Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, September 8, 2015

Terlalu melindungi

Assalamua'laikum....

Pagi yang penuh hikmah buat warga Kuala Lumpur, hujan turun penuh berkat. Semoga jerebu kian pulih hendaknya.

Cuaca yang meruncing sejak beberapa minggu ini seperti menggambarkan rasa hati. Ya, hati yang sarat dengan kerisauan terutamanya tentang anak-anak. Lindungilah anak-anakku Ya Allah walau di mana saja mereka berada.

Sebentar tadi seorang sahabat menghantar video pendek, aduh luluh hati ini walau tidak tahu kejadian sebenar. Seorang lelaki yang mencium seorang budak kecil dengan paksa! Itu tekaan Ummi sahaja kerana secara kasarnya tak nampak langsung budak itu didera.

Marah sungguh rasanya hinggalah ketika menaip ni! Dan, orang yang merakam video ini (secara tersembunyi mungkin) lebih rela memegang telefon daripada cuba menghalang!

Ya Allah.... tak terbayang risau dan takut dengan keadaan keliling. Rasa yang boleh membuatkan kita menjadi ibu bapa yang terlalu melindungi. Mana taknya, nak biar anak sendirian walau sekelip mata pun tak berani. Adakalanya mungkin anak-anak rimas tapi keadaan sekarang benar-benar buat ibu bapa terpaksa berbuat begitu.

Ummi sendiri pun nak melepaskan anak-anak bermain sendiri di playground sebelah rumah pun tak berani. Secara jujurnya mereka lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah. Kalau ummi atau abah keluar, baru diizinkan keluar. Kesian sebab masa kanak-kanak mereka tidak seperti kami yang sentiasa meneroka alam kanak-kanak sepuas hati, tapi apa daya sayang.... risiko yang bakal diambil sebolehnya diminimakan. Rasa bersalah itu tetap ada tapi sebolehnya ummi dan abah cuba bawa mereka bercuti atau berekreasi bersama-sama ketika ada masa terluang.

Dulu, masa ummi dan adik-beradik membesar, kami bebas pergi ke rumah kawan-kawan, bermain, mandi sungai, tangkap ikan malah ke sekolah yang jauhnya hampir 5km itu pun menaiki basikal. Masa tu telefon bimbit langsung tiada untuk berhubung, cuma masing-masing tahu bila tiba waktu petang kami mesti sampai ke rumah. Mak atau ayah akan risau kalau kami lewat balik, haaa... rotan menanti kalau tanpa sebab munasabah langgar waktu. Mungkin juga waktu itu, semangat kejiranan masih kuat di mana anak-anak orang lain dianggap seperti anak-anak sendiri. Saling mengenali dan melindungi, jadi kerisauan tu tak seperti yang dirasai oleh ibu bapa sekarang.

Zaman canggih sekarang ni, semangat kejiranan tu dah makin hilang walau masih tetap ada. Rasa selamat untuk berada di mana-mana pun dah takde. Rumah sendiri pun terpaksa dipasang gril apalagi nak duduk di luar rumah kan. Jadi, nampak tak bezanya mak ayah dulu-dulu dengan zaman sekarang ni?

Kalau ada majlis kenduri terutamanya di kampung memang ummi akan risau sebab masa ni anak-anak biasanya teruja untuk bermain dengan sepupu atau saudara mara. Masa ni tentulah ummi dan abah sibuk dengan hal-hal kenduri, jadi mata kami tidak dapat melihat mereka sepanjang masa. Hanya bersandarkan kepercayaan kepada ahli keluarga, itu yang mampu dilakukan. Tapi awal-awal dah pesan mereka tak boleh ke sana ke mari sesuka hati. Selalunya kes culik jadi topik hangat sebab kita tak tau dalam orang yang ramai tu belum tentu semua baik walau yang dijemput adalah orang-orang yang dikenali. Mana la tau kan, dalam ramai tetamu ada pulak penyangak yang menyamar. Mohon dijauhkan Ya Allah daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Sekarang memang Ummi akan berpesan kepada anak-anak setiap hari tentang soal keselamatan. Pernah juga menyampaikan beberapa tips sekiranya berlaku kecemasan yang mungkin tiba-tiba datang dengan harapan mereka bersiap sedia setiap masa. Kalau ada cerita atau gambar-gambar yang boleh membawa pengajaran memang akan ummi tunjuk dan suruh baca sendiri supaya mereka tahu kita tidak mereka-reka cerita.

* Ibu bapa kena pastikan setiap maklumat yang ada tu adalah benar.

Walau apapun, semuanya dalam ketentuan Allah yang tentunya kita tak tahu hikmahnya. Apa yang penting, sebagai ibu bapa kita perlulah mengambil langkah-langkah keselamatan dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Semoga Allah melindungi kita semua walau di mana jua berada dan dijauhkan daripada manusia atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat....

Sekian.

No comments: