Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Monday, August 3, 2015

Catatan Hari Raya

Assalamua'laikum

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1436H, hari ini dah 18 hari pun. Maaflah sebab baru nak post pasal hari raya.

Sebenarnya nak luah pandangan daripada kacamata sendiri. Adakalanya kita tak perasan atau memang perasan cuma buat-buat tak tahu. Kalau baik ambillah sebagai panduan tapi kalau sebaliknya jadikan sempadan.

1. Tukang rajin, tukang komplen, tukang arah, tukang makan.....
Bila ramai ahli keluarga tentulah banyak ragam yang kita boleh nampak masa hari raya kan. Ada yang rajin, ada pula yang malas malah tukang mengarah pun ada. Tak kisah la muda atau tua, masing-masing punya karektar sendiri. Yang rajin tu baguslah, semoga kerajinannya mendapat pahala daripada Allah S.W.T., bertungkus lumus membuat persiapan untuk menyambut Syawal. Tapi, yang sedihnya kalau dapat ahli keluarga yang malas atau tukang mengarah saja. Sakit hati ok! Sudahlah tak menolong, suka-suka je suruh orang buat itu dan ini. Paling tak boleh terima kalau ada pulak kaki komplen. Orang lain buat ada je tak betul tapi kalau sendiri buat macam perfect sangat!

Adik, kakak, abang, makcik, pakcik yang tergolong dalam golongan macamni, tolonglah sedar kelemahan diri tu. Orang lain pun ada perasaan jugak. Takut nanti hilang pahala puasa sebab dalam hati marah atau sumpah seranah korang yang banyak sangat ragamnya. Kita nak raya dengan gembira bukan sakit hati ok! Tak guna minta maaf bagai kalau tahun depan ragamnya tetap sama. Alangkah baiknya kalau sama-sama buat persiapan supaya Syawal yang disambut penuh dengan kemaafan dan kegembiraan.

2. Awak raya dengan mak awak, saya raya dengan mak saya!
Haaa... contoh ayat ni memang tak mustahil keluar masa nak buat keputusan balik beraya kat mana kan. Paling teruk piring UFO terbang sana sini dalam rumah, hihihi...

Cadangan Ummi la kan, seeloknya masa awal perkahwinan bincang siap-siap. InsyaAllah bila sepakat takde la nak gaduh-gaduh, tapi kalau dapat pasangan yang langgar janji memang boleh bikin panas ye. Tahun lepas rumah dia, tahun ni rumah dia, tahun depan rumah dia! Haa... yang ni memang boleh perang besar. 

Sendiri boleh fikir kan, kalau kita seronok nak raya dengan mak ayah kita, pasangan kita pun nak juga rasa seronok dengan keluarganya. Jangan berat sebelah atau pentingkan diri sendiri.

Satu lagi situasi yang tak sedap bila kampung berdekatan. Suami isteri terpisah, suami kat rumah keluarga dia, isteri kat rumah mak ayahnya. Maklumlah dekat, kononnya boleh lari-lari kejap. Aduhai... tak mustahil ada rasa kecil hati tau. Bagi Ummi, elok ikut turn yang ditetapkan. Kalau tahun ni turn sebelah suami, isteri kena la ada kat rumah mertua. Bantu persiapan nak menyambut raya bersama ipar duai yang lain. Nanti tahun depan, suami ikut la pulak balik ke rumah keluarga isteri. Bila saudara mara tengok pun macam tak manis kan sorang sana sorang sini. 

Tapi kalau memang dah diputuskan masa awal-awal kahwin memang nak begitu caranya terpulang la. Atau ada berlaku situasi yang memerlukan masing-masing balik ke rumah ibu bapa sendiri tu kira lain la pulak. Mungkin tiada adik beradik yang balik beraya dengan mak ayah, boleh la difikirkan untuk bantu buat persiapan. Kesian juga kalau takde sape nak tolong masak lemang, rendang ayam bagai kan...

Mungkin juga elok dibincangkan dengan adik beradik tentang turn balik raya ni supaya mak ayah kita tak sunyi sepi. Eh, anak tunggal macammana ye? Yang ni memang perlu diperhalusi supaya kedua-dua buah keluarga gembira dan menerima seadanya.

3. Berkira, kedaung, kedekut
Bila dah berkumpul beramai-ramai janganlah kita kedekut, kedaung atau berkira nak keluar duit belanja. Ingat balik kampung boleh makan free ke? Minta maaf ye tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita ringankan beban mak ayah atau tuan rumah yang kita duduk masa raya tu.

Sekarang ni sekilo getah pun tak cukup nak beli sekilo gula tau. Lain la kalau mak ayah tergolong dalam golongan kaya raya, tapi kalau kaya raya pun tak salah kita guna duit sendiri untuk beli barang keperluan. Mesti mak ayah tersenyum. Lagi bagus kalau adik-beradik boleh kongsi sikit sorang duit dan belanja mak ayah. Selain barang keperluan, kalau ada duit lebih tu boleh juga beli karpet baru untuk mak atau cat baru rumah tu ke. Haa… kan Nampak meriah je rumah mak ayah kita.

4. Sedapnya makan!
Bab makan semua orang suka kan, hihihi. Ummi pun suka walau telah diikat janji nak diet bagai. Hahaha… semua ke laut! Siapa dapat tahan kalau tengok menu kegemaran depan mata.

Bila makan ni kan, kita jangan la tak ingat orang belakang. Sampai habis licin kena bedal, tu pun rasa macam tak cukup. Memang la tuan rumah akan cakap makan sampai habis tapi beradab la ye kawan-kawan. Baju dah lawa tapi bila tengok bab makan, aduhai… macam tak percaya pulak, hilang keayuan atau ke’macho’an.

Satu lagi yang mungkin kita tak perasan bilamana kita menjamah makanan ialah tak menjemput orang keliling makan. Sila berbudi bahasa selain beradab sopan ye. Tak salah pelawa tuan rumah atau pasangan kita bilamana kita nak makan dulu. Selalunya kita lihat kaum lelaki akan diberi keutamaan untuk makan dulu tapi sesekali tak salah kut kalau suami suruh isteri makan dulu. Itu tanda hormat bukan dayus pun.

Kesian tengok isteri-isteri ni, dah le kena jaga anak, makan cepat-cepat sebab nak jaga si kecik yang tengah lasak tu. Mana nak puasnya bila makan dalam keadaan begitu. Adakalanya tak kesampaian pun nak makan pedas-pedas sikit sebab nak kena suap anak-anak. Suami yang baik tidak akan lupa pada pasangannya, dia juga akan suap anak-anak makan. Haaaa… masa tu rasa la sendiri macammana makan tanpa rasa pedas-pedas atau lemak-lemak. Asyik makan yang ala-ala sup je…

Bila isteri tengah makan, janganlah suami jeling-jeling. Asyik tengok jam aje, nak balik cepat la, anak-anak taknak dekat papalah. Alasan je tu. Toksah berkira ye cik abang…

5. Sape lagi lawa?
Haaa…. Biasanya bila raya ramai yang dalam tak sedar nak jadi lagi lawa daripada orang lain. Baju nak liplap, jubah nak ala-ala Elsa, tudung nak juntai-juntai! Aduhai sayang… tak salah pakai baju cantik dan baru tapi tak perlu kut nak rasa ‘baju aku la yang paling lawa’. Ni perangai orang perempuan biasanya. Kalau lelaki lebih kepada aksesori kereta.

Boleh dikatakan semua nak cantik dan baru, tu yang duit keluar macam air! Lepas abih raya, terkial-kial makan maggi dan naik LRT bagai. Hahaha… anak dara yang manis-manis tu pun janganlah tergedik-gedik sangat ye. Dah pakai baju cantik buat perangai tak senonoh, psssttt… ada masanya korang sedar tak gelak tawa korang tu dah menakutkan Pontianak kalau dia dengar. Cover sikit dek.

Ok, Ok.. buat sementara ni cukup dulu. Nak selesaikan kerja hakiki sekejap. Kita jumpa lagi ye… Oppsss… Ummi nak minta maaf kalau ada sape-sape yang terasa dengan catatan ni. Bukan niat nak mengata tapi inilah lumrah yang biasa kita nampak macam tu kan.. Semoga kita jadi orang yang lebih baik, InsyaAllah.




No comments: