sama ya. Dan... buat semua yang dikenali, marilah kita tingkatkan semangat dan usaha untuk menjadi yang terbaik bermula saat ini. Jangan lupa ambil pahala melewatkan sahur dan mempercepatkan berbuka ya...

Sekian.


Sunday, July 7, 2013

Mak, saya faham sekarang...

Tatkala Ummi menaip di ruangan ni, sudah lebih daripada sejam berjaga. Malah sudah 4 kali juga Ummi turun naik tangga!

Kakak, adik dan Seena.... sekarang Ummi makin faham, mengerti dan merasai kenapa opah selalu letih tatkala Ummi masih kecil dulu. Apa yang Ummi tuliskan bukan kerana tidak redha dengan apa yang Ummi lalui tapi sebagai panduan malah pengalaman ini akan ditempuh oleh kalian kelak. Nanti, kalian pasti mengerti apa itu keletihan yang dirasai oleh setiap insan yang bergelar ibu.

Dulu, Ummi hairan mengapa opah kalian selalu keletihan, pernah tidurnya duduk, apatahlagi kalau dapat baring matanya pasti cepat lena walau dalam tempoh yang sangat singkat. Sekarang, zaman opah beralih pula kepada Ummi. Oh, tetaplah bersabar hati kerana sabar ini sering berada di penghujung.

Dan, pengajaran yang paling besar Ummi dapat ialah maksud dan hakikat pesanan Rasulullah mengenai tiga tempat teratas diduduki oleh ibu dalam golongan mereka yang wajar dihormati. Ya Rasulullah, umatmu yang kerdil ini baru saja memahaminya.

Jujurnya Ummi tak berjaya menahan airmata ini. Terasa sangat kecil diri dihadapanMu Ya Rabb.

Pesanan untuk semua lelaki.... janganlah ditinggalkan ibu kalian bilamana diri telah berkahwin. Tanggungjawab kepadanya harus dilaksanakan hingga ke akhir hayat, kedudukannya mengatasi isterimu. Namun bukanlah meminta untuk tidak mengendahkan keperluan isterimu begitu saja. Rajinkanlah membantu isterimu walaupun dia cuma surirumah. Ummi percaya, kalaulah tanggungjawab ini berpindah kepada sang suami, ianya tidak akan bertahan lama. Bukan angkuh, tapi renunglah sedalam-dalamnya mengapa Allah memilih wanita untuk melalui semua ini. Hargailah isteri dengan kasih sayang dan kesabaran kerana mereka juga diuji dengan kesabaran dalam mengurus rumahtangga.

Sekian. 

*anak-anak Ummi, tidurlah sayang. Sudah 5.28 pagi ni, banyak lagi perkara yang perlu Ummi uruskan siang nanti.

Thursday, June 20, 2013

Entri takde tajuk

Semalam, ketika mencari baju tidur untuk anak-anak, kakak tiba-tiba menyoal.

Kakak   : Ummi, kita nak naik atas ye? (bilik tidur atas maksudnya)
Ummi    : Ye kakak, kenapa?
Kakak   : Abah naik sekali tak?
Ummi    : Abah naik kemudian. Abah kan tengah basuh pinggan.
Kakak   : Sian abah. Ummi tak tolong abah ke?
Ummi    : Bukan Ummi tak nak tolong, tapi kan kakak dah nak tidur.
Kakak   : Tak pe la. Ummi tolong abah dulu, nanti kita naik la sama-sama.
Ummi    : Kakak, sekarang dah pukul 10. Kakak, adik ngan Seena kena tidur. Esok kan nak sekolah. Nanti
               Ummi tolong abah. Tidur dulu ye... Pergi salam abah dulu, ajak adik sekali ye.
Kakak   : Ok...

Sekarang memang kakak dah pandai bertanya itu dan ini, sebab dan musabab malah soalan yang kadang-kadang tak terjangkau. Fikirannya sudah nampak matang berbanding dulu. Syukur Alhamdulillah.

Mungkin selama ni dia selalu tengok abah ditinggalkan tatkala kami empat beranak masuk ke bilik tidur. Memang abahnya jugalah penyelesai kepada kerja-kerja rumah yang terpaksa Ummi tinggalkan bila mengejar waktu tidur mereka. Setiap malam Ummi memastikan tiga anak dara ni tidur selewatnya 10.30 malam selepas melakukan sedikit ulangkaji pelajaran. Kebiasaannya jam 9.30 malam memang Ummi dah angkut diorang naik atas.

