Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, April 17, 2015

Bila ku ingat tentang mati...

Sayu, sedih, risau....

Itulah yang Ummi rasa sejak akhir-akhir ini. Melihat orang keliling yang pergi seorang demi seorang benar-benar memagut rasa hiba. Waktu kian singkat dan umur pun makin meningkat. Ummi sendiri tak terjangka boleh bernafas dengan baik dan sihat sehingga 35 tahun. Sekejap lagi, malam ini, esok lusa dah tentu Ummi tak tahu masih ada hayat atau pun tidak.

Bila melihat anak-anak tentulah sesak dada dibuatnya. Kalau Ummi pergi dulu bagaimana agaknya 4 Nawal ini. Bagaimana juga Abah nanti? Mak, ayah, adik-adik, sahabat dan orang keliling juga bagaimana.... 

Hari pertama, kedua, ketiga hinggalah hari-hari yang masih di peringkat awal tentulah kita mengingati dan rajin bersedekah buat arwah yang dah pergi. Kebiasaannya ia akan beransur hilang sedikit demi sedikit. Malah realitinya, kita menziarahi pusara si arwah pada Hari Raya sahaja. Ada insan-insan yang kerap menziarah dan bersedekah buat orang tersayang yang dah pergi tetapi jumlahnya sedikit. Mungkin kekangan waktu dan keadaan. Kita tidak boleh menilai orang yang tidak menziarahi pusara orang tersayang itu bererti mereka tidak kasih dan tidak mengingati. Mungkin doa dan sedekah daripada jauh.

Tatkala menjemput 4 Nawal, sayu hati melihat seorang bapa yang juga merupakan jiran Ummi. Beliau baru sahaja kehilangan isteri tersayang beberapa bulan yang lalu. Anaknya 3 orang, yang sulung berumur 9 tahun dan si bongsu dalam 2 tahun. 2 minggu selepas pemergian isterinya memang Ummi tak nampak kelibat mereka di taska tetapi selepas itu si bapa menguruskan anak-anaknya sendirian. Fikir Ummi, mungkin anak-anak di hantar ke kampung. Ye la, mungkin agak sukar untuk menguruskan anak-anak yang masih kecil seorang diri. Tapi si bapa ini tabah orangnya, tak terbayang bagaimana dia melaluinya. Semoga Allah merahmati beliau dan anak-anaknya. 

Pemergian insan tersayang secara tiba-tiba tentulah menyentak hati kecil kita. Meredhai pemergian dalam masa yang singkat bukan semudah yang diucap. Hanya yang pernah melaluimya tahu akan rasa hati yang terpendam.

Ummi juga tidak bersedia untuk menerima kehilangan sesiapa pun walaupun tahu hakikat kematian boleh menjemput bila-bila masa. Soalnya persediaan bagaimana yang harus kita ada untuk menempuh dugaan seperti itu? Tiada siapa pun mahu kehilangan orang tersayang. Kalau boleh kita mahu hidup selama-lamanya dengan mereka sampai bila-bila.

Hakikat hidup, tentulah kita perlu redha menghadap ujian daripada Allah dan meneruskan kehidupan agar lebih baik serta mengambil pengajaran atas setiap perkara yang berlaku. Apa yang terfikir kini, kalaulah Ummi tiada nanti harapnya insan-insan tersayang akan tabah mengharunginya. Anak-anak akan lebih berdikari dan pandai menjaga diri sebaik mungkin. Kalaulah ada pengganti, biarlah dia seorang yang lebih baik dan dapat menerima seadanya 4 Nawal ini. Mungkin bukan mudah tetapi perancangan Allah itu lebih baik dan tidak siapa pun tahu akan hikmahnya. Luasnya rahmat Allah tak terjangkau dek akal kita.

Ummi pun selalu berdoa supaya sebelum pergi segala dosa dan kesalahan diampunkan. Baik yang tidak sengaja ataupun sengaja, yang nampak atau tidak nampak dan yang besar atau yang kecil. Pergi dalam keadaan yang suci dan bersih adalah impian tertinggi. Lunasnya segala hutang piutang, selesainya urusan di dunia malah tidak meninggalkan kesusahan kepada mereka yang ditinggalkan adalah satu usaha yang perlu dibuat setiap hari. Maksudnya kita harus berusaha membuat yang terbaik dan menyudahkan apa yang patut disudahkan pada hari itu juga supaya kita tenang bila menghadap Ilahi.

Semoga amalan mengingati mati itu membuatkan kita makin berusaha untuk membawa bekal yang baik dan tidak bermusim pula.

Wahai orang kelilingku... bila tiba giliranku nanti, redhailah perpisahan kita. Kasih sayang terhadap kalian akan kubawa hingga ke akhir hayat. Maaf dan ampunkanlah segala dosa-dosaku. Halalkan segala makan minumku. Ingatilah daku dalam setiap doa dan sedekahmu....

No comments: