Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Monday, January 30, 2012

29 minggu dah...

Kandungan saya telah mencecah 29 minggu, Alhamdulillah. Doa saya semoga anak ketiga ini dilahirkan sihat dan sempurna secara keseluruhannya, dilindungi dan dirahmati Allah hingga hujung nyawanya nanti. Bagi saya pula, semoga saya terus tabah, kuat dan sabar dalam menempuh kehidupan yang pastinya lebih mencabar!

Bertambah bilangan ahli keluarga bermakna makin besarlah tanggungjawab saya dan suami. Ya Allah semoga kami mejadi ibu dan bapa yang baik buat anak2, diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang agar kami dapat menjalankan amanahMu dengan sebaik2nya. Kami bukanlah sesempurna manapun tetapi kami berharap agar kami dapat melakukan yang terbaik. Yang paling penting setiap urusan yang kami jalankan itu diberkati olehMu.

Berbalik kepada cerita kandungan ketiga ini, saya dapat merasakan bahawa daripada pengalaman mengandungkan Inshirah yang lalu saya rasa lebih tenang kali ini. Dengan peningkatan usia dan pengalaman yang ditempuh, rasanya saya mampu mengendalikan emosi dengan lebih baik. Walaupun adakalanya saya terlepas kawalan tetapi tidaklah seperti mengandungkan Inshirah dulu. Ya, kasihan dia... saya berada dalam emosi yang teruk ketika itu. Kesannya dapat saya lihat setelah saya semak semula pengalaman 9 bulan membawanya ke hulu ke hilir. Dia lahir dengan berat yang lebih ringan daripada kakak dan sering menangis ketika bayi. Ya Allah, semoga Inshirah menjadi anak yang baik walaupun tingkahnya kadang2 sangat menguji kesabaran saya. Oh, saya ingin menangis tatkala mengingati semua itu... malah seringkali saya menyalahkan diri sendiri. Sehiggalah Inshirah ditimpa insiden mengerikan ketika berusia hampir 3 bulan dulu membuatkan saya benar2 tertekan kerana bagi saya, SAYALAH PENYEBABNYA! Inshirah.... ada makna disebalik namamu sayang...

Mengikut ujian imbasan yang dilakukan beberapa bulan yang lain, jantina bayi ketiga ini pun perempuan juga. Bagi saya, tak kisahlah lelaki atau perempuan asalkan kami sama2 sihat. Masa kandungan pertama saya tak kisah pun jantina bayi yang dikandung, tetapi kandungan kedua saya sangat teruja untuk mendapat anak lelaki. Sehinggalah tiba masa saya sakit nak bersalin pun saya masih berdoa semoga ada keajaiban daripada Allah, manalah tahu bayi kami nanti adalah bayi lelaki sungguhpun ujian imbasan mengatakan anak kami perempuan. Bila lahirnya Inshirah, saya tetap redha dengan pemberianNya. Saya akan usaha lagi. Bila masuk bayi yang ketiga ini saya memang dah tak kisah jantina apa pun, kerana saya tersedar bahawa pemberian Allah itu sesuatu yang sangat berharga dan Allah lebih tahu kenapa kami layak mempunyai anak perempuan lagi. Ya, saya terima seadanya kerana merekalah buah hati pengarang jantung saya.

Masih banyak kurangnya ilmu keibubapaan kami ni, pengalaman pun secebis cuma. Setiap hari saya belajar ilmu baru, melalui pembacaan mahupun penelitian dan pengalaman yang dilalui. Bukan mudah ya kawan2 untuk menjadi ibu dan bapa kerana tanggungjawab yang sangat besar perlu kita pikul. Kuatkanlah semangat dan tabahkanlah hati kami ini Ya Allah.....

1 comment:

Fara said...

Jantina tak kisah kak...asalkan sihat dan sempurna :)