Dulu sebelum ada jadual harian, agak kelam kabut sikit. Malah kami tak boleh fokus bilamana melaksanakan sesuatu. Mana nak buat kerja rumah, mana nak membuat aktiviti atau ulangkaji dengan anak-anak dan 1001 perkara lain yang perlu diuruskan. Jadi, Ummi syorkan kepada ibu bapa lain untuk membuat satu jadual rutin yang fleksibel supaya urusan harian lebih teratur. Janganlah ketat sangat jadualnya sampai tak boleh diubah pula, ikutlah keadaan semasa. Walaupun anak-anak masih kecil, jadual ini sedikit sebanyak mendisiplinkan mereka dan kita juga.

Sekarang pun kami masih terkial-kial menguruskan aktiviti harian tapi kami akan tetap berusaha untuk menjadi yang terbaik, insyaAllah..

Tuesday, June 18, 2013

Sambil beriadah kita mendidik

Assalamua'laikum dan selamat sejahtera...

Kali ni Ummi nak sentuh sket bab riadah. mengingatkan kembali waktu yang diluangkan bersama anak-anak Ummi, banyak perkara yang berlegar kat kepala ni. Oh ya, Ummi bukan sesiapa, pakar pun tidak apatah lagi orang yang hebat bila bercakap mengenai keibubapaan. Apa yang dituliskan di sini sekadar perkongsian pendapat dan pengalaman...

Setiapkali hujung minggu biasanya Ummi memang tak lepaskan peluang untuk beriadah bersama anak-anak di taman permainan ataupun tempat lain yang boleh menggembirakan mereka. Setelah 5 hari anak-anak bersekolah... (ecece... macam dah sekolah rendah..) pastinya rehat di hujung minggu adalah sesuatu yang sangat dinantikan. Bermain basikal, berlari atau apa saja.... bestnya jadi kanak-kanak kan, sebab tak payah nak pikir apa-apa :)

Sesuatu yang selalu Ummi perhatikan tatkala beriadah ni ialah masih ada ibu bapa yang tidak mengawasi anak-anak, tapi bukanlah semua ye. Nanti ada yang salah faham pula. Anak-anak dilepaskan begitu sahaja, tambahan pula anak lelaki. Mungkin bagi sesetengah ibu bapa, anak-anak ini wajar diberi kebebasan untuk bermain di luar. Memang tak salah pun nak buat macamtu, tapi yang masih kecil tu janganlah dibiarkan. Soal keselamatan sayang. Aduhai, kalau anak-anak yang dah besar ni tak kisahlah kan. Kalau yang berumur dalam lingkungan 12 tahun ke bawah ni, rasanya eloklah dikawal.

Selain daripada isu-isu keselamatan, ada juga perilaku anak-anak yang boleh kita pantau semasa beriadah ni. Sangat elok kalau kita sambil bermain sambil kita terapkan akhlak-akhlak yang baik supaya mereka terdidik daripada kecil akan budi pekerti yang mulia. Pengalaman Ummi sendiri berdepan dengan kanak-kanak yang agak nakal ini membuatkan Ummi kuat berfikir macammana caranya nak menerapkan akhlak yang baik buat si kecil. Kita semua tahu, anak-anak ni memang adakalanya nakal, tapi kalau dibiarkan melarat jadinya. Lumrahlah mereka bergaduh atau berbuat sesuatu yang tidak sepatutnya kerana akal mereka tidak seperti kita. Namun, kitalah yang bertanggungjawab untuk mendidik mereka. Pengaruh kawan-kawan juga menyumbang peribadi anak-anak ni. Jadi, masa inilah kita boleh kenal kawan-kawan anak dan lihat sendiri cara mereka berkawan.

Anak kedua Ummi, Inshirah pernah kena sepak di muka dengan seorang budak lelaki sebaya dengannya. Kejadian betul-betul berlaku di depan mata. Bayangkanlah di depan Ummi perkara tu berlaku, sangat pantas. Secara jujurnya memang Ummi marah, tapi bila bibiknya memohon maaf ianya menyejukkan sedikit hati Ummi. Sebenarnya kasihan pada budak lelaki tersebut, Ummi selalu melihat dia bermain di taman tanpa ditemani ibu atau bapanya. Malah sehingga kini Ummi langsung tak kenal ibu bapanya. Peristiwa ni memberi pengajaran kepada Ummi supaya lebih kuat berusaha mendidik anak-anak dan janganlah fokus kepada usaha kita meningkatkan ekonomi keluarga semata-mata. 

Ummi juga perasan, ada juga anak-anak kecil yang beriadah ni kadang-kadang tak menjaga kebersihan diri dan tempat permainan. Selalu juga Ummi terserempak dengan anak-anak yang bermain tanpa memakai selipar atau kasut. Biasanya mereka ini tidak ditemani ibu bapa tetapi bibiknya. Maaf ya, bukan Ummi kata semua bibik itu kurang bersih tetapi segelintirnya memang memandang remeh soal itu. Keluar daripada pintu belakang terus ke taman permainan, kemudian terus masuk ke rumah. Kalaulah kaki tu tercucuk paku atau benda-benda tajam kan dah sakit. 

Sampah pun nampaknya masih ramai yang tak peduli untuk dibuang dalam tong sampah. Kalau makan aiskrim, plastik dan batangnya dibuang begitu sahaja. Bila dibiarkan, lama-kelamaan memang bertimbunlah sampah. Kesedaran sivik kita masih rendah berbanding dengan negara luar terutamanya negara Jepun. 

Sebenarnya kita belajar ilmu keibubapaan setiap masa, tak kiralah dah berapa lama pun berumahtangga. Cara mendidik anak-anak pun akan berubah mengikut masa dan keadaan. Harapan Ummi, semoga kita sentiasa berusaha tanpa jemu untuk menjadi ibu bapa yang hebat. Mana yag baik ambillah sebagai panduan tapi kalau tak baik jadikan pengajaran. Mohon maaf banyak-banyak kalau ada yang menyinggung perasaan...

Wednesday, June 12, 2013

Misi Titisan Emas

Apakah Misi Titisan Emas itu? 

Hari ini ummi akan nukilkan sedikit pengalaman mengenai misi hidup ummi. Mana yang baik jadikan semangat, mana yang kurang janganlah ditiru pula ya. Sebetulnya, catatan ini pedoman buat anak-anak ummi sendiri supaya bila dah dewasa nanti akan mengikut jejak langkah ini. 

Misi ini merupakan misi hidup ummi sendiri, Sejak belum berumahtangga lagi ummi menyimpan cita-cita untuk menyusukan kesemua anak-anak ummi sehingga 2 tahun atau lebih daripada itu. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan berkaitan dengannya walaupun cabaran yang datang  sangatlah hebat dan sesekali semangat itu ada pasang surutnya. Dikurniakan suami yang menyokong penuh penyusuan ibu membuatkan ummi teguh berdiri menyusukan kakak, adik dan Haseena. Abah banyak membantu sepanjang 6 tahun ini, tak tersenaraikan. Syukur sangat. Adakalanya bila susu merudum, ummi dan abah atau pernah juga ummi sendiri berulang alik ke taska menghantar bekalan. 

Peristiwa paling tak dapat ummi lupakan ialah hujung tahun 2012, tatkala ummi tersangat sibuk dengan urusan kerja, pengeluaran susu pula jatuh merudum sangat-sangat (dah bunyi macam bursa saham pulak, hehehe). Setiap hari abah dan ummi berulang alik ke taska, tapi akhirnya ummi kalah juga. Ummi buat keputusan untuk membelikan susu formula memandangkan bekalan yang dihantar pun masih tak mencukupi untuk Haseena. Masa tu ummi menangis dalam kereta bila bercakap dengan abah untuk membelikan susu tin. Rasa sangat bersalah, Allah saja yang tahu isi hati ummi masa tu. Sebelum sampai ke taska, kami singgah di Speedmart untuk membeli susu. Jenuh memilih susu terbaik untuk Haseena memandangkan ummi tiada pengalaman membelikan susu tin untuk kanak-kanak di bawah umur setahun. 

Pengalaman itu takkan ummi lupakan sampai bila-bila. Bukanlah ummi benci dengan susu formula tetapi kepuasan yang ummi dapat apabila menyusukan sendiri anak-anak ummi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Jadi, kepada ibu-ibu lain yang memberikan anak-anak dengan susu formula jangan salah faham ye. Ummi tidak merendah-rendahkan kalian.   

Tapi, Allah benar-benar sayangkan ummi. Susu yang ummi belikan tidak disentuh langsung dek Haseena. Seolah-olah dia faham yang dia perlu berjimat cermat menyusu tatkala itu. Ianya cukup-cukup sepanjang peninggalan ummi ke tempat kerja. Atau, apakah Haseena faham bila ummi selalu nyatakan susu makin berkurang dan ummi mohon supaya dia mengerti dan minum seadanya apa yang dibekalkan. Seingat ummi, sudah 3 kali pengeluaran susu ummi merudum sepanjang setahun 2 bulan menyusukan dia. Alhamdulillah, kami berjaya mengharunginya. 

