Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, June 12, 2013

Misi Titisan Emas

Apakah Misi Titisan Emas itu? 

Hari ini ummi akan nukilkan sedikit pengalaman mengenai misi hidup ummi. Mana yang baik jadikan semangat, mana yang kurang janganlah ditiru pula ya. Sebetulnya, catatan ini pedoman buat anak-anak ummi sendiri supaya bila dah dewasa nanti akan mengikut jejak langkah ini. 

Misi ini merupakan misi hidup ummi sendiri, Sejak belum berumahtangga lagi ummi menyimpan cita-cita untuk menyusukan kesemua anak-anak ummi sehingga 2 tahun atau lebih daripada itu. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan berkaitan dengannya walaupun cabaran yang datang  sangatlah hebat dan sesekali semangat itu ada pasang surutnya. Dikurniakan suami yang menyokong penuh penyusuan ibu membuatkan ummi teguh berdiri menyusukan kakak, adik dan Haseena. Abah banyak membantu sepanjang 6 tahun ini, tak tersenaraikan. Syukur sangat. Adakalanya bila susu merudum, ummi dan abah atau pernah juga ummi sendiri berulang alik ke taska menghantar bekalan. 

Peristiwa paling tak dapat ummi lupakan ialah hujung tahun 2012, tatkala ummi tersangat sibuk dengan urusan kerja, pengeluaran susu pula jatuh merudum sangat-sangat (dah bunyi macam bursa saham pulak, hehehe). Setiap hari abah dan ummi berulang alik ke taska, tapi akhirnya ummi kalah juga. Ummi buat keputusan untuk membelikan susu formula memandangkan bekalan yang dihantar pun masih tak mencukupi untuk Haseena. Masa tu ummi menangis dalam kereta bila bercakap dengan abah untuk membelikan susu tin. Rasa sangat bersalah, Allah saja yang tahu isi hati ummi masa tu. Sebelum sampai ke taska, kami singgah di Speedmart untuk membeli susu. Jenuh memilih susu terbaik untuk Haseena memandangkan ummi tiada pengalaman membelikan susu tin untuk kanak-kanak di bawah umur setahun. 

Pengalaman itu takkan ummi lupakan sampai bila-bila. Bukanlah ummi benci dengan susu formula tetapi kepuasan yang ummi dapat apabila menyusukan sendiri anak-anak ummi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Jadi, kepada ibu-ibu lain yang memberikan anak-anak dengan susu formula jangan salah faham ye. Ummi tidak merendah-rendahkan kalian.   

Tapi, Allah benar-benar sayangkan ummi. Susu yang ummi belikan tidak disentuh langsung dek Haseena. Seolah-olah dia faham yang dia perlu berjimat cermat menyusu tatkala itu. Ianya cukup-cukup sepanjang peninggalan ummi ke tempat kerja. Atau, apakah Haseena faham bila ummi selalu nyatakan susu makin berkurang dan ummi mohon supaya dia mengerti dan minum seadanya apa yang dibekalkan. Seingat ummi, sudah 3 kali pengeluaran susu ummi merudum sepanjang setahun 2 bulan menyusukan dia. Alhamdulillah, kami berjaya mengharunginya. 

Sebenarnya, Misi Titisan Emas ini berputik daripada pengalaman mak ummi. Dia menyusukan kami 9 beradik tanpa jemu. Dialah idola ummi cuma cabaran penyusuan ummi sangat berbeza dengan mak sebab dia surirumahtangga dan ummi pula bekerjaya. Banyak perkara dan ilmu yang perlu ummi gali untuk memantapkan diri menghadap cabaran dunia penyusuan samaada melalui pembacaan, pengalaman mahupun penilaian. Ummi namakan titisan emas kerana bagi ummi, setiap titisan susu seorang ibu sangat berharga seperti emas walaupun hakikatnya keberkatan dan kebaikan susu ibu itu tidak dapat dinilaikan.


Enam tahun ummi bergelar pengepam tegar (sebetulnya hanya dengan adik dan Haseena ummi menggunakan pam, manakala kakak ummi marmet sahaja). Kakak menyusu sehingga 2 tahun 3 bulan, adik pula 1 tahun 8 bulan dan Haseena sehingga ke hari ini. Misi untuk Haseena masih belum tamat, ada lagi 10 bulan kalau mencukupi 2 tahun. Mintak-mintaknya rezeki lebih la nanti. Hanya adik saja tak sampai 2 tahun kerana ketika dia menolak untuk terus menyusu, ummi sedang mengandungkan Haseena. Setakat ini, kakak dan adik berhenti menyusu tanpa ummi paksa. Mereka sendiri menolak kerana mungkin ketika itu ummi sedang hamil. Tak terfikir pun untuk memberhentikan mereka menyusu tapi secara automatik mereka berhenti sendiri. Jadi ummi takde pengalaman tandem nursing atau menggunakan kaedah tertentu untuk memberhentikan penyusuan. 


Ummi sangat berharap supaya misi ini berjaya semaksima mungkin. Harap-harap semangat, cita-cita dan kesabaran dalam menempuh cabaran penyusuan tidak akan pudar malah akan berkobar sentiasa. Sebenarnya bukan mudah untuk menyelesaikan Misi Titisan Emas ummi ni. Kalau bukan kerana anak dan suami, entah bagaimanalah semangat ni agaknya...

Ya Allah, kepadaMu ku bermohon supaya aku dikurniakan susu yang banyak untuk terus menyusukan anak-anakku. Semoga kebaikan susu ini sentiasa mengalir dalam diri mereka dan jadikanlah mereka berperibadi mulia seperti Rasulullah yang dicintai....

Ummi akan menyambung lagi entry penyusuan iaitu bagaimana cara membuat label, menyimpan dan sebagainya.

Sharing is caring...

2 comments:

airikamalek said...

Alhamdulillah...susu ibu adalah hak anak-anak kita, yang terbaik untuk bekalan kesihatan mereka hingga dewasa kelak. Terasa amat damai bila mengenangkan detik itu. Tahniah

ummiLIN said...

Alhamdulillah... Allah berikan rezeki yang tak terhingga walaupun bekalan tidaklah sampai macam orang lain. Tapi usaha dan tawakkal, itulah kekuatan. Jom kita semarakkan penyusuan susu ibu :)