Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Friday, November 15, 2013

Siapa ayahku?

Semalam, 14 November 2013 Ummi sempat menonton Semanis Kurma dengan tajuk Siapa Ayahku?

Dengar tajuk je dah cukup memberikan pelbagai persepsi kan? Rancangan yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton ini telah menjemput Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek, Pendakwah/Penasihat Pertubuhan Iman dan Ihsan Malaysia.

Seperti yang kita ketahui Allah telah pun memerintahkan supaya umat Islam menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina kerana akibat daripadanya sangatlah dahsyat. Salah satu daripadanya ialah kelahiran anak yang tidak sah taraf kerana perlakuan itu adalah hasil daripada hubungan intim lelaki dan wanita yang belum bernikah. Di dalam Islam, hanya pasangan suami isteri yang telah sah bernikah sahaja dibenarkan untuk mengadakan hubungan intim.

Mengapa Allah melarang kita menjauhi jalan-jalan yang menghampiri zina? Wahai Tuan/Puan, sahabat-sahabat dan adik-dik yang dimuliakan, sesungguhnya akibat daripada perbuatan zina itu akan dapat dirasai ketika di dunia dan akhirat juga. Antaranya di dunia ini nanti cahaya dimukanya akan lenyap dan hisab di akhirat nanti adalah buruk. Tetapi pada episod Semanis Kurma ini hanya akan membincangkan mengenai anak yang lahir tanpa bapa yang sah.

Menurut Ustaz Mohd Hanafiah, bayi yang lahir kurang daripada 6 bulan qamariah selepas pernikahan tidak boleh berbin atau berbintikan lelaki yang telah menikahi ibunya. Allahhuakbar. Tentu kita boleh bayangkan masa depan bayi tersebut, urusannya kelak pasti sedikit sukar kerana terdapat kelainan di dalam surat beranaknya. Tambahan pula masyarakat kita selalu menuduh atau mengata yang bukan-bukan mengenai anak seperti ini, walhal mereka perlu diberi kasih sayang agar kebajikanya terjaga.

Pada zaman Rasulullah dahulu, ada seorang wanita yang telah mengandung akibat daripada zina lalu dia menemui Rasulullah supaya dirinya dapat dihukum. Tetapi Rasulullah menyuruhnya balik dan menunggu anak tersebut lahir dahulu. Setelah anaknya lahir, wanita itu datang lagi menemui Rasulullah, sekali lagi dia disuruh balik dan menyusukan anaknya sehingga habis tempoh penyusuan. Apabila tempoh penyusuan berakhir, wanita itu datang semula untuk mendapatkan hukuman, tetapi Rasulullah mengatakan bahawa cukuplah taubatnya kepada Allah untuk memohon keampunan di atas dosa-dosanya.

Nampak tak kalian? Wanita yang mengandung tanpa bernikah ini diberikan kasih sayang supaya dia tidak mengulanginya lagi. Tetapi akhlak kita jauh berbeza daripada Baginda kerana kita sering mencerca mereka tanpa kita sedari sedikit sebanyak kita jugalah punca bayi yang tak berdosa di buang merata-rata tempat. Betul, mereka telah berdosa dan sedang menerima hukuman tetapi sebagai masyarakat yang prihatin seharusnya kita tidak buta-buta menyalahkan mereka.

Tentulah sesuatu itu terjadi ada puncanya, mana tahu ianya akibat masalah keluarga atau krisis identiti yang sedang dialami mereka. Mungkin juga pengaruh media turut menyumbang kerana hari ini kita disajikan dangan program hiburan yang melampau dan aksi-aksi didalam filem/drama pula mengghairahkan. Mana yang dapat menapis godaan-godaan ini mungkin terselamat tetapi kasihan pula pada yang lalai. Berbaliklah kepada jalan Allah, itulah jalannya.

Sebaiknya kita mencari punca dan membantu untuk menyelesaikannya bukan menambah beban yang ditanggung. Di sinilah peranan kita sebagai masyarakat yang perlu prihatin terhadap perkara sekeliling tetapi kadang-kadang sikap kita yang menganggap ‘prihatin’ itu sebagai ‘jaga tepi kain orang’ juga adalah penyebab kepada keruntuhan moral pada zaman ini.

Kalau dulu-dulu anak jiran adalah anak kita tetapi sekarang tidak lagi, silap haribulan kita disembur pula kerana dianggap mencampuri urusan orang lain. Zaman bertambah canggih teknologinya dan peranan masyarakat juga kian terhakis. Semua yang berlaku kini adalah akibat daripada perbuatan kita juga bukannya semata-mata takdir.

Berbalik kepada anak tidak sah taraf ini, lazimnya mereka mempunyai rasa rendah diri yang sangat kuat, memberontak, malu dan mengasingkan diri daripada masyarakat. Lalu akhirnya mereka akan terbiar dan kemungkinan besar akan bercampurgaul dengan golongan yang agak ‘nakal’.

Ummi tidak dapat membayangkan kepayahan yang akan ditempuh oleh anak-anak ini tetapi pesanan yang sempat dititipkan ialah agar mereka tetap tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Janganlah diulang kesilapan ibu ayah dulu, jadilah insan yang boleh memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Tidak ada bezanya anak tidak sah taraf dengan yang lain kerana mereka tidak berdosa. Kukuhkan hati dengan iman supaya dapat menepis onak dan duri, semoga Allah terus melimpahkan rahmatnya buat kita semua. Marilah kita sama-sama memainkan peranan supaya gejala ini dapat dibendung daripada terus berlarutan.


Mohon maaf andai buah fikiran Ummi menyinggung hati sesiapa….

1 comment:

Mar Mansor said...

keruntuhan akhlak y semakin teruk..moga dijauhkan..