Sebenarnya, Misi Titisan Emas ini berputik daripada pengalaman mak ummi. Dia menyusukan kami 9 beradik tanpa jemu. Dialah idola ummi cuma cabaran penyusuan ummi sangat berbeza dengan mak sebab dia surirumahtangga dan ummi pula bekerjaya. Banyak perkara dan ilmu yang perlu ummi gali untuk memantapkan diri menghadap cabaran dunia penyusuan samaada melalui pembacaan, pengalaman mahupun penilaian. Ummi namakan titisan emas kerana bagi ummi, setiap titisan susu seorang ibu sangat berharga seperti emas walaupun hakikatnya keberkatan dan kebaikan susu ibu itu tidak dapat dinilaikan.


Enam tahun ummi bergelar pengepam tegar (sebetulnya hanya dengan adik dan Haseena ummi menggunakan pam, manakala kakak ummi marmet sahaja). Kakak menyusu sehingga 2 tahun 3 bulan, adik pula 1 tahun 8 bulan dan Haseena sehingga ke hari ini. Misi untuk Haseena masih belum tamat, ada lagi 10 bulan kalau mencukupi 2 tahun. Mintak-mintaknya rezeki lebih la nanti. Hanya adik saja tak sampai 2 tahun kerana ketika dia menolak untuk terus menyusu, ummi sedang mengandungkan Haseena. Setakat ini, kakak dan adik berhenti menyusu tanpa ummi paksa. Mereka sendiri menolak kerana mungkin ketika itu ummi sedang hamil. Tak terfikir pun untuk memberhentikan mereka menyusu tapi secara automatik mereka berhenti sendiri. Jadi ummi takde pengalaman tandem nursing atau menggunakan kaedah tertentu untuk memberhentikan penyusuan. 


Ummi sangat berharap supaya misi ini berjaya semaksima mungkin. Harap-harap semangat, cita-cita dan kesabaran dalam menempuh cabaran penyusuan tidak akan pudar malah akan berkobar sentiasa. Sebenarnya bukan mudah untuk menyelesaikan Misi Titisan Emas ummi ni. Kalau bukan kerana anak dan suami, entah bagaimanalah semangat ni agaknya...

Ya Allah, kepadaMu ku bermohon supaya aku dikurniakan susu yang banyak untuk terus menyusukan anak-anakku. Semoga kebaikan susu ini sentiasa mengalir dalam diri mereka dan jadikanlah mereka berperibadi mulia seperti Rasulullah yang dicintai....

Ummi akan menyambung lagi entry penyusuan iaitu bagaimana cara membuat label, menyimpan dan sebagainya.

Sharing is caring...

Wednesday, June 5, 2013

Kurma Yusuf Taiyoob

Assalamua'laikum dan salam sejahtera...

Alhamdulillah kerana Ummi diberikan peluang kali ini...

Untuk pengetahuan semua, bermula Jun 2013, Ummi ada menjual beberapa jenis kurma keluaran Yusuf Taiyoob dan setakat ni sudah beberapa kali menambah stok bekalan. Anda semua pasti tahu tentang Yusuf Taiyoob iaitu sebuah syarikat pengeluar kurma paling popular di Malaysia ni kan. Mutu kurmanya tak perlu dipertikaikan lagi. InsyaAllah yang terbaik. Jadi, jangan segan silu untuk berhubung dengan Ummi bagi mendapatkan kurma yang banyak khasiatnya ini.

KURMA AJMAL
- ianya lembab dan lembut 
- rasanya manis
- berasal dari Tunisia
- RM20/2kg

KURMA SAFINA
- ianya lembab dan lembut tetapi sedikit kenyal daripada kurma Ajmal
- rasanya kurang sedikit manis daripada Kurma Ajmal
- berasal dari Tunisia
- RM10/500gm


KURMA NADINE BERTANGKAI
- ianya lebih kenyal daripada Kurma Ajmal dan Safina
- lembut tetapi sedikit kering
- kurang manis daripada Safina
- RM11/500gm 


Sila hubungi Ummi di talian 0192196843 secara call/sms/whatsapp atau emel ke roslinmohamednaziri@gmail.com untuk mendapatkan bekalan ini. Anda juga boleh mengunjungi FaceBook Ummi dengan nama Ummi Lin. InsyaAllah kalau ada rezeki Ummi akan menambah stok kurma yang lain pula.


Sekian, jumpa lagi :) Assalamua'laikum....